logo
Gambar-gambar Trip 2018

Logo OGKL

Logo OGKL

Thursday, 26 July 2018

Penceritaan Ekspedisi: Gunung Tungku

Ditulis secara santai oleh Mohamad Shafik Bin Rahim@Safeeq Badek. Beliau adalah pelupor Pickitup Initiative, Tusyen Hutan, ahli CORE Adventure serta pengasas kedai outdoor CORE Adventure di Taman Melati sebelah Waghih Collection. Gambar-gambar dari FBK dan Pak Teh serta peserta-peserta lain.

(AMARAN: panjang benar)
Saya berkesempatan untuk mengikuti ekpidisi Gunung Tungku yang dijalankan pada 21-22 Julai 2018 tempohari dibawah anjuran Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL). Dengan bayaran All In sebanyak RM 165 (kerana bukan ahli kelab), saya mengikuti mereka atas kapasiti seorang peserta. ini adalah ekspidisi berlibur tidak membuat kerja. Sekali-sekala, nak juga jadi peserta. Sekali pandang, memang dirasakan RM 165 itu adalah terlalu mahal jika mahu dibandingkan dengan ekspidisi lain. Namun, perkataan All In yang diberikan oleh OGKL tidak sama macam All In biasa. Ianya merangkumi makanan hari pertama sehingga dinner hari kedua (waimah makan dikedai), perbelanjaan minyak dan tol, permit, guide, pengurusan dan insuran. Dah tak perlu fikir nak tong-tong mahupun nak minta duit minyak dari sipenumpang. Semua kira SETTLE!

Berjumpa di LRT Gombak pada awalnya (9 orang ahli ekspidisi), perjalanan diteruskan dengan kaedah checkpoint to checkpoint selepas p. LRT Gombak – Exit Jerantut. Dari Exit, kita bergerak ke Balai Polis untuk membuat laporan, dan kemudian bergerak terus ke Masjid di Ulu Cheka(lupa nama). Setelah selesai solat subuh, agihan ration dan sarapan (OGKL tanggung), kami bergerak ke tempat parking kereta di rumah kampong Perlok.

kekah durian
madu kelulut

Keluar dari kereta, macam biasa, kita terus menyapa tuan rumah. Sembang-sembang ringan sambil mata meliar melihat dusun durian keliling rumahnya, tuan rumah pun berkata “nak makan durian?”. Pada mulanya, menolak la juga. Manakan tidak, sudahlah menumpang parking, tak kan nak menyusahkan tuan rumah lagi. Namun, atas ajakan kali kedua, nafsu peserta semuanya luluh. Maka, berduyun-duyunlah tuan rumah beri durian FREE. Kerisauan ada dalam hati, “ni makan durian ni, kejap lagi confirm barai”. Namun, rasa duriannya, bukan kepalang. Memang sedap! Setelah lebih setengah jam kami moreh durian, kami terpaksa menghentikan sesi kokak durian kerana ada tentatif yang harus dihormati. Sempat juga kami berpesan ingin membeli durian dengan tuan rumah apabila balik nanti dengan didahulukan dengan ucapan terima kasih tak terhingga kerana layanan yang diberikan.

sessi taklimat dari guide, kp dan ringkasan doa selamat

Seperti biasa, ucapan kata pembuka diberikan oleh KP program (Cikgu Rose) dan diberikan keperincian sedikit oleh malim yang dilantik (Cik Man). Setelah selesai dengan bacaan doa ringkas, perjalanan dimulakan melalui kebun-kebun orang tempatan. Ada yang menanam durian. Ada pokok kelapa sawit. Dan di akhir kebun, banyak pokok-pokok masih kecil yang saya tidak cam spesis nya. Dan bermulalah apa yang dipanggil, pintu rimba.

pintu rimba
serangan awal 

Pada permulaan perjalanan 1 jam pertama, darjah mendaki adalah dalam lingkungan 20-30 sahaja. Sekali sekala, lebih dari itu, namun tidak ketara. Dan tiba di tebing batu/wall pokok keladi, batuan setinggi 3 meter dengan darjah lebih kurang 80 harus dilepasi. Dengan bentuk batu dan akar yang boleh dibuat untuk berpaut, ianya dilepasi peserta satu per satu. Setibanya di atas batu, beberapa pokok keladi besar/gergasi liar tumbuh. Sudah pasti, berhenti untuk bergambar bagi mereka yang jarang melihat keladi sebesar itu. Dan ditempat itu juga, dilihat ada umpan garam (lupa nama dia). Di dalam buluh yang digantung. Ianya bertujuan untuk memancing hidupan liar yang boleh dibuat lauk. Diperkatakan, spesis kambing hutan, kancil dan pelanduk. Kalau tak silap lah. Selesai bergambar, perjalanan diteruskan.

