logo
Gambar-gambar Trip 2018

Logo OGKL

Logo OGKL

Monday, 11 March 2013

L03: Ekspedisi Cir Bir


Tarikh : 6- 8/6/2003
Tempat : Gunung Yong Yap, Lasah, Perak @ XPDC "Cir Bir" 

Senarai peserta:
Fazidah - Pengarah Ekspedisi
Abdul Rashid -Urusetia 
Mohd Azhari -Urusetia 
Azlen 
Norwidawati 
Maimuna 
Norimah 
Seri Hanum 
Teng Choon Han 
HiSham Rosli 
Khairuddin Mohd Noor 
Faizal Md noor 
Yassir Ishak 
Azlan Hamzah 
Azmi Che Ei

Jumaat 6/6/2003

9.45pm
Meriah suasana depan Restoran Teratai. Sambil berkumpul seperti biasa , semua yang ada saling bertukar-tukar tengok gambar-gambar XPDC terdahulu. Cara kebetulan , sememangnya Kelab OGKL mengadakan perjumpaan mingguan di restoren itu pada setiap hari jumaat malam sabtu .Jadinya, ramai kawan-kawan yang datang untuk menghantar kami yang akan ke Gunung Yong Yap . 3 jenis kenderaan disediakan pihak penganjur untuk menampung 12 orang peserta dan 3 orang AJK -- Van Toyota , Satria dan Wira Aeroback. Selepas mengucapkan selamat berjaya dan selamat tinggal, kami pun berlepas. Cuaca elok, harapannya keadaan begini berterusan sepanjang program. Terima kasih pada yang sudi menghantar dan melambai kami malam itu.

Masuk ke lebuhraya berhampiran Rawang , kelihatan deretan kenderaan bergerak perlahan-lahan. Musim cuti sekolah, mestilah ramai yang aktif ke sana ke mari.

Van dan Satria singgah berehat dan solat di Rawang . Wira Aeroback pula oleh kerana berada di belakang sekali, 'talian' tidak berapa jelas, terus pecut ke Tapah.

Sabtu 7/6/2003

1.00am
Ketiga-tiga kenderaan bertemu semula di Tol Ipoh. Tempat tujuan seterusnya iaitu Pekan Lasah di Sungai Siput kian hampir. Mata makin layu, terlelap. Bila tersedar, sudah sampai rupanya.

2.00am
Tauke Ah Yee tidak sedar kami sudah tiba. Lambat sangat agaknya, lelaplah dulu. Mulanya peserta-peserta agak terpinga-pinga, betul ke ini tempatnya naik '4 wheel'? kerana Kg Lasah sudah terang-benderang tidak seperti dulu yang gelap gelita . Salah satu lampu kedai di situ dipasang. Betullah.

2.45am
Beg-beg gunung dan manusia disumbat sekali dalam '4 wheel'. 13 orang di belakang dan 3 orang (termasuk Ah Hee) di depan. Mula-mula rasa seronok merasa kedinginan angin pagi, tiba-tiba muka jadi masam sebab lalu trek balak. Berdiri salah, duduk pun salah. Yang berdiri lenguh, yang duduk sakit pinggul terhentak berkali-kali.

"Buluh!"

Yang berdiri kenalah tunduk. Macam ketuk ketampi pulak, tegak tunduk tegak tunduk. Suburnya pokok-pokok buluh di sepanjang jalan. Yang duduk pula asyik ditempeleng lalang dan daun-daun lebar. Kami saling memanggil nama, bukan apa, takut-takut ada yang tercicir atau terjatuh. '4 wheel' sudah berubah sifat macam 'kapal layar'.

5.00am
Tiba di padang berhadapan Sek Kebangsaan Pos Kuala Mu. Lega. Apa lagi. Tidurlah. Pihak lelaki berasak dalam bangsal yang besar sedikit daripada bangsal pihak wanita. Bangsal-bangsal didirikan sebelah-menyebelah. Beratap dan berdinding separuh diperbuat daripada daun nipah.

6.45am
Hari sudah cerah. Baru nampak suasana perkampungan orang asli. Masing-masing membersihkan diri di sungai yang mengalir di tepi kampung. Kelihatan deretan rumah-rumah di sepanjang tebing. Tidak kelihatan kelibat sesiapa pun. Masih awal.

8.30am
Sarapan pagi sudah sedia. Nasi putih, telur goreng hancur, kari daging dan hirisan timun. Kena makan banyak-banyak. Hari ini semua akan bekerja keras. Sedang menjamu selera, barulah kelihatan penghuni-penghuni kampung. Anak-anak kecil berlonggok di bawah pokok, yang dewasa berkumpul di tangga. Salah seorang daripadanya mendekati dan menegur. Bau makanan turut menarik perhatian ayam dan anjing. Kenalah jadi 'pengawal keselamatan' periuk belanga. Kalau berinjak sedikit, si anjing pasti menerkam rezeki yang terhidang.

Sambil bersarapan, Azlin dan Hanum membungkus nasi dan sambal sotong untuk makan tengahari.Timun digalaskan saja .

9.15am
Masing-masing sudah bersiap sedia. Aik! Tiada 'warming up'. Kami semua melintasi rumah-rumah orang asli di sepanjang tebing sungai. Sempatlah bergambar. Barang-barang yang dirasakan tidak perlu diangkut, ditumpangkan di salah sebuah rumah di situ.

