logo
Gambar-gambar Trip 2018

Logo OGKL

Logo OGKL

Saturday 5 January 2013

L01: Gunung Chabang


Gunung Chabang
Tarikh: 24 - 26/1/2001
Tempat: Simpang Pulai, Perak



Pada cuti tahun baru cina yang lepas, seramai 16 orang pendaki dari Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL) telah berjaya mendaki Puncak Gunung Cabang ini terletak di Pos Slim, Simpang Pulai, Perak Darul Ridzuan.

Kami telah memulakan XPDC ini pada 23 Jan 2001. Kesemua pendaki berkumpul di Hentian Jejantas R&R Sungai Buluh sebelum berlepas ke Hentian R&R Tapah. Setelah semuanya berkumpul kami telah mengagih-agihkan ration kepada peserta.Kami berlepas dengan menaiki 4 buah kenderaan yang di pandu oleh Abg. Rashid, Jaafar, Johari dan Nita. Alhamdulillah, lebih kurang pukul 1.30 pagi kami tiba di R&R Tapah. Di sini masing-masing mencari tempat untuk melelapkan mata sebelum menyambung semula perjalanan pada esok hari.

Pada keesokkan harinya 24.01.01, kami telah menyambung semula perjalanan dari Hentian R & R Tapah ke Pos Slim. Kami berlepas dari Hentian Tapah ini lebih kurang jam 7.30 pagi setelah semua peserta siap mandi, menunaikan solat dan bersarapan pagi. Setelah 1 jam menyambung perjalanan akhirnya kami sampai di Pos Slim, iaitu sebuah perkampungan orang asli.

Ekspedisi kali ini berbeza daripada ekspedisi sebelumnya kerana pada kali ini ketua ekspedisi diketuai oleh seorang wanita iaitu Kak Aishah. Sebelum memulakan perjalanan Kak Aishah telah memberi serba sedikit taklimat mengenai perjalanan dan mengingatkan tentang bahaya yang ada semasa pendakian. Setelah melakukan sedikit warm-up di ketuai oleh Fazid dan bacaan doa selamat oleh Abg. Rashid.En Jaafar selaku pemandu arah kami telah mendahului perjalanan.

Pada awal permulaan trekking kami terpaksa melalui trek yang sangat curam. Peserta terpaksa berjalan perlahan-lahan serta mengawal penafasan mereka. Setelah hampir 2 jam melalui trek ini, terdapat beberapa peserta wanita mula mengeluh kerana trek kali ini begitu mencabar. Walaupun ada di antara mereka yang hampir kepewaian dan tidak larat untuk meneruskan pendakian tetapi diatas dorongan rakan-rakan yang banyak memberikan sokongan moral, mereka teruskanlah juga pendakian dengan semangat yang harus diberikan pujian. Kami berehat untuk menikmati makan tengahari di sebatang sungai. Menu kami pada tengahari ini ialah sandiwich tuna dan air teh ‘0’ panas yang di sediakan oleh Kak Aishah dan Abg Rashid. Lebih kurang jam 12.30 tengahari semua peserta pun bersiap untuk meneruskan perjalanan setelah 1 jam berehat di sungai. 

En Jaafar iaitu pemandu arah kami telah memberitahu kepada semua peserta bahawa trek selepas ini akan lebih mencabar dan ini membuatkan semua peserta membayangkan cabaran yang bakal di tempohi nanti. Keadaan trek pada kali ini sungguh berbeza dari tahun 1999, trek balak yang sudah mengecil dengan ditumbuhi lalang-lalang dan beberapa pokok yang tumbang telah memaksa kami menebas dan memotong pokok yang menghalang laluan, dan ini telah mengurangkan sedikit kelancaran perjalanan kami. 

Lebih kurang jam 4.30 petang kami sampai di punca air yang terakhir dan di sini kami diingatkan untuk memenuhkan dua botol air 1.5 liter setiap seorang untuk kegunaan di atas puncak, sambil mengambil air para pendaki juga tidak melepaskan peluang untuk berehat sebentar dan memakan kudapan sebelum meneruskan perjalanan. 


Setelah semuanya selesai, kami pun menyambungkan semula perjalanan untuk ke Puncak Botak. Semasa pendakian ke Puncak Botak , beberapa peserta telah menampakkan keletihan dan kepewaian dan akhirnya kami pun tiba di Puncak Botak lebih kurang jam 6.00 petang. Puncak Botak merupakan campsite kami kerana pemandangan yang cantik dapat di lihat di sini berbanding di atas Puncak Chabang. 

Kami dapat melihat puncak gunung Brinchang , Irau , Korbu Gayong dan puncak Yong Belar. Semua peserta mengambil tugas masing-masing untuk mendirikan khemah dan fly sheet untuk bermalam di sini. Pada malam ini kami di sajikan makan malam yang menyelerakan iaitu kari ayam, telur dadar, sayur campur dan papadom yang di masak oleh Kak Aishah. Menikmati makan malam yang sungguh menyelerakan ini sedikit sebanyak dapat melupakan kepayahan dan kepenatan ketika mendaki. 

Selepas makan, sessi suai kenal di adakan untuk mengenali lebih rapat lagi mengenai latararbelakang dan juga untuk mengeratkan tali silaturrahim peserta sebelum kami masuk tidur lebih kurang jam 10.30 malam. 

Keesokkannya semua peserta dikejutkan seawal 7.00 pagi supaya mereka dapat mengemaskan barang sebelum kami menyambungkan perjalanan (free hand) ke Puncak Gunung Chabang. Sebelum itu kami bersarapan pagi dahulu dan menu kami pada pagi ini ialah Nasi Goreng Kampung dan Teh Tarik yang amat menyelerakan. 



Setelah selesai bersarapan, semua peserta pun meneruskan perjalanan dan kami tiba di atas puncak lebih kurang pukul 10.30 pagi. Pada eskspedisi kali ini semua peserta dikehendaki memakai baju tradisional iaitu baju kurung bagi peserta wanita dan baju melayu bagi peserta lelaki kerana pada kali ini semua peserta OGKL menyambut Hari Raya Aidilfitri yang terakhir di atas Puncak Gunung Chabang. Selain memakai baju tradisional kami juga ada membawa sedikit Lemang, Ketupat Daun Palas,Serunding Daging dan Kuih Raya untuk memeriahkan lagi suasana berhari raya di atas puncak . Kami juga sempat mengambil gambar dan berposing maut dengan pakaian tradisional kami. 

Setelah selesai semuanya kami pun terpaksa meninggalkan puncak untuk memulakan perjalanan turun ke Puncak Botak. Lebih kurang jam 12.30 tengahari semua peserta pun memulakan perjalanan turun dan kami semua akan berkumpul di tepi sungai untuk makan tengahari. 

Setelah makan tengahari iaitu mee maggi dan kopi ‘O’ panas kami pun meneruskan perjalanan dan kami sampai di Pos Slim pada pukul 4.30 petang. Setelah mandi dan melapurkan kepulangan kami ke balai polis , kami pun meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Berhenti makan di R&R Tapah dan kami tiba di Kuala Lumpur pada pukul 11.00 malam.


