Ekspedisi G. Benom
Ketinggian : 6914 kk
Negeri : Sg Klau , Raub , Pahang
Urusetia : 5 orang
Urusetia sokongan : 2 orang
Peserta : 14 orang
Peserta tarik diri : 1 orang
Ketua Ekspedisi :
Abdul Rashid Ab Rahman ( Sweeper )
Urusetia xpdc :
Aishah kalil ( Marshal)
Mohd Azhari Ahmad ( Lead + Marshal))
Yap Wei Luen (Sweeper)
Zainudin Lot ( Guide + Lead)
Urusetia Sokongan :
Mohd Fadzli Phang Abdullah
Norsafrina Md Nasir
Guide : Zainudin Lot
Peserta :
MAT AKHIR MAT SAAD - ROLAND
OSMAN SULAIMAN – MAN GUNUNG
ROSLAN KASSIM – KLUANG MAN
SULAIMAN SAMSUDDIN – BLACK HAWK DOWN
MOHD NOOR BIN MAJID – MAT NESTLE
TENG CHOON HAN – MONTRAIL BIG FOOT
NORWIDAWATI BASIRI – MIGHTY KLUANG GIRL
NORNITA ABD MANAF – BOWLING PRO STAR
NORIMAH HJ MUSA – BINTANG STAR
TAN BOON LEE - HI-TOP
NOOR AZILA JAAFAR - JEPUN
MICHELLE GAN ENG LIEN – PEUGEOT MTB
ZURIN BIN AHMAD – HAMMOCK
JOHARI BIN ABDRAZAK – THE HUNTER
Peserta Tarik Diri -HAMDAN BIN ZAINAL - Maybank
ISNIN
11.3.2002
Acara Hari Ini: Membeli Bekalan / Ration & Packing.
6.00 ptg
Saya dan Aishah bergegas terus dari ofis pada jam 5.30 petang tu untuk membeli bekalan makanan dan ration di Giant Hi-per Market di Taman Dagang Ampang .Azhari , Fakhrul Anuar dan Adlan menyusul kemudian ke sana. Dia orang ni datang satu kereta ( Fulamak…Kereta Baru!) Boleh tahan gak barang kali ni nak sumbat dalam kereta baru , 3 troli. Hampir 10 minit gak la nak clear barang-barang tu. Selepas settlekan payment, kami bergegas balik ke Taman Saga ,sebab dah lewat ( dah maghrib beb!!.)
8.30
Selesai solat , sembang-sembang lebih kurang maka kami pun terus memulakan tugas memacking barang-barang ration tu...Teruk dan remeh gak kerja ni. Mana tidaknya , minyak , susu , kicap dan barangan berbotol kena salin ke dalam botol air mineral yang sudah pun Aishah keringkan pada hari sebelumnya. Beras nak timbang dan pack balik . Sumi , buah-buah & kudapan pack lain .Sulaiman menyusul kemudiannya dengan membantu Yap dan Anuar membungkus kudapan seperti buah lai , sumi dan chocolate cloud 9 untuk 21 orang peserta .Aishah sibuk memasak didapur , menyediakan makan malam hari tu “ Fish & Chip , kentang goreng ,timun, carrot dan salad cecah thousand island dan mayonise. Saya dan Dom settlekan peralatan yang akan dibawa nanti seperti tent , fly dan ground sheet , tali fly , belerang, stove periuk belanga. Safety line dll . Bulat dan Yap sibuk menimbang dan membahagi-bahagikan ration untuk peserta lelaki dan pompuan . Kena timbang beb! Nanti ada yang komplen pulak. Berat tak sama di pikul, ringan tak sama di jinjing. Ration yang mudah rosak seperti sayur , buah-buahan , lauk-pauk kami masukkan dulu ke dalam peti ais .
Khamis 15.3.2002
Acara Hari Ini: Taman Saga –Teratai – Sungai Klau.
8.15mlm
Petang ini adalah petang yang paling sibuk buat saya dan Aishah . Bergegas balik dari ofis . Singgah kedai mamak beli roti & teh kati . Nak beli awal-awal takut bercendawan.Balik rumah cepat-cepat keluarkan ration dalam peti ais , masukkan kedalam karung plastik ration yang sudahpun disiapkan oleh kengkawan hari tu.Aishah masih sibuk kat dapur memasakkan bekalan lauk untuk di bawa ke Benom dan ration untuk anak-anak sepeninggalan kami nanti. Bila hampir maghrib, Bulat, Fakhrul, Roland, Adlan dan Leman pun sampai , tinggal menunggu si Deeno dan Mat Noor Nestle saja lagi. Tak lama kemudian Deeno sampai , menyusul selepas itu Si Mat Noor . Ke semua mereka parking Kereta dan motor mereka di rumah saya. Acara memuatkan kesemua ration dan peralatan kelab ke dalam Van Mercedes 2.9D pun bermula baik selepas magrib . Mak ai!! belum apa-apa lagi dah menyimbah dah peluh. Dalam hati “Kalau jadi peserta saja kan bagus , tak yah susah-susah macam ni ” Van datang agak lewat kerana petang tu Kuala Lumpur dilanda hujan ribut . Banjir kilat melanda Kuala Lumpur. Masuk dalam van …puhh! lega sikit , kena air –con .Tu pun tak leh nak rehat skit. Hand Set asyik-asyik berdering aje. “Ngalahkan tokeh belacan” “Hah waalaikumussalam …! Ok..ok…Yelah..yelah…jap lagi kami sampai lah ni, tunggu aje kat Teratai tu….kami dah dekat dah ni..tapi jem skit “ . Puas menjawab , lepas sorang-sorang call…lemas..lemas!!!