keladi gergasi 
last water point
ni bukan bunga kantan

Selepas 1 jam pendakian, kami berhenti di last water point. Ianya adalah aliran kecil mata air yang memadai untuk kita membuat bekal air ke puncak dan pulang esoknya. Masing-masing melabuhkan sauh dan menambak stok air dan botol kosong yang ada. Ada juga berlaku penyusunan ringkas ration semula untuk memperbetulkan setup bag masing-masing selepas memasukkan air ke dalam load beg. Walaupun diarah untuk membawa 1.5 liter air untuk tujuan penggunaan bersama di puncak/tapak perkhemahan, majority peserta membawa lebih. Nak basuh kereta agaknya dipuncak. Ada juga yang mengambil peluang membasahkan badan seketika sebelum nak menghadap tengahari yang panas. Nampak sangat tak mandi lepas solat subuh tu tadi. hihi

tak susah cuba jiwa kacau je

Di dalam 2 jam seterusnya, perjalanan diteruskan dengan permulaan merentasi teres-teres balak lama. Jadi, tempo dia berubah dari santai kepada kejap rata kejap mencungap. Di sini, cabaran adalah mendaki tebing teres yang sedikit pangok (60-70 darjah). Dan berhampiran akhiran bahagian ini, ada satu tebing teres yang perlu dipasangkan tali kerana ianya berketinggian melebihi 2 meter dengan darjah 80. Hampir-hampir menyerupai memanjat dinding. Ada yang naik bersama beg, ada yang terpaksa membuka beg kerana beban yang dibawa. Bayangkan, berat saya ni 90kg lebih. Beg sudah 10kg. memang meronta tangan ni nak menarik. Di awal tu, sebab lupa diri, saya lagi sedikit nak terbaring. Hehe. Nasib baik abang guide membuat hentian setiap 1 jam. Dapat lah berehat seketika melepaskan lelah.

Di dalam 2 jam 30 minit seterusnya, keadaan bertambah mencabar. Darjah mendaki semakin meninggi. Dalam lingkungan 30-70 darjah. Dengan keadaan trek yang masih baru, tidak banyak tapak bertangga. Tidak banyak akar tersembul untuk memijak. Banyak tanah peroi yang tidak utuh dan ada banyak batu-batu rapuh. Ada tempat, boleh la berpaut pada pokok di tepi trek. Ada tempat, kena buka teknik powildrive. Tangan sama lutut saya terpaksa gunakan untuk menolak badan ke hadapan. Dan ada juga di beberapa kawasan, saya dibantu oleh Ijal Cheetah dengan menolak beg saya ke atas kerana tidak mampu menarik badan (tiada tempat berpaut dan beg berat). Di akhir sesi ini, kami dinanti oleh rakan di hadapan disebuah lereng. Sempat kami melepaskan lelah sambil berbual bersama sambil melayan view. Di sini, secara tiba-tiba terdengar bunyi berjalan diseberang lereng. ini membuatkan saya masuk dalam mood sedia dengan parang siap dihunus. Selepas dipantau dan diamati oleh abam guide, keadaan kembali normal. Setelah diarasakan ok, perjalanan dimulakan oleh group hadapan. Di sini, group belakang yang keletihan mengambil sedikit lagi masa (jangkaan 1 batang surya) sebelum kembali memulakan perjalanan.

kp berhempas pulas naik

Di dalam 2 jam seterusnya, perjalanan adalah untuk memasuki jari gunung. Disini adalah antara yang terperit. Kerana keadaan memacak yang mula konsisten pada 40-60 darjah dan bermain di lereng. Sangat kurang kawasan rehat/rata dan tidak banyak tempat berpaut. Ditambahkan lagi dengan tanah yang tidak stabil, kami di belakang berjalan agak perlahan. Kerana tidak mahu berlaku sebarang bentuk kemalangan. Tidak lama selepas itu, dillihat abam guide sudah berpatah balik menjemput kami kumpulan belakang dengan membantu membawakan satu beg rakan pendaki. Betul-betul gigih. Saya, sehala pun dah level menghadap. Beliau atas dasar tanggung jawab, berpatah balik. Ini yang kita cari! Dan setibanya di simpang itu, kelihatan rakan pendaki lain sedang menjaga unggun api kerana keadaan yang ada langau/lebah/agas. Tak pasti apa. Tidak menggigit/menyengat. Tapi merimaskan bagi mereka yang sudah menunggu lebih 30 minit. hehe. Setelah cukup berehat sebentar, perjalanan diteruskan.