Sekian Buat kali ini.
Semuga bersama lagi di lain ekspedisi bersama dengan OGKL.


PANTUN 4 KERAT

XPDC DIKETUAI OLEH KAK ESAH
PERGI PERAK NAIK KERETA
INGAT DIHATI TIDAKLAH SUSAH
KETIKA MENDAKI BARU KU TAHU DERITA

Catitan perjalanan oleh AZHARI AHMAD (BULLET) 

Thursday 3 January 2013

L01: Ekspedisi Chamah - Ulu Sepat

XPDC Gunung Chamah - Ulu Sepat 
Tarikh: 25/5 - 2/6/2001 
Tempat: Grik, Kedah


Hampir 5 jam kami duduk didalam bas Transnasional dari Kuala Lumpur akhirnya pada jam 3.30 pagi kami tiba ke Pekan Grik . Setelah solat subuh dan bersarapan kami juga tidak lupa untuk melapurkan diri ke Balai Polis berhampiran. Setelah menyelesaikan segala urusan kami menaiki 2 buah kereta pacuan 4 roda untuk ke Jeti Trojen.

Di Jeti Trojen ini dua buah bot telah disediakan untuk 18 orang pendaki dari Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur yang lebih dikenali dengan panggilan ringkas OGKL.


Permandangan indah ketika mengharungi tasik buatan manusia ini tidak akan mudah untuk kami lupakan. Jurupandu bot mengemudi botnya dengan berhati-hati kerana jika tersilap haluan akan terlanggar tunggul-tunggul kayu yang masih terdapat di dasar tasik.



Setibanya kami di Jeti Khemar kami dibawa oleh 2 jip pacuan 4 roda ke Pos Khemar. Selepas makan tengahari kami dibawa ke hujung kampung untuk menemui 2 orang asli yang akan menjadi penunjuk arah bagi kami sepanjang ekspedisi selama 6 ½ hari ini.



Kami memulakan perjalanan kami dengan berbekalkan doa selamat dan melakukan sedikit warm-up. Perjalanan hari pertama ini amatlah mencabar kerana bekalan makanan untuk 6 hari terpaksa kami galas .Kami juga terpaksa mengharungi beberapa buah anak sungai .Kami tiba di kem site pertama iaitu Kem Relik lebih kurang pukul 5.45 petang . Peserta sibuk mendirikan khemah sementara urusetia pula sibuk menyediakan makan malam sebelum hari gelap.Para peserta mengambil peluang untuk mandi dipunca air yang jauh kebawah dan airnya sangat sejuk tetapi amat menyegarkan. Sessi -suai kenal diadakan untuk memperkenalkan peserta diantara satu sama lain supaya lebih mesra ketika trekking. Ekspedisi kali ini telah disertai bersama oleh kedua-dua pengerusi kelab dan naib pengerusi kelab iaitu En.Adanan dan Abang Rashid. Sebelum tidur, Abang Rashid telah memberikan sedikit taklimat perjalanan untuk hari esok yang pastinya akan mencabar minda dan fizikal kami.



Seawal jam 9.00 pagi kami telah memulakan perjalanan melintasi Kem Agas , Puncak Beyor dan Kem Chandrik yang airnya sangat jernih dan kem sitenya sangat cantik .Kami berhenti sebentar di Kem Retak untuk menyimpan bekalan untuk hari ke 5 dimana kami akan berpatah balik ke kem ini untuk meneruskan perjalanan kami ke Gunung Ulu Sepat . Setibanya kami di Kem site kedua iaitu Kem Anak Peres ,para peserta mula mendirikan khemah masing-masing.Mereka mengambil peluang untuk mandi-manda di sungai berhampiran sementara urusetia sibuk menyediakan makan malam. Malam itu setelah makan kami tidur dengan nyenyaknya.



Sejurus selepas beberapa minit meneruskan perjalanan di hari yang ke 3 , kami ternampak kesan tapak kaki Sang Belang dan Mawas serta kesan tapak kaki Kijang yang masih baru sesangat .Kami dinasihatkan supaya berjalan rapat-rapat didalam satu kumpulan. Kami tiba di Kem Sungai Rekom dimana disitu terdapat pekerja balak membuat khemah mereka . Tepat pukul 4½ petang kami pun tiba di Kem Tongkat Ali dengan selamatnya setelah ditimpa hujan yang lebat dan beberapa orang peserta yang disengat tebuan . Masih terdapat saki-baki anak-anak herba Tongkat Ali disitu.



Hari ke 4 adalah hari kemuncak bagi kami kerana kami telah berniat untuk bermalam di puncak Gunung Chamah yang setinggi 7112 kaki. Niat kami tercapai juga akhirnya apabila tepat jam 3.20 petang kami tiba dipuncak Chamah dengan beberapa peristiwa yang tidak dapat kami lupakan . Sebelum tiba di puncak Chamah kami terpaksa melalui 8 puncak anak Chamah yang perjalanannya amatlah menyeksakan.. Ada satu ketika peserta-peserta sudah merasa agak bosan dengan treknya yang turun-naik. Disini sekali lagi kami diserang tebuan tanah , para peserta yang pada mulanya sudah kepenatan, berlari sekuat hati mereka menaiki setiap puncak yang ada sehingga terlupa akan kepenatan tadi . Kerana peristiwa dikejar tebuan tanah itu jugalah kami cepat sampai ke puncak Chamah. Kami mengambil kesempatan ini untuk merakamkam gambar beramai-ramai sebagai kenangan .Puncak Chamah adalah salah satu puncak yang tercantik dan terbersih sekali jika dibandingkan dengan puncak-puncak lain. Permandangan waktu matahari terbit dan terbenamnya matahari sungguh mengkagumkan . Kami dapat melihat matahari terbenam pada petang itu serta keesokan harinya pula menyaksikan terbitnya matahari pada sebelah timur .Dari sini juga kami dapat melihat puncak Ulu Sepat dan puncak Noreng serta puncak Anak Reng sebelah Gua Musang / Jeli di Kelantan.


Seawal jam 5.00 pagi lagi alarm berbunyi dari telefon bimbit Abang Rashid memecah kesunyian pagi. Namun begitu kami berasa amat segar sekali kerana malam tadi kami tidur seawal jam 9 malam.Setelah bersarapan , kami meneruskan perjalanan turun .Perasaan puas dan sedih silih berganti di hati kami namun kami harus meneruskan perjalanan untuk meyahut cabaran gunung ke 2 iaitu Gunung Ulu Sepat yang ketinggiannya 7089 kaki. Kami melalui balik jalan-jalan yang telah kami tempuhi sewaktu mendaki gunung Chamah sehinggalah kami tiba di Kem Maggi. Kami bermalam disini kerana tidak jauh dari air sedangkan Kem Retak dimana kami tinggalkan bekalan kami tempoh hari hanyalah 1 jam perjalanan dari Kem Maggi ini. Malam itu hujan turun dengan lebatnya. Gigitan agas tidak dapat kami elakkan lagi akhirnya kami tidur dalam kesejukan hingga ke pagi .