9.20
Tup..tup..! kami pun sampai kat Teratai. Sebuah lagi van Mercedes 2.9D dah pun tunggu kat situ tapi sorangpun tak nampak batang hidung. Rupanya mereka masih kat dalam Teratai.Nampak Si Nori duduk sensorang , masam sikit…marah agaknya pasal kami terlewat. Bukan disengajakan , lalulintas jam pasai Banjir kilat. Sesampai saja di sana urusetia mula sepantas mungkin menyelesaikan segala urusan sebelum berlepas ke Raub. Bulat dan Roland tolong mengagih-agihkan bekalan ration, Yap mengagihkan peralatan dan t-shirt ekspedisi. Ir kita Si Fazi yang tidak dapat mengikuti kami pada kali ini juga membantu Aishah mengutip baki yuran dan penjualan t-shirt ekspedisi. Peserta Johor yang tiga orang tu dah sampai awal-awal lagi. Baru 1st time saya dapat berekspedisi dengan diaorang. Sebelum ini Wid dan Abg Lan memang dah dua kali ikut OGKL gi Tahan dan Liang East-West tapi saya lak tak dapat ikut sama masa tu kerana belum pulih sepenuhnya dari sakit. Nampak beg Karrimor Condo, “Mana pulak Si Zurin ni ? ..beg ada ..orang tak da “
9.50
Selesai semua urusan kami pun berlepaslah menaiki 2 buah van Mercedes Benz yang di sewa khas . Pergi berghantor , balik dijemput. Wah! manja sungguh bebudak sekarang ni. Tak nak pakai Public transport lagi..!! Mahal sikit tak apalah.. janji selesa , lagi tak yah nak penat-penatkan badan memunggah dari bas ke bas. Memunggah ni pun satu penyiksaan jugak ! Berhenti jap kat petrol station di Highway tepi UIAM. Bila van jalan je..semua dah lolapp. Mana tak nye..duduk kat seat ompok , tambah ngan air-con nyaman gitu..
Jumaat 16.3.2002
Acara Hari Ini: Sungai Klau –Lata Berembun-Kem Bulat
12.00 am
Tup…tup…kul 12.00 tengah malam dah ni.. Elok aje kami sampai kat Pekan Sg. Klau ni 2 Hilux dah menanti. “ Apasai lambat sampai ? “ Apek tu dah bising dah , tapi masih boleh bergurau lagi , kira oklah. Lepas mengingatkan driver tu untuk mengambil kami balik pada hari Ahad nanti kamipun berbye-bye sikit kat driver Van lalu terus menaiki hilux masuk ke Lata Berembun malam tu jugak.Siapa yang naik hilux kat belakang tu merahlah muka macam burung hantu hasil daripada koleksi debu sepanjang jalan. Dipertengahan jalan pulak, sebatang balak telah melintang dihadapan kami. Kena gotong-royong lah kami. Rupa-rupanya kayu balak tu bukanlah berat sangat . Saya tolakkan aje ketepi. Bebudak yang dah turun hilux tu semuanya digelakkan , ingat nak tolong sayalah kononnya.
1.00 pagi
Kami tiba di sebuah jambatan yang masih dalam pembinaan . Hilux terpaksa meninggalkan kami di situ. Alamak ! dulu masa saya masuk jalan ini bukan main teruk sekali .Kena menapak hampir 2 –3 jam .Calang-calang 4 wheel , memang tak lepas. Kali ini cepat pulak ! pasal jalan dah cantik , mereka dah tolak jalan tu terus ke Lata Berembun. Tak lama lagi Lata Berembun memang ramai orang awam boleh masuklah …. Hanya jambatan penyambung aje yang tak siap lagi. Baru aje bergerak , teringat rations untuk hari pertama kami yang kami asingkan telah tertinggal dibalik pokok di Sg Klau ketika kami memunggah beg ke dalam Hilux. Rations itu terlindung di balik pokok…tak sedarla pulak. Alhamdulillah apek Hilux tu berjanji akan ambilkan kalau masih ada kat situ. Janji ngan dia kul 2.00 pagi nanti kami tunggu dia.
Kesemua peserta diarahkan trek ke Lata Berembun dan memasang 2 fly sheet dan 4 khemah untuk bermalam kerana kami harus mula trekking seawal mungkin keesokkan harinya.
2.00 pagi
Tepat jam 2.00 pagi saya dan Yap pergi ke jambatan tadi , kalau ada rezeki kami , sampailah apek tu. Kalau apek tu tak sampai, maka menu kena tukar lainlah jawabnya. Sebaik sampai kat jambatan tu,tersuluhlah pulak kat mesin pembancuh simen, ternampaklah plastik biru . Hooray !!! ration confirm tak hilang. Rupanya apek tu dah antar awal dari yang kami jangkakan. Ambik ration tu terus balik ke kem site. Bebudak semua dah membuta , Bulat, Deeno dan siapa lagi , saya tak ingat tidur kat bawah pokok je…berlapekkan ground dan berbumbungkan bintang. Yang lain tidur bawah fly sheet dan tent. Tanya Leman “kau tidur mana Man ?” “Tak tau lagi bang”. Saya pun bentangkan tent tapi tak naikkan poles , hanya bentangkan tent sebagai ground dan berselimutkan fly sheet …orang malaslah katakan . Berdua aje ngan Leman. Best gak tidur cam tu, tapi kalau hujan , tak taulah … sebelum tidur set alarm dulu ..takut kesiangan nanti.Jam pun dah menunjukkan pukul 3.20 pagi.
6.00 pagi
Alarm berbunyi dari hand set saya. Saya bingkas bangun untuk mengejutkan urusetia lain dan peserta untuk bersiap dan bersarapan pagi. Sejuknya jangan cakaplah…macam awan lalu kat atas puncak gunung . Percikkan dari air terjun yang bebetul kat sebelah kem site juga menjadi penyebab utama kesejukkan yg menusuk ke tulang tu.