guide menjaga peserta

Perjalanan ke puncak mengambil masa 30 minit. Darjah pacak dia sekadar bermain pada pasak 30-50 darjah sahaja. Disebabkan ‘latihan’ awal tadi, maka tidak ada banyak masalah untuk meneruskan perjalnaan. Ada juga duduk sebentar sebatang rokok apabila kami dibelakang yang tidak dapat tidur malam-subuh mula mabuk kepeningan. Maka mula lah sesi pewai manja secara bersama. Nasib baik berdua je.

kesite bermalam  

puncak Gunung Tungku


Setibanya di puncak, kelihatan tali tulang fly sudah siap diikat dan kami disambut Pak Teh yang sedang menjaga api untuk menghalau langau/agas/lebah. Tak tahu lah apa dia kawasan ni banyak sangat serangga tu. Mungkin berdekatan dengan dusun dan lebah ini terlibat dengan pendebungaan atau apa. Mungkin. Dan apabila semua telah tiba, , KP telah mengarahkan untuk pemasangan fly, susunan dapur dan pertukaran peserta.


Pada malam itu, kami dihidangkan dengan Daging Salai Lemak Cili Api Negeri Sembilan gaulan Akak Rynn. Pertama kali saya memerhati dan belajar cara masakan. Mudah dan lazat! Kena try nanti di campsite! (kat rumah tak boleh try, orang rumah saya conquer dapur. Kalau main redah je, nanti kena rotan dengan orang rumah. Hehe). Dan sesi suai kenal dijalankan. Di dalam sesi ini, berlaku juga sesi luahan dan perkongsian idea. Tiada sembang-sembang pengalaman gunung sini sana. PERKONGSIAN ILMU MEMBINA. Dalam pada masa sama, kelihatan KP meneruskan kerja menyediakan menu sarapan pagi dan makan tengahari. Sedar-sedar, jam menunjukkan jam 1.30 pagi! Bila perbualan itu seronok, masa pasti hilang seperti tu sahaja. Dan melihatkan jam yang lewat, kami pun bye bye masuk tidur.
saya tidur mati tak sedar apa…

Di pagi hari, saya menjadi mood malas. Bangun balik je, terus disua nasi goreng oleh geng dapur. Itulah untungnya tidur berdekatan dapur. Tidak perlu bersusah payah. Hehe. Sesi sarapan dijalankan secara santai sambil bergurau dan menyakat. Dan tiba-tiba, masuk sesi “jom siap” oleh guide. Yang lain terus laju mula mengemas. Pada masa ini, saya jadi tak keruan. Mana nak kemas, mana nak ke tandas melepaskan durian semalam. Mencecet lari mencari tanah dan semak. Peristiwa Gunung Rinjani kembali apabila terpaksa parking di kawasan tebing sedikit demi mengelakkan rakan pendaki memijak hasil durian semalam. Hehe
tempat tersembunyi

Perjalanan menuruni gunung adalah lancar. Dalam setengah jam, kami telah tiba ke simpang yang dinanti semalam. Dan mengambil simpang yang lagi satu setelah jalan lama ditutup oleh guide. Perjalanan turun lebih kurang berkadar 30-50. Dan ianya pada ketinggian yang memadai. Memudahkan perjalanan laju dan lancar. Ada sedikit kawasan yang perlu dialihkan arah kerana pokok tumbang. Kalau dibezakan dengan kesukaran semalam, kini ianya menjadi sengih. Keadaan ini berlarutan selama 2 jam

Di persimpangan jalan, kami berehat sebentar di satu kawasan lapang sedikit. Di satu arah adalah Bukit Bongkok. Dikirakan, 300 meter sahaja. Kalau diteruskan, takut terputus bekalan air. Naya jadinya. Jadi guide mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan turun demi keselesaan peserta dan ianya diakuri oleh semua tanpa prejudis. Hah! LANGIT TAK SELALUNYA CERAH!