Hari ke 6 kami bersarapan Bee Hoon Sup special yang dimasak oleh kak Aishah dan Fazid. Setibanya di Kem Retak kami mengagih-agihkan kembali rations yang ditinggalkan pada hari kedua .Perjalanan hari ke 6 ini akan terus melalui permatang yang treknya penuh dengan kesan tapak kaki gajah. Masing-masing mengeluh kerana apabila berjalan di tengah , kasut terlekat di trek yang penuh selut dan apabila berjalan di tepi penuh dengan onak dan duri. Akhirnya kami tiba dipunca air terakhir iaitu di Kem Sungai Leper .Dari sini kami terpaksa memikul air sebanyak mungkin kerana dipuncak Ulu Sepat tidak mempunyai punca air. Akhirnya kami tiba di puncak gunung Ulu Sepat lebih kurang jam 6.30 petang dengan selamatnya. Malam itu sungguh meriah kerana kami berjaya mendaki kedua-dua gunung tersebut dengan tidak menghadapi sebarang masalah besar. Selepas makan malam kami meluangkan sedikit masa untuk menceritakan pengalaman masing-masing selama ekspedisi mendaki kedua-dua gunung ini. Masing-masing terlalu gembira kerana esoknya adalah hari terakhir trekking dan ini juga bermakna bahawa ekspedisi kami sudah sampai kepenghujungnya

Hari ke 7 ini kami kesemuanya bangun agak lewat mengenangkan perjalanan kami hari ini adalah menurun sahaja. Kami bergambar beramai-ramai dan ada yang bergambar kerana meraikan habisnya pendakian ketujuh-tujuh puncak disemenanjung Malaysia yang mempunyai ketinggian melebihi 7,000 kaki (G7 ) Mereka terdiri daripada Adenan , Kak Aishah , Abang Osman Proton , Mohd Faiz (K'rek) , Bulat dan Abang Rashid buat kali ke 2. Kami turun agak lewat pada hari ke tujuh ini.Kami melalui beberapa batang anak sungai yang deras airnya .Kami tiba di hujung kampung lebih kurang jam 6 petang .Setelah puas menunggu akhirnya Kubota yang kami tunggu sampai juga setelah dipanggil oleh guide Si Jali. Setelah tiba di pejabat Felcra, peserta semuanya menyerbu ke kedai kopi berhampiran untuk memesan minuman berkarbonet yang telah seminggu mereka idamkan.Dikedai ini juga terdapat TV dan Karaoke setnya sekali disitu.Kami tidur agak lewat malam itu ,berbincang dan menceritakan pengalaman masing-masing hingga ke subuh.

Keesokan harinya kami menaiki 4 wheel ke Jeti Khemar.Kami berpatah balik apabila menyedari salah seorang peserta telah tertinggal . Setelah mengambil beliau kami menaiki bot dan seterusnya ke pekan Gerik . Kami ke Bandaraya Ipoh untuk menaiki bas ke Kuala Lumpur jam 6.00 petang dan kami tiba di Kuala Lumpur jam 9.30 malam.



Chamah - Ulu Sepat meninggalkan seribu kenangan pahit-manis. Di ekspedisi ini jugalah kami dapat mengenali diri kami dan juga kawan-kawan yang sentiasa menghulurkan bantuan ketika susah dan senang.



Sekian untuk kali ini.

Siapa tak pergi pasti menyesal...

Wednesday 2 January 2013

L01: Gunung Tahan

Gunung Tahan, Taman Negara, Pahang


Tarikh : 25hb Ogos hingga 1hb September 2001

Tempat: Gunung Tahan (2187m/7174kaki), Taman Negara, Pahangengenalan :-

Pada mesyuarat bulanan pertama yang di adakan pada 14/4/2001, pihak jawatankuasa telahpun sebulat suara melantik saya dan Zack untuk sama2 merancang dan melaksanakan ekspedisi kali ini. Bagaimanapun pada sekitar bulan Jun, Zack memberitahu saya bahawa beliau tidak dapat membantu saya untuk menjayakan ekspedisi ini memandangkan beliau baru saja menjalankan perniagaan sendiri. Jadi saya terpaksa mengelolakan sendiri program ini tetapi dengan dibantu oleh orang2 kuat lama seperti Rashid dan Aishah dan dengan kerjasama dari semua pihak urusetia… alhamdullillah semuanya berjalan dengan lancar.
Berikut adalah catatan serba ringkas dari saya disepanjang ekspedisi ini :-

Jumaat 17/8/01 

HARI TAKLIMAT DI RESTORAN TERATAI, 

DAYABUMI, KL
Briefing diadakan di Teratai Dayabumi pada 9.30 malam. Secara ringkasnya saya memaklumkan kepada semua peserta untuk berkumpul di stesen KL Sentral tepat jam 7 petang pada hari Jumaat 24/8 kerana pembahagian rations akan diberikan sebelum keretapi bertolak. Peserta juga diingatkan mengenai barang yang perlu dibawa dan perubatan untuk keperluan sendiri.

Rabu 22/8/01
PEMBELIAN BARANG MAKANAN DI GIANT TAMAN DAGANG, AMPANG, KL

Lebih kurang pukul 6.30 petang, saya, Aishah, Rashid, Adnan, Fakhrul dan Adlan berkumpul di Giant Taman Dagang di Ampang untuk pembelian bekalan makanan untuk ekspedisi ini nanti. Dom dan Yap datang pada sebelah malamnya untuk membantu membungkus dan menimbang bekalan untuk di agihkan kepada para peserta nanti. Selain itu taklimat juga diadakan diantara uruseita untuk pembahagian peralatan perkemahan dan pembahagian tugasan disepanjang ekspedisi ini nanti.

Jumaat 24/8/01
STESEN KL SENTRAL - MERAPOH

Hari yang ditunggu2 pun tiba. Jam 7 petang itu para peserta mula berkumpul diStesen Sentral. Pembahagian bekalan dan peralatan diagihkan kepada para peserta dan para urusetia.

Kami berlepas tepat jam 8 malam dengan menaiki Ekspress Wau . Setelah semua peserta mengambil tempat masing2, saya pun memberi sedikit taklimat perjalanan Pengenalan ringkas diantara para peserta dan urusetia turut diadakan. Pengagihan risalah , maklumat perjalanan, lakaran peta dan juga pil malaria turut diedarkan kepada setiap peserta . Diakhir taklimat, saya mengingatkan peserta untuk supaya bersedia pada jam 4 pagi kerana keretapi dijangka tiba distesen Merapoh jam 4.30 pagi.