6.30 pagi
Selesai Solat Subuh , turun ke kolam ambil air untuk masak nasi dua periuk .Aishah dan Saf panaskan Rendang Ayam dan potongkan timun. Aishah yang di bantu oleh Wid dan Nori buatkan egg-banjo special untuk bekalan tengah hari nanti. Semua makan nasi kecuali Ms Tan . Dia tapau nasi dan breakfast ngan egg bonjo ,buah pisang , epal dan berbagai-bagai. “ Saya biasa makan buah saja pepagi” kata Miss Tan. Kepoh jugalah Ms Tan ni..dia kata dia dari keturunan Baba Melaka. Ms Tan bawak limau bukan main banyak lagi..saya pau satu je..yang lain kasi sedekah kat member-member lainnya.
Sesudah bersarapan pagi iaitu nasi putih berlaukkan rendang ayam ,kami memberikan sedikit taklimat untuk hari itu dan sessi stretching dilakukan oleh Fadzli Phang sebelum bergerak.
8.50 pagi
Kami mula bergerak menyeberangi sungai disebelah kanan air terjun menuju ke sungai dibahagian atas. Sorang-sorang kena lintas sungai di air terjun tu.. Roland tergelicik plak. Sib baik tak jadi apa-apa. Lepas sugai tu …mencanak habis agak 20 minit gak. Take five jap kat tepi sungai atas air terjun yang ke tiga . Tanya sorang-sorang OK ke tak ? Mestilah jawapnya “OK” tapi muka memasing dah merah padam. Mana tak nya treknya mencanak je..tak bagi chan langsung. Bergerak masuk kekanan melalui tebing lagi untuk ke sungai yang kena cross melintang . Kami tiba di sungai terakhir lebih kurang jam 10.00 . Sampai aje kat situ dah ada beberapa peserta yang bermandi-manda . Pakai shampoo lagi.. Saya Kata “ Kalau dah shampoo…shampoo tak yah naik lah…kita patah balik je. Pasal semua dah wangi” ” Kang kalau naik, tentulah busuk balik” . Choon Han siap bawak body shampoo yang gadang lagi…macamla nak pakai sebulan dan macamla kat atas puncak tu ada air nak mandi. Mungkin jugak boleh kalau hujanlah. Kami nasihatkan dia supaya meninggalkan body shampoo tu di situ. Wat apa bawak.. buek borek beg yoo...
10.20 pagi
Selepas berhenti seketika kami pun memulakan kembali perjalanan . Disini saya menyarungkan shin guard dan Leech sock . Jalan selepas ini teruk sedikit. Silap haribulan mau calar-balar lengan dan betis. Dulu dah kena dah, masa pegi recce dulu. Kali ini dah serik . Perjalanan dari sini ke water-point kebanyakkannya mendaki dan mencanak . Si Han kelihatan asyik tersalah trek. Segala trek bintang dimasuknya . Sememang disini banyak simpang-simpang dan denai-denai binatang . Selalu boleh keliru…kalau tak biasa . Baru jalan kejap jumpa Bulat berpatah balik “ Hah ..Lat….apa hal ? “ “ Tali ini abg suruh bawak atas ke atau tinggal kat sini ? “ Tanya Bulat termengah-mengah. “ Tinggalkan kat sini ajelah…kalau kau sanggup nak bawak ke atas tu…bawaklah kalau berani ..tapi berat kot”. “Kat atas di batu-batu gua yang ada lubang-lubang dalam tu..kita cari kayu dan ikat pakai akar ajelah..” Bulat pun pegi sorokkan safety line kat tepi balak . Safety line tu kami selalunya memang bawak kalau eskpedisi yang akan melintas sungai. Mana tahu..masa pegi…sungai kecil je..tetapi kalau hujan lebat kat atas …mesti akan menjadi besar air sungai kat bawah.Kalau ada tali dapat gak membantu. Trumpet OGKL mulai berbunyi, menandakan grup depan tidak berapa jauh . Menaikkan semangat kami bila mendengarnya. Saya dan Yap berjalan dibahagian belakang sekali kerana backup Michelle yang berjalan sedikit perlahan dari perserta lain. Jalan atas sikit sebelah kanan jumpa 2 batang pokok yang sudah bercantum menjadi satu . Berhenti disini jap, Michelle dan Yap nak bergambar . Katanya nanti balik tak tentu mau berhenti. Ditengah jalan kami berjumpa pula dengan Ms Tan dan Nornita. Masa inilah Yap tanya kalau-kalau saya ada bawak survival kit. Rupanya waist belt beg Karrimornya dah putus sebelah. Selalunya memang bawak tapi kali ini… sah tak bawak. Masa packing tu..berkira-kira nak bawak…?tak bawak..? akhirnya jadi biawak. Rupanya kalau berkira tak nak bawak…selalunya kena pakai la pulak. Michelle dah nampak kepenatan tetapi sungguhpun gitu , kami tahu dia tidak mudah mengalah dan tak akan easily give-up. Walaupun slow ketika naik tetapi tetap maintain pace dia. Tanya dia “Berapa botol bawak air ?” “ 2 botol 1.5 ltr” . “ Patutlah ! bawak untuk on trek cukuplah, nanti tengahari jumpa waterpoint barulah isi semua botol pikul ke Kem site !! tak yah bawak banyak-banyak ..” saya mula berleter. “ Saya banyak minum airlah . Takut tak cukup “.Jawab Michelle “ Lagi… banyak minum , lagi cepat kembong! .Kalau dah kembong nak jalan pun susah….. minum sikit-sikt je..” saya berleter lagi.Jumpa Phang dengan Zurin. Zurin dah pakai plastic tutup rambut macam orang pompuan nak mandi ..takut rambut basah. Hujan mula turun tetapi tak lebat….gerimis je.