Selama satu jam menurun, keadaan trek kembali mencabar. Seringkali berjumpa dengan curam yang 50-70 darjah. Diselitkan sekali sekala dengan kawasan batu longgar dan tidak berakar. Dan semakin lama, dirasakan yang kami sedang memasuki lurah jari air. kesukaran sedikit terasa kerana tidak mudah untuk mengemudi diri dengan saiz beg 60 liter masing-masing. Namun, ianya tidak mematahkan semangat. Malah, ini menambahkan kegembiraan tinggi. kerana hari yang panas, makin laju pula air diteguk guk guk guk. Dan ya, kami akhirnya berjumpa dengan sumber air yang cantik selepas 1 jam perjalanan. Seperti biasa, ada yang sempat membasahkan badan di air terjun kecil itu. Dan selepas diamati, terdapat kesan simen dan paip. Menandakan ada orang pernah menggunakan air terjun itu sebagai empangan untuk mengumpul dan mengalirkan air. namun 3 inci itu sudah dipotong. Atau berkemungkinan besar, tidak disambung pun. Kerana tiada kesan paip ditinggalkan di sekitar kawasan.

makan tengahari dulu setelah lalu di tempat sungai kering

Untuk 1 jam 30 minit seterusnya, keadaan curam kembali normal yang melambangkan kami sudah hampir ke kaki gunung. Keadaan pokok kawasan rendah semakin jelas kelihatan. Sekali-sekala, terasa macam ter off track kerana keadaan hutan yang jarak-jarak. Nasib baik masih boleh membaca kesan laluan dan juga kerana raincover masing-masing yang terang benderang. Nak dikatakan santainya, sambil berjalan boleh menghisap rokok. Ada juga sesi tergelincir comel apabila kepada dah lalai. Dan mulalah sesi rumput dan resam sedikit. Akhirnya, dari jauh Nampak kecerahan pintu rimba B.

Setelah siap semua berkumpul, kami berjalan kaki lebih kurang 30 minit melalui jalan kebun untuk kembali ke tempat asal. Sepanjang perjalanan, tidak dapat melihat banyak pokok kerana pokok-pokok yang kecil. Ada melintasi satu pokok durian. Melintas sahaja. Tak singgah tengok sangat. Sebab tuan rumah ada kata semalam “nanti balik, mana Nampak durian kat kebun saya tu, bawa je sekali. Boleh buat makan”. Hehehehe. Dan apabila tiba di kebun tuan rumah, kami menjalankan amanahnya semalam. Sambil-sambil meliar mata dan tangan membawa 2 biji durian.

sessi penutup durian

Setibanya di parking, sesi kokak durian dimulakan. Sempat juga makcik tu jual 5 beg 5kg durian. Maka 5 orang yang cepat je dapat. Namun, durian yang gugur dia tak ambil, ambil lah buat makan. Malahan, beliau turut menawarkan peserta semua mandi di rumah beliau. Sambil mandi, beliau memberi izin untuk pergi merayau kebelakang rumah untuk tengok kalau-kalau ada durian juga kerana itu antara pokok yang sedap. Dia tak tipu wei. Dapat la 5 biji gitu. Isi kuning. Baru jatuh. Sedap gila!

Selepas licin durian dikerjakan, kami lelaki secara bertiga membuat keputusan untuk mandi kolah sekali. Hehe. Lama tak merasa mandi dalam bilik air dengan kolah dalam bilangan ramai. Sambil mandi, sambil berbual. Siap berbual dengan makcik tuan rumah yang sedang membersihkan dapur. Adui! Memori sungguh!

Selepas selesai bergambar, kami pun mengucapkan terima kasih tak terhingga kepada tuan rumah yang melayan musafir sekali lalu ini. Tak dapat dibayangkan bagaimana keikhlasan beliau melayan tetamu yang sekadar melintas ini. Semoga Yang Maha Kuasa membalas jasa beliau sekeluarga, dengan sebaik-baik balasan.

Ok geng. Tu sahaja sedikit perkongsian pengalaman dan log-lupa saya berkenaan ekspidisi Gunung Tungku ini. Secara keseluruhan, ianya sesuai bagi mereka yang mencari pengalaman dan kelainan ekspidisi. Kerana ianya masih jarang dijejaki dan mungkin bagi mereka yang mempunyai rezeki, boleh jumpa dan merasa apa yang tersembunyi. Sesuai juga bagi mereka yang ingin mendapatkan pengalaman melalui rentis yang masih baru dan memberi cabaran pelik. Kerana saya yakin, jika bila rentis menjadi kemas teratur, ianya boleh dibuat dalam kaedah daypack.
Nak tunggu daypack, tunggu lah. Nak kejar pengalaman, kejarlah. Nak pergi?
roger-roger lah 😛
terima kasih Cik Man sebab guide kami naik dan turun dengan selamat
terima kasih CIkgu Rose sebab menjaga kami dengan sistematik
terima kasih rakan-rakan pendaki kerana mewarna-warnikan ekspidisi ini!
siapa kata OGKL hardcore?
siapa kata OGKL serius?
mereka pun sama juga manusia
... tak kenal maka tak cinta


0 comments:

Post a Comment