Sabtu 25/8/01 HARI PERTAMA
MERAPOH – PEJABAT PERHILITAN – KUALA JURAM - LATA LUIS (bermalam) (5.5km)

Setelah selesai solat subuh , kami pun pergi bersarapan di gerai berdekatan. Lebih kurang jam 7.30pagi kami menaiki van untuk kePejabat Perhilitan Sungai Relau. . Sesampai kami disitu, kesemua peserta dikehendaki mengisi detail peribadi diri di dalam borang yang disediakan oleh pihak pegawai perhilitan. Ini sebenarnya bagi tujuan mengawasi sampah2 yang kami bawa agar tidak ditinggalkan di dalam kawasan Taman Negara. Lebih kurang jam 9.30 pagi, setelah selesai urusan declare barang2, sebuah jeep dan sebuah 4X4 telah sedia untuk membawa kami ke Kuala Juram. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 45 minit.

Di Kuala Juram kami terserempak dengan lebih kurang 40 orang guide yang juga akan ke puncak sambil bergotong-royong membersihkan laluan trek. Taklimat ringkas mengenai sistem trekking diberikan oleh saya. Saya memperkenalkan 2 orang guide yang akan membawa kami masuk iaitu Sabri dan Zulkifli. Saya juga memperkenalkan urusetia yang bertugas . Guide memaklumkan bahawa perjalanan dari K.Juram ke Lata Luis yang jauhnya lebih kurang 5.5km akan mengambil masa lebih kurang 4 jam dan kami akan meredah 6 sungai. Sebelum memulakan trekking, seperti biasa senaman ringkas diadakan dan doa selamat dibacakan.

Jam 11.30 pagi kami mulakan perjalanan. Awal2 perjalanan lagi kami telah separuh basah kerana terpaksa meredah sungai yang dalamnya hingga paras paha. Ini disebabkan jambatan laluan telah runtuh ketika hujan ribut seminggu sebelum itu. Trekking pada awalnya agak mengelirukan kerana laluan telah tertutup disebabkan banyak pokok yang tumbang ketika kejadian ribut tersebut. Perjalanan juga agak mencabar kerana terpaksa melangkah balak dan ada satu ketika kami terpaksa berjalan diatas beberapa balak yang tumbang. Lebih kurang jam 1.30 petang, kami sampai di sebuah sungai besar iaitu dipertengahan perjalanan antara K.Juram dan Lata Luis. Grup terakhir tiba pukul 2.00 petang. Kami berhenti berehat disitu dan makan tengahari disitu. Ada yang mengambil kesempatan untuk mandi dan ada juga yang berendam saja.

Jam 2.30 petang - kami meneruskan perjalanan ke Lata Luis. Grup pertama tiba di Lata Luis seawal jam 4.30 petang manakala grup terakhir tiba satu jam kemudiannya. Grup pertama yang tiba terus mencari kawasan untuk memasang ground sheet dan fly. Kaki Aishah cramp ketika hampir sampai ke kem site. Puas jugak kami mengurut kakinya. Sesampai dikem site masing2 sibuk mencari kawasan untuk memasang kemah. Sungai memang dekat dikem site ini. .Ada lagi satu kumpulan (grup cina) seramai 8 orang yang tiba lewat petang itu dan bermalam juga dikem site ini. Jam 6.30 petang, Aishah dan saya memulakan tugas memasak, dibantu juga oleh peserta perempuan yang lain. Malam itu menu kami ialah ayam masak merah , sayur boncis/karot serta papadom. Makan malam yang agak mewah. Setelah selesai makan malam, sesi suaikenal diadakan untuk mengetahui serba sedikit perihal diri para peserta dan urusetia. Selesai suaikenal, saya memberikan sedikit taklimat mengenai perjalanan kami esok hari sebelum masing2 masuk tidur.

Ahad 26/8/01 HARI KE 2 
LATA LUIS - KEM KOR - PERMATANG - KUBANG (7.5km)

Orang dapur (siapa lagi… Aishah dan saya lah) bangun pukul 6.30 pagi untuk menyediakan sarapan iaitu nasi goreng kampung . Kami juga menyediakan pek makan tengahari – sandwich tuna yang turut dibantu oleh Nita, Midah dan Wid . Sementara orang dapur masak, urusetia lelaki yang sudah bangun bergotong royong membahagikan semula ration untuk diagihkan kepada peserta. Kami bersarapan pukul 8 pagi. Pada kulul 9.15 pagi kami memulakan perjalanan . Sebelum itu saya meminta guide untuk memaklumkan serba ringkas tentang perjalanan kami dan selepas itu senaman ringkas dan stretching dijalankan oleh Alan .Perjalanan dari Lata Luis ke Kem Kor yang jauhnya 1.5km mengambil masa 40 minit. Saya, Alan dan Faizal hampir sesat lima minit sebelum sampai ke Kem Kor kerana saya ternampak kelibat “Abang Roslan” mendaki naik yang sepatutnya hanya menyusuri tepi sungai. Meremang bulu roma bila mengingatkan semula kejadian tersebut. Bagaimanapun kesemuanya selamat sampai di Kem Kor jam 10 pagi. Kami berehat 30 minit dan sempat bergambar.

Jam 10.30 pagi baru kami meneruskan perjalanan ke Permatang yang mengambil masa lebih kurang 1 hingga 1 ½ jam. Jauhnya dari Kem Kor ke Permatang ialah 2.5km. Pukul 11.30 pagi grup pertama tiba di Permatang dan grup terakhir tiba ½ jam kemudian. Dalam perjalanan ke Permatang inilah Aishah disergah oleh seekor anak “talipinggang” berwarna hitam sepanjang 1 ½ kaki. Aishah pun menjerit dan memeranjatkan kami semua. Bagaimanapun ianya secepat kilat menyelinap masuk dicelah2 daun . Kami makan tengahari di Permatang. Ada yang turun pergi mengambil air untuk dimasak dan untuk bekalan perjalanan. Perjalanan turun untuk mengambil air lebih kurang 2 minit. Paras ketinggian di Permatang 817m.

12.30 tengahari – perjalanan diteruskan sejauh 3.5km untuk ke Kubang. Guide Sabri telah mengingatkan kami yang perjalanan selepas ini mencanak naik hingga ke Kubang yang ketinggiannya 1405m. Dan sememangnya mencabar. Grup pertama tiba seawal 2.30 petang. Saya tiba ½ jam kemudiannya. Grup di belakang saya iaitu Aishah, Nita, Midah, Sabri, Fauzi, Faizal dan Alan telah tertipu kerana berehat ditempat yang hanya lima minit saja jauhnya dari kem site. Mereka berehat hampir setengah jam lamanya disitu. Siap sapu minyak panas kerana menyangkakan yang perjalanan agak jauh lagi. Setelah lebih ½ jam saya tiba, barulah mereka tiba sambil menjerit2 mengatakan yang mereka telah tertipu. Siapa yang tipu siapa tu? Grup terakhir tiba hampir pukul 4 petang.

Kami terpaksa berkemah dikawasan atas. Komen dari guide Sabri mengatakan kawasan perkemahan kami adalah tempat laluan angin. Kami tiada pilihan kerana kawasan dibawah yang lebih terlindung berdekatan dengan anak air telah diambil oleh grup cina yang lebih awal sampai dari kami. Guide juga mengingatkan supaya jangan mengotorkan dipunca air kerana aliran air amatlah kecil. Memang perjalanan dari Permatang ke Kubang mencabar dan memenatkan.