1.15 Tengahari
Kami tiba di Water-point terakhir dangan diiringi oleh hujan tetapi tidak terlalu lebat. Disini kita boleh lihat kerjasama diantara peserta , mereka beratur tolong saling sambut menyambut lepas satu botol ke satu botol untuk dibawa ke atas. Sungguh systematic . Ini adalah kerana water-pointnya dibawah batu, dimana kami terpaksa turun sedikit kebawah dengan laluan yang agak licin. Bila beg semua dah extended , kami pun mula bergerak untuk ke Puncak Bulat , lebih kurang 2 ke 3 jam lagi. Masa ambil air tu ada juga peserta perempuan ambil kesempatan tidur tepi beg.Tutup pulak dengan plastik baju hujan..Ingatkan beg ..rupanya mereka tengah tidur …duduk menyangkong …ZZZZZZZ.
2.00
Kami mulai bergerak ke permatang . “ Lalu..lalu…Abg Man nak lalu….” Abg Man ini memang pantang jumpa air…habis di pikulnya. Lebih Kurang 15 liter air dipikulnya hari itu. Kalau dia dah mula pikul air maka orang depan terpaksa beri laluan kalau tidak….sindri jawapla. Laluan kali ini memang sangat mencabar kerana banyak duri dan semak . Rain- cover kami ada yang tersiat . Diatas permatang ini, terdapat beberapa puncak bonsai yang pokok dan rantingnya keras ya amat . Silap haribulan semestinya mencalarkan lengan. Dikawasan ini kami tidak banyak berpeluh seperti sebelum ke water-point tadi. Kawasannya berlumut dan sejuk. Kami yang belakang ni ‘take 5’ kat satu bukit tu. Michelle keluarkan kacang goring , kacang dal dll ..maklumlah budak MTB …kurma dan kacang mesti tak tinggal...Mtb pulak peugeot…!! lagi . Nita dan Ms Tan dah merungut dah. Ms Tan siap cakap “ Lain kali hah…kalau trek cam ni ha…jangan panggil aku pegi…memang aku tak pegi ooo..” “Cukup !! sekali …cukup !!”.
Sampai kat satu puncak terserempak dengan grup tengah…yang sedang ‘take 5’ sambil tengok view. Nampaklah permatang-permatang yang macam berombak-ombak.Sememangnya ada beberapa permatang yang menghala ke Puncak Benom. Depan ada permatang lain yang treknya kena divert masa kat sungai tadi.tapi jauhlaa pulak. Kalau reramai trek ikut tu…memang ramai yang tak sampai puncak ..So kami rancang ikut trek dekat ni ajelah…memandangkan grup kami ramai dan kalau boleh kami ingin bawak kesemua peserta-peserta ini berjaya sampai ke puncak dan dapat turun juga dengan selamat serta dapat enjoy dalam trip kali ni.Kalau ikut trek jauh tu…alamatmnya…ramai yang pewai dan bila turun ke Lata Berembun nanti pun dah malam sesangat. Kedengaran suara –suara yang berbunyi “ Jauh lagi ke bang? “ soalan yang lazim sekali didengar . “ Dah dekat dah ! sekejap lagi sampaila “ . Jawapan keramat saya. Sebenarnya memang dah dekatpun, tetapi bagi yang dah kepewaiian …tu….yang dekat bagi dia…. jauuuuuuh..
4.30
Grup pertama tiba dipuncak Kem Bulat .Tandanya -bunyi letupan mercun oleh Mohd Noor Nestle yang dapat kami dengar semasa sedang ‘take 5’ disalah satu puncak yang berhampiran. “Jom.!! Jom dah dekat dah tuh..Kan Mercun dah berbunyi tuu!” arah saya pada Michelle dan Nita.Bergegas mereka bingkas bangun. Bersemangatlah gamaknya …sebab dah dekat kem site. Kalau tak dengar bunyi mercun tu…alamatnya slow aje pergerakkan mereka.
5.15
Sememangnya dekat, selepas 20 minit trekking , kami pun sampai di Kem Bulat .Jalannya cantik , penuh berlumut dan bonsai. Trek ni memang dah lama orang tak lalu jadi lumutnya tebal-tebal tetapi tak seperti kami datang 1st time dulu dimana tempat kami pijakpun masih hijau subur lagi. Dah sampai apalagi.... Urusetia dan peserta seperti biasa tolong-menolong untuk mendirikan Fly sheet dan Khemah . Kem Bulat ini sempit sedikit tetapi kami masih boleh memasang 2 fly sheet dan 3 buah khemah untuk peserta perempuan. Zurin dan Fadzli memasang satu lagi fly sheet menjadikan tiga kesemuanya. Puas gaklah meratakan kem site tu. Maklumlah kem site tu baru aje kami bukak tahun lepas. Masa tu kami ber7 saja. Masa tu Saya, Aishah , Bulat , Fakhrul - Team kasut Adibus & Team Kasut Salomon Raid Race iaitu Deeno, Jojet dan Atok. Tentu kamu semua nak tahu kenapa kami namakan Kem Bulatkan ? .Nanti kita ceritalah .Dah penat menaip dah ni.