Setelah membersihkan badan kaum perempuan mula sibuk didapur menyediakan makan malam. Menunya – rendang daging , kobis masak lemak dan keropok sayur. Memang menyelerakan…. Bayangkan makan rendang didalam hutan… memang kelas!

Lebih kurang jam 9.40 malam hujan turun untuk selama 15 minit. Tapi mujurlah hujan tidak berlarutan. Kerana kepenatan, akhirnya tidur juga mereka walaupun didalam keadaan lembab. 
Isnin 27/8/01 HARI KE 3
KUBANG – BELUMUT – BONSAI – BOTAK – PUNCAK TAHAN (bermalam) (13.5km) 

Pihak urusetia bangun seawal 6.30 pagi untuk menyediakan sarapan pagi iaitu nasi lemak . Kari daging dipek bersama roti arab untuk bekalan tengahari nanti. Sambil peserta bersarapan, pihak urusetia membahagikan ration untuk diagihkan semula kepada para peserta. Perjalanan untuk hari itu bermula pada jam 9 pagi selepas regangan otot dibuat oleh Alan. Guide Sabri memaklumkan serba sedikit tentang perjalanan kami hari itu. Tiba di Belumut jam 9.30 pagi. Dan grup terakhir tiba jam 10.10 pagi. Perjalanan agak mencanak juga pada mulanya dan kemudiannya agak mudah tapi berbecak. Jauhnya dari Kubang ke Belumut ialah 2.5km dengan ketinggian di Belumut – 1493m. Di Belumut suasana agak lembab dan berair. Guide manasihatkan untuk mengambil air untuk bekalan perjalanan hingga ke Bonsai. Punca air agak dekat disebelah kanan. Warna airnya sememangnya warna kuning – seakan2 teh ‘O’ jarang.


Jam 10.45 pagi perjalanan diteruskan untuk ke destinasi seterusnya iaitu Bonsai. Perjalanan dari Belumut ke Bonsai sejauh 5.5km mengambil masa lebih kurang 3 jam. Ketinggian di Bonsai 1705m. Perjalanan kali ini agak mencabar dengan trek ynag berbecak dan banyak akar2 kayu. Kena lebih berhati hati ketika melangkah, takut tersangkut kaki dekat akar kayu. Lebih kurang ½ jam lagi untuk sampai ke Bonsai – treknya mula mencanak naik. Dipertengahan jalan ada laluan air dan kami sempat mengambil air untuk bekalan, Grup pertama tiba jam 1 petang dan sweeper tiba 2.15 petang. Cuaca memang terang dengan matahari terik tapi berangin. Kami berhenti untuk makan tengahari .Kami sempat berlepak2 lepaskan penat sebelum meneruskan perjalanan.


Pukul 2.30 petang perjalanan sejauh 3km untuk ke Botak diteruskan. Ketinggian di Botak – 1943m. Perjalanan ke Botak berbatu2 dan melalui hutan Bonsai yang rata2 pokoknya setinggi 3 hingga 4 kaki sahaja. Kami tiba di Botak jam 3.30 petang dan berhenti sekejap untuk sesi bergambar dan mengambil air untuk bekalan dipuncak nanti. Perjalanan dari Botak ke puncak Tahan sejauh 2.5km samalah seperti perjalanan dari Bonsai ke Botak. Rata2 jalannya berbatu dengan pokok2 Bonsai – kami sekarang berada di Banjaran Titiwangsa untuk menuju ke puncak. Alhamdullillah… cuaca terang dan berangin. Hawa agak sejuk – memang seronok. Pemandangan dari sini memang menakjubkan.


Grup pertama tiba dipuncak jam 5 petang. Saya dan Aishah tiba 15 minit kemudiannya. Ketinggian dipuncak 2142m. Grup terakhir tiba bersama sweeper lewat jam 7 petang. Kawasan kem site di puncak Tahan sememangnya luas. Seluas padang bola. Disana juga ada takungan air untuk kegunaan. Dan percaya atau tidak… ada toilet disini. Menurut Aishah yang telahpun kesini 2 tahun lalu; toilet itu memang baru saja dibina – mungkin sekitar tahun lepas. Bayangkan… sanggup pihak perhilitan/guide memikul toilet dan simen kepuncak untuk dibina. Mungkin ada baiknya, untuk memelihara kebersihan. Setiba saya kepuncak dan terlihat toilet itu… terus sakit perut. Dipuncak juga, malam itu Fauzi kurang sihat. Menurut kata peserta yang berjalan bersamanya, dia tidak makan seharian itu - cuma makan coklat cloud 9 sahaja.

Setiba kami dipuncak, routine seperti biasa dijalankan. Ration dikumpulkan didewan makan. Pasang kemah, salin pakaian dan siap sedia untuk masak. Menu malam itu ialah daging masak asam pedas, sayur campur bersama keropok. Alhamdullillah… setakat hari ini tiada komplen dari segi penyediaan makanan. Mana tidaknya, tiada pilihan lain sedap atau tidak terpaksalah makan. Walaubagaimanapun setakat ini penyediaan makanan memang ok!

Malam dipuncak suhunya 15o C pada jam 9 malam itu. Angin agak kuat – sejuk. Malam itu juga saya, Dom dan Zack berbincang untuk menukar perancangan awal kami untuk bermalam di Padang. Guide tidak menggalakkan untuk kami ke Padang kerana keadaan disana tidak terjaga. Akhirnya kami memutuskan untuk tidur di Gedung saja. Selesai masak dan sebelum makan malam dihidangkan, kami sempat naik kepuncak tertinggi Tahan untuk bergambar beramai2. Selepas makan malam, saya umumkan mengenai pertukaran destinasi kami esok. 

Selasa 28/8/01 HARI KE 4
PUNCAK TAHAN – GEDUNG (bermalam) (10km) 

Seperti biasa pagi kami dimulakan seawal 6 pagi. Kami beramai2 ke puncak untuk melihat matahari terbit. Cuaca sememangnya sejuk. Suhunya 13oC pada pukul 7.30 pagi itu. Sarapan kami pagi itu ialah cekodok.Cekodok bukan sebarang cekodok ,ini cekodok makan sampai kenyang punya dan bukan cekodok terbang. Setelah bersiap-siap – ration diagihkan, kemah diturunkan dan lebih kurang jam 10 pagi kami ke puncak tertinggi Tahan sekali lagi untuk sesi bergambar. Kami mulakan perjalanan pada jam 11.15 pagi. Sebelum itu sempat kami menyapu losyen sunblock takut badan/muka sunburn. Kami difahamkan yang treknya – trek terbuka. Perjalanan kami kebanyakan menurun dan agak landai – mudah.


Kami tiba di Simpang Padang/Gedung jam 12.45 tengahari. Cuaca panas terik tapi berangin. Saya, Midah dan Alan siap buka payung masing2. Sesiapa yang tidak menyapu sunblock – badan pasti sunburn. Suhu di sini 35oC pada ketinggian 1960m. Kami makan tengahari disini. . Selepas itu perjalanan diteruskan ke Gedung. Dalam perjalanan kami terjumpa serpihan kapalterbang - yang menurut sejarahnya telah terhempas berpuluh tahun yang lalu (tak berapa pasti pula berapa tahun). Kami tiba di Gedung jam 3.30 petang dan grup terakhir tiba lebih kurang sejam kemudian. Ketinggian di Gedung 1890m. Dari puncak Gedung ini dapat kami lihat Padang – kawasannya nampak hijau subur dan luas juga. Dalam perjalanan dari puncak ke Gedung, rupanya Zack tercedera sedikit – terjatuh dan pergelangan kakinya terseliuh tapi tidaklah teruk.


Disini punca air agak jauh juga – lebih kurang 15 minit turun. Aliran air disini sederhana besar. Tapi keadaannya seperti kawasan air terjun dan berbatu-batu. Selesai bersihkan diri, seperti biasa sediakan untuk makan malam. Menu malam itu bendi masak asam rebus, ikan bilis berlada bersama telor dadar. Malam itu juga guide Zul memberitahu bahawa kita akan memulakan perjalanan lebih awal esok hari kerana perjalanan lebih mencabar dan jauh. Menurutnya lagi jika lambat mulakan perjalanan takut nanti tidak dapat turun di kawasan berbatu di antara Gedung dan Gunung Tangga 15 jika berkabus. Selesai makan malam, saya pun memberi taklimat ringkas mengenai perjalanan untuk esok. Kami makan seawal 7 petang dan menasihatkan para peserta untuk tidur lebih awal.


Rabu 29/8/01 HARI KE 5 

GEDUNG – RESKET – G/TANGGA 15 – PANGKIN – KUALA TEKU (bermalam) (15km) 

Hari kami bermula seawal jam 5 pagi untuk urusetia menyediakan sarapan pagi . Mee Hoon goreng menjadi santapan pagi kami hari itu. Cuaca agak sejuk juga pagi itu - 18oC. Jam 7.45 pagi kami bersiap sedia untuk senaman ringkas sebelum memulakan perjalanan jam 8 pagi. Perjalanan dari sini ke Gunung Reskit (ketinggian 1666m) sejauh 1.5 km mengambil masa ½ jam sahaja. Perjalanan kebanyakannya menurun agak mencabar kerana melalui kawasan gunung berbatu – kami guna tali yang tersedia ada sebagai pemegang. Selepas itu perjalanan sejauh 2.5km diteruskan ke Gunung Tangga 15 (ketinggian 1539m). 



Kami tiba di Gunung Tangga 15 jam 9.45 pagi. Perjalanan memang mencabar. Berbatu-batu dan berakar - memanjat dicelah batu sebelum tiba di Gunung Tangga 15. Pemandangan memang cantik disini. Perjalanan diteruskan ke Gunung Pangkin (1462m tinggi) sejauh 1.5 km dan tiba jam 10.45 pagi. Kemudian terus turun ke Pangkin Bawah dan grup pertama tiba jam 11.10 pagi. Kami makan maggi tomyam untuk tengahari itu di Pangkin Bawah .Sebelum tiba di Pangkin Bawah, Midah disengat tebuan . Grup terakhir bersama sweeper tiba jam 1 petang. Sebaik saja grup sweeper tiba, grup depan teruskan perjalanan untuk ke Kem Teku. 

Perjalanan kali ini memang membosankan – menurun sahaja. Cuaca panas dan hangat dan tidak berangin – itu yang membuatkan ianya lebih bosan. Kaki masing2 ada yang mula melecet. Badan pun dah rasa macam naga keluar asap. Menurut Aishah perjalanan inilah yang paling mencabar sekali jika dibandingkan keseluruhannya. Grup depan tiba di Kem Teku jam 4.30 petang. Grup ke 2 tiba ½ jam kemudiannya. Grup akhir tiba lebih kurang 5.30 petang. Setiba di Kem Teku, kami berehat lepaskan penat sebelum menaikkan kemah. Setiba dikem site, masing2 sudah moody – muka masam saja mungkin sebab tersangat penat dan ada yang cedera kaki – melecet dan sebagainya. Pihak urusetia pula, walaupun keletihan tetapi terpaksa melupakan kepenatan kerana bertugas. 


Kami naikkan Flysheet dan kemah dan apa lagi menuju ke sungai lah untuk mandi sepuas2nya. Makan mala jam 8.30 malam dengan menu Kari ikan masin, goreng sayur kobis dan papadom. Selesai makan ,masing2 mula layan badan dan kaki – mengurut dan menyapu minyak panas. Kaki Midah pula dah mulakan bengkak dari peha atas lutut hingga ke pergelangan kakinya kerana disengat tebuan. Hawa malam itu memang hangat – tiada berangin langsung. Masak air kopi/ teh ‘O’ cicah biskut. Sambil itu kami berborak2. Ada yang berborak di tepi sungai. Kami tidur jam 10.30 malam selepas sedikit taklimat ringkas mengenai perjalanan kami esoknya. 


Khamis 30/8/01 HARI KE 6 

KUALA TEKU – KUALA PUTEH – G.RAJAH – KEM TENGAH (bermalam) (13.5km) 

Orang dapur bangun jam 5 untuk memasak sarapan pagi ia-itu Kuey Teow goreng dan pek untuk bekalan tengahari iaitu mee hoon sup. Kami bersarapan jam 7.30 pagi dan bersiap sedia untuk mulakan perjalanan hari itu. Ration yang sudah tinggal sedikit di agihkan juga. Senaman ringkas dan perjalanan di mulakan jam 8.30 pagi untuk ke Kuala Puteh yang sejauh 7 km. Perjalanan kami kali ini kena mengharungi 8 batang sungai kesemuanya. 



Mujur tiada hujan sepanjang perjalanan kami itu dan malam sebelumnya. Jika tidak pasti air sungai naik dan kena guna tali pula untuk menyeberanginya. Kami sempat juga bermain baling2 batu dan bermain boling batu sungai semasa kami rehat di sungai yang ke 5. Tiba di Kuala Puteh (226m tinggi) jam 12.30 tengahari. Kami berhenti rehat dan makan tengahari di situ selama satu jam.

Jam 1.30 petang kami teruskan perjalanan untuk ke Kem Tengah sejauh lebih kurang 6.5 km. Perjalanan kami kali ini menaik semula untuk ke Gunung Rajah yang ketinggiannya 576m . Mencanak juga naik dan kemudian melalui permatang sebelum sampai ke Gunung Rajah. Kemudian turun naik melalui permatang di kawasan 27 bukit malang. Memang malanglah sesiapa yang melalui kawasan ini. Kem Tengah pula terletak di tengah kawasan bukit malang ini. Grup pertama tiba seawal jam 4 petang .Grup ke 2 tiba bersama saya jam 5 petang. Dalam perjalanan untuk sampai ke Kem Tengah hujan mula turun dengan lebatnya dan grup sweeper tiba jam 5.45 petang.