6.00 petang
Siap semua fly & khemah , Kami mula sibuk mengasingkan ration untuk dimasak malam itu dengan ration untuk hari esoknya supaya senang kami tau mana satu utk malam ni, pagi esok dan utk hari-hari selepas itu. Menu malam itu adalah Nasi Beriani dan Ayam Masak Merah beserta Jelatah plus Papadom. Mungkin pada peserta baru , ianya menjadi satu kejutan buat mereka kerana tak sangka dapat makan nasi beriani kat ketinggian melebihi 1600m tapi pada peserta regular , menu tu…dah jadi biasa . Ration makanan OGKL memang mewah.Bawak ajelah keatas kalau nak makan mewah.Kalau malas main power bar jelah atau masak nasi ngan tuna in waterlah . Besok sarapan Hotdog ngan mayonise lak yee !. Pada yang tak makan tu… dengan ucapan “ Berikanlah pada saya kalau tak mau “. Malam tu Si Deeno tolong kami menumis nasi beriani…arahannya…..dari Kak Aishah Kau!!.
7.50 Malam
Kami makan setelah semuanya bersolat Maghrib dan menjamakkan solat Isyak. “Tambah….tambah….” seperti biasa memang bertambahlah kalau makan nasi beriani, boleh dikatakan semuanya makan bertambah. Pinggan saling datang dan pergi dihulurkan kepada Kak Aishah , Sampai Kak Aishah nak makan pun terganggu. Kesian dia. Ada pulak yang bercadang lain kali nak bawak 2,3 pingan yang berlainan color supaya orang dapur tak cam pinggan siapa. Ini mesti Si Zurin dan Si Phang ni !!!. “ Kak Aishah ! kasi peratikan pinggan satu tu..jangan main boh je!”. “ Eeerrkkk “ Si Bulat & rakan-rakan sendawa lepas sorang-sorang.
8.50 malam
Sessi–suai kenal kami jalankan seperti biasa. Rancak jugaklah ….macam-macam soalan dan jawapan yang di ajukan. Sedang rancak beramah-ramah Si Han minta permisi masuk bilik kecil katanya . Bermacam-macam soalan diajukan…tapi lagi sekali Si Leman di kecewakan…..rupa-rupanya si Anu tu dah berpunya….melepas lagi !!. Sambung balik kisah bagaimana kem Bulat diberi nama... . Begini ceritanya….Semasa kami pegi recce trek ini dulu ..kami hanya bertujuh saja. Kami hanya sempat naik hi-lux sampai 4 kilometer yang pertama aje dari Pekan Sg Klau…kerana malam tu hujan turun agak lebat .4 wheel tak leh masuk …so the rest semuanya menapak masuk…Treknya tau ajelah …trek balak tinggal….hanya 4x4 yang hardcore saja yang berani masuk. Selepas menapak 3.5 jam baru kami sampai ke Lata Berembum. Kak Aishah masa tu dah kaki ayam je ..sebab trek balak tu baru lepas hujan . Pakai kasut adibus asek saja terlekat dalam trek . Tersangatlah becaknya. Lepas makan tengahari ..kami bergerak jam 2.40 petang . Tiba di last waterpoint pun dah hampir maghrib. Tak ambil pun air kat situ sebab dah pikul dari bawah. Berhenti maghrib jap kat batu besar kemudian terus trekking sampailah ke satu puncak .Masa tu jam dah pukul 10.00 malam. Bebudak pun ramai yang dah muka toya semacam je..Sampai kat situ. Treknya berpecah 2 .Maklumlah malam …tersuluh-suluh…trek pulak banyak nak kena menebas….tetiba satu cadangan datangnya dari SiBulat…”Sini rata sikit Bang…sini rata bang…” Bulat beriya-iya , namun nak minta berhenti takmau .Asyik cakap “ sini rata bang !.. Dia suruh kita faham-faham ajelah…hari dah hampir tengah malam tapi kem site yang dicari tak tau lagi berapa jauh, mungkin dah terlepas agaknya. Jam ditangan menunjukkan dah pukul 10.10 dah ni “ . Setelah menilai keadaan kengkawan dan memandangkan hari pun dah malam, kem site yang kami cari mungkin jauh lagi….saya memutuskan untuk bermalam disitu ajelah. Kengkawan semua mentertawakan SiBulat kerana tak nak cakap terus terang nak kem site kat situ. Menjadi bahan gelaklah sampai ke balik . Dari peristiwa itu, kami menamakan kem tersebut dengan nama Kem Bulat . Kebetulan pula kem sitenya memang bulat . Begitulah al-kisah KEM BULAT diberi nama . Kem Site ini Kalau terus kedepan akan menurun sedikit , kalau ke kanan akan jumpa satu taman lumut hijau yang sangat cantik. Tempat ini macam ada orang yang menjaga pulak. Lepas reccee petang tu…didapati trek binatang aje yang ada kat situ. Malam tu bebudak semua jadikan port untuk TERBERR…..
9.50 malam
Selesai sessi-suai kenal dan beramah-mesra , saya memberikan sedikit taklimat perjalanan untuk esok harinya. Memandangkan jumlah kami ramai dan ingin membawa kesemua peserta sampai ke puncak ,kami memutuskan untuk buat day trip saja, dimana kami tidak akan membawa beg ke puncak. Perjalanan hari esok agak bahaya kerana terpaksa trek ditepi-tepi tebing yang curam tapi melalui beberapa buah batu besar dan gua-gua batu yang cantik. Peserta diingatkan membawa bekalan air , makanan secukupnya , kamera dan lampu suloh. Perjalanan dianggarkan selama 7-8 jam pergi-balik .Si Han dah dua kali minta laluan nak TERBERR. Entah apa yang dia makan siangnya …entahlah.