Setiba di Kem Tengah, kami menaikkan flysheet dan kemah dalam hujan. Aishah dan Nita beria-ia mandi di dalam hujan dengan bersabun lagi. Bila hujan agak reda sikit baru kami naikkan kemah, salin pakaian kering sebelum memulakan tugas memasak. Hujan rupanya berpanjangan hingga ke larut malam. Menu malam itu ialah tumis air, sambal goreng ikan bilis, telur dadar dan serunding daging . 

Hingga ke hari ke 6 ini, masing2 semua sudah benar2 keletihan, pewai dan melecet disana sini. Kaki Midah semakin bengkak kerana sengatan dan ditambah oleh terseliuh. Midah minta Pak Wan (guide grup cina) untuk urut kakinya. Punca air di sini tidak berapa jauh dari kem site tapi kami juga buat operasi menadah air hujan untuk memasak dan sebagainya. Air dipunca air agak keruh – mungkin disebabkan hujan. Kami tidur jam 9.30 malam. Hujan masih lagi renyai2 hingga ke larut malam. Saya rasa bagus juga hujan malam itu, kerana kalau tak hujan, pasti panas. 

Jumaat 31/8/01 HARI KE 7 
KEM TENGAH – MELANTAI – KUALA TAHAN (bermalam) (25km) 

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! Hari terakhir bagi kami untuk trekking. Insyallah malam ini berakhirlah ekspedisi kami.

Urusetia dapur bangun jam 6 pagi. Mula masak untuk sarapan. Menunya ialah nasi putih, goreng kobis, goreng ikan masin dan serunding .Pek makan tengahari ialah mee hoon goreng yang disediakan. Kami bersarapan jam 8.30 pagi. Bersiap sedia untuk mulakan perjalanan. Seperti biasa senaman ringkas dimulakan .Selesai stretching… dengan semangat patriotiknya kami menyanyikan lagu Negaraku di dalam hutan dan bersorak MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! .Kami mulakan perjalanan jam 9.20 pagi untuk ke Melantai sejauh 6.5km. Perjalanan mengambil masa 2 jam. Perjalanan ke Melantai masih lagi turun naik melalui 27 bukit malang. Tiba di Melantai jam 11.30 bagi grup pertama. Grup terakhir tiba jam 12 tengahari. Kami rehat dan makan tengahari disitu.

Perjalanan untuk ke Kuala Tahan sejauh 18.5km diteruskan jam 1 tengahari. Perjalanan mulanya agak menaik sedikit dan kemudian turun dan rata. Masing2 pada awalnya berlari2 turun. Mungkin tidak sabar untuk sampai ke Kuala Tahan. Grup pertama tiba di Kuala Tahan seawal 3.40 petang. Saya berjalan bersama Alan, Midah, Soib. Midah setakat ini sudah menyeret kakinya. Memang respect tengok Midah, dalam pada cedera masih lagi kuat untuk berjalan. Katanya, fikirannya saja yang memaksa , kerana kalau ikutkan hati memang sudah tidak mahu berjalan lagi. 

Saya tiba 40 minit selepas grup pertama tiba. Saya arahkan supaya semuanya berkumpul dihadapan pejabat Penguasa Taman Negara untuk declare barang2 dan sampah yang dibawa. Alhamdullillah kesemuanya selamat sampai di Kuala Tahan dengan grup terakhir tiba jam 5.15 petang. Selesai urusan declare barang , para peserta pergi mandi. Sementara saya menyelesaikan segala urusan di pejabat Penguasa. Kemudian saya ke pejabat tapak kemah buat booking tapak kemah kami padamalam itu. Malam itu saya dan Aishah betul-betul merdeka kerana tidak perlu memasak lagi .

Malam itu jam 7 petang kami makan malam di restoran seberang Sungai Tahan. Naik bot bayar 50 sen seorang. Masing2 melepaskan geram selepas 7 hari tidak dapat makan makanan kegemaran.Kami berbual2 dikem site dan post mortem di adakan. Para peserta menyuarakan pendapat masing2. Kebanyakan peserta memberi komen mengenai kemah bocor. Tapi rata2 merasa puas dengan ekspedisi ini. Sambil itu Wid buat air teh tarik dan Zack pula goreng keropok. Ada yang berborak hingga lewat pagi dan yang tidak tahan mengantuk, terus masuk tidur. 

Sabtu 1/9/01  
KUALA TAHAN – KUALA TEMBELING – JERANTUT – KUALA LUMPUR 

Kami bangun jam 6.30 pagi. Kami bangun awal kerana takut kena beratur untuk mandi pagi itu. Setelah mengemaskan barang2 kami bersarapan jam 9 pagi di restoran seberang Sungai. Saya uruskan juga mengenai bot untuk balik ke Kuala Tembeling. Ada juga yang pergi membeli souviner dan T-shirt Taman Negara untuk kenangan. 


Kami bertolak dari Kuala Tembeling jam 9.40 pagi. Perjalanan menaiki bot mengambil masa 3 jam. Masing2 sempat tidur didalam bot. Sampai di Kuala Tembeling hampir pukul 12 tengahari. Van yang sepatutnya mengambil kami untuk ke Jerantut masih tidak sampai. Jam 1.30 tengahari baru van tiba dan membawa kami ke Jerantut .Perjalanan lebih kurang ½ jam. Sampai di Jerantut, kami makan tengahari di situ, shopping, solat sebelum menaiki bas pada jam 4 petang itu untuk ke KL. Kami sampai di stesen bas Jalan Pekeliling lebih kurang jam 8 malam.

Alhamdulillah , kami bersyukur disepanjang ekspedisi Tahan ini kami tidak menghadapi sebarang masalah besar . Selepas bersalam-salaman dan bermaaf-maafan kami pun bersurai di Hentian Pekeliling. 


Semuga berjumpa lagi dilain ekspedisi anjuran OGKL.

Lapuran oleh Ir Fazidah Ahmad


Tuesday 1 January 2013

L01: Gunung Ledang



Tarikh: 24 - 26/3/2001

Tempat: Segamat, Johor

SABTU 24/11/01

7.30 Pagi Fazly, Bulat, Rolan, Zaidi dan Daniel berkumpul di rumah saya untuk menolong membantu mengangkat peralatan dan ration ke dalam bas.

8.00 Pagi Bas yang akan membawa kami tiba dan setelah memunggah semua barangan ke dalam bas kami pun bertolak ke Teratai untuk mengambil peserta lain.

8.45 Pagi Sampai di Teratai, Abboy, Nita, Tini dan Linda dahpun menunggu. Sementara menunggu mereka memasukkan barang ke dalam bas, kami bersarapan dahulu.

9.00 Pagi Bas mula meninggalkan perkarangan Daya Bumi untuk meneruskan perjalanan ke Ledang Resort yang mengambil masa lebih kurang 3 jam ½ itu.

12.30 t/h Setibanya di Ledang Resort kami mengarahkan agar peserta makan tengah hari dahulu sebelum bersiap dan menukar baju trekking. Sementara itu saya dan Fazly mengisi borang-borang yang wajib di isi oleh setiap kumpulan sebelum memulakan pendakian.