10.30malam
Saya arahkan kesemuanya masuk tidur sebab besok nak kena bangun awal dan trekking awal . Kalau tak dihalau sampai ke pagilah beborak. Kitaorang yang tidur bawah flysheet ni alamatnya tak leh tidurlah…
12.55 pagi
“ Bang..Bang…temankan saya terberr .” Seorang peserta mengejutkan saya .saya pun lalu bingkas bangun. Macam mimpi pulaklah rasanya .Baru aje tidur…Cari lampu suluh terus je ke tepi kem site ..habis dia terberr….sambung balik tidur…
Tup…tup….” Bang…bang ……temankan saya bang…..” Eh ! lagi sekali ke ? rupanya orang lainla pulak. ” Hoi ! berapa ramai yang terberr malam ni hah ? “. Kul 3.00 pagi tuuu Janganlah ada yang panggil lagi lepas ni …Perut saya pun rasa macam nak terberr tapi malaslah pulak nak nyangkong memalam . Sejuk pulak angin pagi tu….Apa-apa hal besok sajalah. Grrrrr sejukkkkk ya amattttt….
Sabtu 16.3.2002
Acara Hari Ini: Kem Bulat – Puncak Benom – Kem Bulat.
6.00 pagi
Bangun pagi . Kejut Kak Aishah dan Saf . Setelah urusetia solat subuh mula tugas menyediakan sarapan pagi iaitu hotdog special dan mayo dan pack lunchnya ialah scone dan bun saja . Sepatutnya Kebab Daging tapi tukar dengan hotdog special .Setelah bersarapan pagi ,buat lagi sessi stretching dilakukan lagi sebelum trekking pada jam 8.45.
11.00
Kami berhenti rehat dan makan tengahari pada satu puncak sebelum menurun ke arah gua-gua batu yang agak bahaya . Lubang-lubang itu kebanyakannya amatlah dalam sekali . Jika tergelincir sememangnya agak susah untuk diselamatkan.(Tapi insyaallah hidup. Cuma patah riok je). Saya , Yap dan Michelle banyak berhenti tapi bukan take 5 tapi bergambar .Mana taknya orang didepan ada ramai yang bawa camera macam Si Zurin , Phang , Illa ,Wid dll. Kami kat belakang ni hanya ber3 saja. Aleh-aleh muka tu jugak. Kadang kala terdengar juga hilai ketawa orang depan , jealous juga kengkadang tu.Apakan daya kalau dah jadi swepper tu…kena sabar je lah..Kelihatan juga Si Guide kita Deeno meletakkan kayu panjang ditepi tepi tebing yang curam , menandakan kawasan bahaya. Hanya tidak kelihatan kali ini adalah titisan air yang turun mengalir mengikut akar-akar ditebing-tebing gua sepertimana kami datang dulu. Begitu indah dan leka sekali sekira dapat melihat air itu menitis dicelah-celah batu gua dan ditepi-tepi tebing. Dulu kami meletakkan setiap botol yang ada disini dan mengambilnya ketika kami lalu balik ke sini. Mungkin sekarang ini musim kering , lumut yang sentiasa hijau pun dah hampir kemerahan.
12.40
Trumpet dan Mercun dah berbunyi menandakan Grup depan sudahpun sampai ke puncak Benom dengan meriah sekali. Kami digrup belakang masih berehat take 5 kat sebuah batu besar .mungkin kami tertinggal 15 minit saja dari mereka .Kedengaran pekikan demi pekikan orang dari atas puncak tetapi kurang jelas siapakah gerangan. Kedengarannya macam bertempik. “Isyykkk siapa pulak yang bertempek tu ?Macam tarzan memanggil kengkawan “.
12.55 tengahari
Kami bertiga selamat sampai di Puncak Benom yang masih terdapat bearout disitu tetapi lebah masih berkeliaran diatas bearout sepertimana ketika kami sampai pertama kali dulu. Dulu semasa kami datang Deeno tak perasankan lebah kat atas tu. Dipukulnya bearout tu dengan kayu kuat-kuat. Kenalah kami satu das . Kalau turun di bawah sikit belah kiri nampak campsite yang agak lapang. Kami lepak-lepak dan lunch di situ. Terdapat satu insiden yang tidak mungkin dapat kami lupakan berlaku di sini. Mat Noor Nestle ni memang hobinya suka main mercun tapi kali ni di mana silapnya mungkin mercun yang di pasang tu dah masuk angin. Setelah di pasang, mercun ni tak naik tapi melompat-lompat aje macam anjing gila mengejar orang. Apa lagi riuh rendah bebudak perempuan kena kejar ngan mercun last-last ianya landing kat beg pack Nita. Apalagi berlubang le kawan tu punya beg. Bukan beg aje yang kena…. roti untuk lunch pun kena. Pucat gak le muka Mat Noor masa tu. Kami ramai-ramai pakat gelakkan dia. Berbakul-bakul gak la dia minta maaf kat si Nita tu. Siap nak ganti beg lagi. Ha…Mat Noor sindri makan pengat sindri mau ingatla… Lepas Abg Rashid dan Abg Man lekatkan plate OGKL & PMM kami bergambar beramai-ramai dan kemudian terus turun .Jam menunjukkan pukul 2.30 ptg.
4.50 ptg
Grup pertama tiba di Kem Site Bulat .Kami hanya tiba 40 min kemudian daripada mereka. Ada peserta yang dah tunggu sun set di puncak-puncak yang menarik kat atas tu. Illa dan Hunter pegi puncak yang satu lagi…boleh nampak clear gitu. Kami yang last ni sesampai saja nampak semua berlonggok kat bawah fly sheet. Ada upacara minum milo lopak gamaknya. Cian kat Leman , dahlah buatkan diorang air milo…kena kutuk pulak tu…milo lopak !! la plak. Si Leman tu tak pandai nak menyelongkar dapur orang .Apa yang dapat ajelah…. Pada Hal Milo 1 packet setengah lagi ada.
6.00 ptg
Saya menenggekkan nasi untuk makan malam di bantu oleh Fazli membuat air, Bullet mengoreng keropok sayur dan Safrina memasak lemak kobis. Kak Aishah tidur sebab tak sihat. Malam itu menu kami ialah rendang daging, kobis masak lemak dan keropok sayur .
8.30 malam
Selesai makan , kami mengadakan satu sessi untuk menceritakan pengalaman yang kami tempohi pada pendakian hari kedua kami. Ramai peserta menyatakan kepuasan yang tak terhingga sehingga terharu kami mendengarnya.Ada gak peserta yang sebak bila menceritakan pengalamannya kerana dah dua kali dia pergi tak sampai (apa orang kata kena kencing) dan kali ketiga ni… alhamdulillah. Lepas sorang-sorang berikan pendapat dan pengalaman. Malam itu juga kami ada surprise untuk Roland. Hari ini adalah hari ulangtahunnya yang ke ..?? entah tak tahulah plak. Dengan kek comel yang dihadiahkan oleh Kak Aishah diletakkan pulak lilin sebesau lampu maglite , maka sambutan majlis dimulakan .Meriah gak lah sambutan kat puncak Bulat tu. Saya hanya sempat hadiahkan sekotak biskut Chocolate..entah lupa pulak brandnya. Dapatlah rasa sorang sikit…pasal..semua baru aje makan malam.semua masih kenyang lagi.
11.00 malam
Selesai semua majlis dan perbincangan , peserta diarah masuk tidur dan berehat . Ada juga yang main game dan ada juga yang mendengar radio ERA.Yang suka berborak tu ,inilah masanya nak menghabiskan borakan mereka….terabis jugak!. Saya , Deeno & Saf mengadakan perbincangan tertutup…… Alhamdulillah….. settled .
AHAD 17.3.2002
Acara Hari Ini: Kem Bulat- Lata Berembun- Sungai Klau- KL
6.30 pagi
Seperti biasa alarm berbunyi di sisi saya menandakan waktu dah pun suboh. Solat subuh dan bergegas mengejutkan Aishah untuk menyediakan sarapan pagi iaitu Pita Kebab Daging. Pagi ini boleh relax sikit tak macam hari-hari sebelum tu. Pagi ini pun trekking banyak menurun saja tetapi bahaya jugak .Silap –silap trek ,terbolos kaki dalam trek kerana trek peroi . Kat atas ingat keras tetapi bila pijak terbolos sampai lutut. Dengarnya masa turun ni banyak yang terduduk dan terperosok .Lelebih lagi di Nestle tu.
8.30 pagi.
Setelah bersarapan kami pun bersiap mengemaskan beg, membuka khemah dan fly dan membersihkan kawasan di sekitar itu. Saya meletakkan tag Kem Bulat di sebatang pokok disitu. Setelah selesai sessi penggambaran kami pun memulakan langkah untuk turun dari Kem Bulat itu. Berat juga rasanya untuk meninggalkan kem site itu…Entah bila pulak nak datang lagi. Kalau ada yang nak datang lagi …bolehlah saya temankan kemari.
9.30 pagi
Kami mula bergerak turun ke Lata Berembun. Peserta semuanya masih bersemangat meneruskan perjalanan kerana masing-masing semuanya tidak sabar untuk bersantai di kolam Lata berembun yang sememangnya airnya begitu sejuk lagi menyegarkan. Setelah beberapa lama berjalan melepasi water point , saya seolah-olah percaya saja dengan Dak Yap yang berjalan di depan Michielle . Yang lain tu jangan sakap lah…dah berdesuttttttttt .Entah-entah dah syok beremdam kat Lata Berembun tu. Tetiba terasa lain benar trek yang kami lalui ini. Trek tanah merahnya menurun curam dan terdapat banyak tapak kaki binatang yang lalu kat laluan itu. Sedang saya menilai-nilai trek tetiba Dak Yap yang dihadapan berhenti dan memandang kearah saya. “ Trek matilah Bang !” “ Tak pa..tak pa you all tunggu sini dulu , bagi abang cari trek dulu “ . Saya pun meninggalkan beg dan terus kesebelah kanan. Kelihatan kesan tanah runtuh yang curam kat situ. Tak mungkin trek ini sebab trek ini kami tak lalu semasa naik hari tu. Trek binatang agaknya …banyak betul…berpecah-pecah. Kemudian saya recce ke kiri .Ikut laluan binatang jugak. Setelah hampir 7 minit saya ternampak landmark yang amat saya kenal iaitu 2 batang pokok yang telah mencantum menjadi satu .Disinilah Dak Michelle dan Yap bergambar hari pertama dulu. Rupanya kami telah terlajak terus kedepan. Sepatutnya kami ambil trek kiri. Berpatah balik ketempat Michelle dan Yap . Nak back trek keatas , semua dah malas ..redah ajelah trek binatang tu untuk menyeberang ke kiri. Yap & Michelle kali ini tak nak jalan jauh –jauh lagi. Semua jalan rapat-rapat , takut sesat lagi. Al-maklumlah trek kat bahagian bawah ini banyak berpecah-pecah. Sampai satu cabang lagi ditepi sungai Dak Yap sekali lagi turun kebawah menghala ke sungai dan hampir-hampir Dak Michelle mengikutnya turun. Saya yang tidak jauh dari situ meneriak memanggil Yap naik balik ke atas. Bila tiba di bawah dapat berita sememangnya tempat yang sama ini jugalah beberapa peserta yang dihadapan pun terlajak juga.