1.30 t/h Kami mula bergerak ke Pejabat Renjer untuk mendaftar. Setibanya di sana kami di kehendaki mendeclarekan barangan kami dan juga menyetelkan bayaran yang di kenakan. Kami juga telah di berikan sedikit taklimat tentang pantang larang dan prosedur di situ.

2.00 ptg Setelah Fazly memberikan sedikit taklimat perjalanan kepada peserta dan berbekalkan sedikit doa selamat kamipun memulakan pendakian. Awal-awal perjalanan lagi kami telah di hidangkan dengan trek tangga yang mencanak. Oleh kerana terdapat ramai pengunjung berada di Ledang Resort itu kami terpaksa mengontrol macho dan jelita kami walaupun penatnya Tuhan saja yang tahu.

6.30 ptg Kami tiba di Kem Site Kolam Anak Gajah dengan selamatnya. Terdapat lebih kurang 300 orang terdapat di kem site ini. Pemandangan yang tidak pernah saya jumpai selama 3 tahun berekreasi. Alhamdulillah, walaupun kem site penuh dengan pengunjung tapi kami masih mendapat tapak kemah yang rata dan cantik. Oleh kerana kami sampai awal jadi kami mengambil keputusan menggoreng cekodok ikan bilis untuk peserta.

8.00 mlm Kami makan malam dengan berselera sekali. Menunya ialah kari daging, telur dadar dan keropok. Walaupun rasanya baru sahaja menggalas perut dengan cekodok tapi nampaknya peserta kita tak tolak bila di hidangkan nasi. Setelah makan kami pun mengadakan sessi suai kenal. Terdapat 2 orang peserta baru iaitu Daniel dan Linda yang mengikuti xpdc kali ini. Setelah sessi suai kenal dan berborak ala kadar kamipun masuk tidur kerana kami akan meneruskan cabaran menggapai puncak Ledang esok.

AHAD 25/3/01

5.30 Pagi Saya gerakkan Bulat dan Fazly untuk bangun menolong saya untuk menyiapkan sarapan pagi dan bekal tengah hari untuk peserta. Kalau boleh kami ingin memulakan perjalanan seawal yang boleh untuk menggelakkan daripada traffik jam.

8.00 Pagi Kami panggil semua peserta untuk bersarapan dan mengambil bekal untuk makan tengah hari. Menu pagi itu ialah Nasi Goreng dan Teh Tarik dan bekalnya ialah Sandwich telor. Ketika bersarapan hujan mulai turun tetapi itu tidak mematahkan semangat kami.

8.45 Pagi Kamipun memulakan perjalanan. Waktu ini pendaki tidak berapa ramai lagi, mungkin mereka ingin menunggu sehingga hujan berhenti. Ketika ini kami cuma bersaing dengan grup dari S’pore. Setelah ¾ perjalanan terdapat kemalangan kecil berlaku di mana telinga Abboy telah tercucuk kayu runcing. Nyaris-nyaris tidak terkena mata. Kalau tidak tak tahulah apa nak jadi. Setelah di berikan rawatan oleh Fazly kami pun meneruskan perjalanan.

1.00 T/h Kami tiba di puncak bersaing dengan grup S’pore. Alhamdulillah kami dapat melihat pemandangan yang sangat cantik dari sini. Termasuk kami ada 3 grup di atas puncak ini. Kami terpaksa menggunakan kesempatan ini untuk bergambar dan menikmati keindahan puas-puas sebelum grup lain tiba.

2.00 Ptg Setelah makan dan siap bergambar kamipun mula meninggalkan Puncak Ledang. Alhamdulillah sepanjang perjalanan turun tiada apa-apa yang berlaku. Kami berselisih dengan banyak grup yang hendak naik. Pukul berapalah agaknya mereka itu akan turun. Satu soalan yang hanya pada mereka sahaja ada jawa

6.30 Ptg Kami tiba di Kem Site dengan selamatnya. Setelah siap mandi kami berehat-rehat sambil berborak-borak sementara menunggu waktu maghrib. Satu yang uniknya di sini ialah apabila beberapa minit lagi masuk maghrib, sejenis serangga akan berbunyi dengan kuatnya seperti menggunakan mikrophone. Walaupun saya pernah mendengar bunyi ini di tempat lain tapi tidak boleh lawan dengan kuatnya bunyi serangga itu di sini. Setelah berbunyi di setiap pelusuk Kem Site itu selama lebih kurang 15 minit, ia pun berhenti. Bagus juga serangga itu berbunyi. Itu manandakan masuknya waktu solat bagi kawasan itu dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya.

8.30 Mlm Makan malam. Borak-borak kosong dan tidur.

ISNIN 26/3/01

6.00 Pagi Bangun pagi dan solat dan menyediakan sarapan untuk peserta.Hari ini tiada aktiviti yang menarik kecuali tidur – makan, makan – tidur.

8.00 Pagi Mee Hoon Goreng dan Teh Tarik jadi sarapan pagi kami hari ini. Selepas itu aktiviti bebas. Nampaknya tiada orang yang berminat untuk mandi sungai. Semuanya lebih suka melengkau di dalam kemah atau di bawah fly.

11.30 Pagi Kami mengambil keputusan untuk turun., kerana kalau kami sampai awal kami ingin mandi puas-puas di Ledang Resort nanti. Nak turun ini pun satu hal juga. Apa taknya Traffik jam. Nak tak nak terpaksa tunggu giliran. Sekali lagi Tragedi Oktober berlaku. Abboy lagi. Baik punya lipat, baik punya kona tup…. terseliuh lah pulak mamat ini. Maklumlah kalau dah sedap turun brekpun tak berapa makan. Nak-nak dapat kasut adibus tu. Baik punya cengkam. Dah baik-baik lari macam panther dah jalan macam siput sedutlah pulak.

2.30 Ptg Kami berjaya juga sampai ke Ledang Resort. Setelah puas mandi dan bersiap kamipun pergi ke Pejabat Renjer untuk Check-Out.

4.00 Ptg Di Pejabat Renjer sekali lagi kami terpaksa declare sampah-sampah yang kami bawa turun. Kalau tak cukup alamat duit deposit kami RM100.00 itu kira burnlah.

4.30 Ptg Sebelum keluar kami singgah di surau untuk solat. Kemudian kami berjalan keluar ke gerai untuk minum petang. Sementara menunggu bas datang ada di antara kami melihat-lihat cenderamata yang di jual di sini. Kebanyakan dari kami membeli lencana untuk di tampal di bag.

5.00 Ptg Bas yang mengambil kami pun tiba. Setelah memunggah barang kamipun bergerak meninggalkan perkarangan Ledang Resort yang menyimpan seribu kenangan. Walaupun telah ramai orang yang mendaki Gunung ini tetapi ia tetap tersergam megah dan indah menanti pendaki lain.

8.00 Mlm Tiba di Kuala Lumpur dan kami minta bas berhentikan Linda di depan Central Market dan yang lainnya terus ke rumah saya di Taman Saga.

8.30 Mlm Tiba di Taman Saga peserta pun bersurai.

Laporan oleh Aishah Kalil