Melintas saja sungai yang besar itu ternampak di atas pasir satu tulisan :- 13.30 ,13:45 ditulis dengan kayu . Mungkin menandakan grup depan sampai dan beredar dari situ. Kami bertiga berehat sekejap sambil membasuh kasut yang kotor dan berselut tu. Disitu saya mengesyorkan kepada Michelle untuk mencuba mengunakan kasut Adidus . Selama ini beliau menggunakan kasut Timberland mid-cutnya. Ketika berjalan diatas batu-batu ditepi sungai sememangnya tak confident katanya. “ Tak pa..sampai kat Pekan Sg. Klau nanti boleh beli kat situ.Harga dalam RM4 saja” Kata saya. Kami bergerak dari situ setelah memberikan bekalan Kebab Daging saya pada Michelle kerana perut saya belum merasa lapar lagi. Makan di Lata Berembunlah nanti ! sebab orang depan semestinya dah masuk Bee Hoon Soto Muarnya yang terkenal tu dan boleh dibau dari situ.
3.15 petang
Apabila grup kami yang dibelakang sekali tiba di Lata berembun kami dapati ramai peserta dah menjadi blue hippo….. apalagi berendamla. Nampak Dak Zurin , Joe Hunter , Abg Man Proton dan yang lain-lain bukan main gumbira lagi terjun dan bermandi-manda . Lunch tengah hari pun dah siap di masak oleh, Kak Aisha, Bulat, Fazli dan di bantu oleh rakan-rakan yang lain. Menu kami tengah hari itu ialah Mee Hoon Soto Ayam ( Muar) . Berselero bebudak makan. Apa taknya, lepas makan mandi balik, lepas mandi makan balik, lepas tu mandi balik …..( aii ! berapa banyak lepas da…..). Ada juga peserta yang mengambil keputusan untuk tidor kat bawah pokok kat situ . Lutut Kak Aisha dah mula membengkak. Apa masaalah kali ni tak tau la. Selalu tak pernah kena pun. Nak kata jatuh tak pulak emmm….ontahla . Kelihatan sebuah Kren sedang menyodok-nyodok tanah kat situ. Mak aii !! sekojap dah sampai kat air terjun tu…Alhamdulillah kami cepat turun .Kalau tidak habis barang-barang yang kami tinggalkan kat belakang pokok tu habis di tolaknya. Terima kasih pada Abg Man Proton kerana pandai pulak mencari kat mana saya sorokkan barang-barang tu.
5.00 ptg
Kami mula meninggalkan perkarangan Lata Berembun dengan seribu kenangan. Lintas jambatan untuk ke tempat Hilux menunggu. Eh! Eh! Rasanya masa masuk dua hari lepas jambatan besi ni belum siap lagi…. Tapi hari ni…..cepatnya… 2 Hilux dah menunggu dah kat situ. Hilux yang didepan tu dah penuh direbut oleh bebudak yang tak mau duduk di Hilux belakang takut kena debu & asap kononnya. Si Han yang terlewat cop tempat merayu untuk naik Hilux yang depan tetapi rayuannya tertolak. Dengan muka sedih dia pun naiklah Hilux yang dibelakang. Tup..tup..bila dia naik je…Hilux tu pun terus bergerak dan memotong Hilux yang dihadapan. Secara spontan si Han yang sedih tadi tu mengejek-ejek bebudak yang tak bagi dia naik ke Hilux depan tadi tu….Yes ! yes ! Yes !! katanya berulang-ulang kali menandakan puas hatinya dapat meninggalkan bebudak tu telan asap dan debu merah yang bukan senang nak di cuci nanti.
6.00 ptg
Kami tiba di Sg Klau dan kami dapati Van masih belum sampai lagi. Kami ambil keputusan untuk ke Pasar Malam untuk jalan-jalan cari makan. Ada yang serbu kedai ayam goring, ada yang serbu kedai cendol dan ada juga yang serbu kedai bundle. (Itu pada yang kaki bundle la). Bila semua dah dapat makanan balik semula ke tempat letak beg untuk makan bersama-sama kengkawan yang tak lalat dan sakit kaki. Si Choon Han dah kepanasan. Peluh dah menyimbah-nyimbah. Apa taknya pepanas buta pakai fleece. Bila di tegur katanya “T’shirt dah habis, semua dah pakai”. Lepas kena tegur terus pegi pasar malam beli T’shirt. Kalau tak… emm…masak le budak ni jawapnya. Golek dah golek dah, makan dah makan dah, pisang nak dekat setandan habis tapi….dah pukul 7.00 van masih tak datang lagi. Cuba contact tapi tak dapat. Ni mesti ada masaalah ni. Baru teringat yang van itu mesti kena pergi ambil orang di Sepang sebab F1. Sah-sah le lambat ni. Kesian kengkawan Johor yang nak balik ke Keluang malam tu.
8.00 mlm
Van tiba dengan pemandunya memohon maaf bebanyak. Katanya tersangkut ketika nak keluar dari parking Sepang F1. Lepas dapat keluar apalagi mereka pun kena F1 juga le di Highway. Masa balik ni pun kami kena F1 juga sebab nak kejarkan bas untuk kengkawan yang nak balik Keluang pukul 11.00 mlm. Nasib baik naik Van Mercedes beb ‘lali pun tatak lasa’.
Lagi 5 minit pukul 11.00 kami sampai ngan selamatnya di depan Puduraya. Selepas bersalam-salaman van meneruskan perjalanan ke rumah saya di Taman Saga. Satu van lagi terus ke Teratai. Tiba di Taman Saga lebih kurang pukul 11.45 . Masuk rumah kejap tapi Zurin & Roland kata “ kalau masuk ni lagi lambat kang” . Lepas Mat Noor start kereta dan balik ke Shah Alam , Zurin & Roland berborak lagi kat luar tu. Dah lepas jam 12 .30 kami mereka beredar. Roland dan Si Zurin balik ke Sungai Buluh.
Ekspedisi Tamat
Sekian Lapuran oleh
Abdul Rashid Ab Rahman
Ketua Ekspedisi Gunung Benom.
0 comments:
Post a Comment