Kami diarah berkumpul berdekatan jambatan buluh. 'Warming up' di sini rupanya. Abang Rashid mengepalai senaman ringkas sambil diiringi doa memohon keselamatan dan perlindungan. Ketua XPDC Kak Fazid memberi sedikit taklimat. Tidak lupa juga memperkenalkan 'guide' dan 'porter' Kak Muna iaitu Angah ( Menantu Mas ) dan Kamal ( anak Tok Batin )

Kemudian, seorang demi seorang meniti jambatan buluh. Kenalah begitu, kalau terlebih muatan, mungkin terjun ke bawah. Kaki-kaki gunung memang handal memanjat tapi kalau tercampak dalam air....

Di hujung jambatan sudah tersedia bukit pacak." Good Morning " biasanya panggilan para pendaki . Ada pokok nenas dan ubi kayu di kiri kanan trek. Ini mesti dusun. Pengenalan pendakian sudah menegak, mujur dalam hutan. Terlindung sedikit daripada sinar matahari.

10.15am
Berehat sebentar dekat batang balak. Letih oi! Habis sebiji buah lai. Sempat bergambar dan mengembalikan nostalgia XPDC Kerinci (bagi yang terlibatlah). Terkeluarlah segala bunyi-bunyian dan bahasa jawa.

Keluar dari kawasan hutan, bertemu dengan kawasan lereng terbuka dipenuhi balak-balak rentung. Terasa matahari bersinar terik. Habis melangkah balak-balak rentung, barulah masuk ke jalan tanah merah -- trek balak orang panggil.

Merah padam muka, panas terik . Macam-macam fesyen boleh nampak di sini. Berpayung, bertopi koboi, bercermin mata hitam, berbungkus kepala dengan tuala. Sudahlah terik, trek balak canak pulak. Sedapnya kalau dapat naik '4 wheel'. Pulak! Tadi menyumpah-menyumpah.

11.15am
'Take 5' di tepi jalan. Tiuplah angin, panas oi! Bila sambung berjalan, lega sedikit. Lalu trek yang dilindungi pokok-pokok buluh. Dari kejauhan kelihatan puncak Yong Yap diselaputi awan.

Mata sudah asyik memandang ke puncak. Laju benar ke depan. Sehelai T-shirt yang tergantung macam bendera menarik perhatian.

"Oi! Sinilah."

Bulat menjerit menunjuk simpang sebelah kiri. Alamak! Pondok I tertogok depan mata. Berkobar-kobar benar hinggakan terlajak.

12.30pm
Pondok I berupa rumah tinggi berdinding dan berlantaikan buluh, beratap nipah dan bertanggakan kayu. Masing-masing tidak melepaskan peluang meninjau-ninjau suasana di dalam yang agak sederhana besar.

Ketua XPDC mencadangkan makan tengahari di sungai sebelum Pondok II. Boleh, kami ikut saja.

Cuaca terik tadi berubah rupa. Ketika melalui trek hutan yang mendatar, hujan rintik-rintik turun sekejap. Kena menyeberang anak sungai, jangan segan-segan membasahkan kasut di sini.Kata nak makan di sungai tetapi terus saja sampai Pondok II.

1.30pm
Pondok II berupa tempat berlindung yang diperbuat daripada daun nipah. Ada beberapa orang asli sedang berehat dekat unggun asap. Si anak kecil pun ada bersama, bertinggung memerhati kami. Seorang nenek tua juga kelihatan tidak berapa sihat dan batuk-batuk. Menanyakan ubat batuk dan panadol. Sham bagikan 2 biji panadol.

Perut sudah berbunyi minta diisi. Buka bungkusan nasi dan sambal sotong. Sayang, seribu kali sayang. Separuh saja dihabiskan. Nasi sudah dilumuri minyak sambal. Tapi, Orang lain berselera, licin.

Sebelum meneruskan perjalanan, turun sebentar ke anak sungai yang terletak ke bawah sedikit. Sekitar sungai kelihatan baru ditebas.

2.00pm
Perut sudah kenyang, air botol pun sudah ditambah. Tujuan seterusnya adalah 'last water point'. Trek kali ini mudah diterangkan. Semuanya canak. Bila sudah canak, yang di sekeliling sudah tidak nampak. Asyik tengok bawah. Jadinya, nampak kaki dan tanah sajalah.

Abg Rashid mengalami kejang otot. Menurutnya beberapa hari lepas dia kena cirit-birit. Tubuh sudah kehilangan mineral, pincanglah sedikit kecergasan. Enthylchloride disembur untuk melegakan sedikit ketegangan. Kumpulan yang di hadapan dimaklumkan keadaan Abg Rashid. 3 orang peserta (Azmi, Sham dan Yassir) turun memberi bantuan.

Kami semua berkumpul dan berhenti seketika menunggu Abg Rashid naik. Ini baru 'anak Yong Yap'. Bunyi macam amaran saja. Faham-faham sendirilah. Lepas ini baru 'bapa Yong Yap'.

Pemandangan seterusnya berubah kepada pokok-pokok berlumut. Baru dapat tarik nafas dalam-dalam. Udara terasa dingin. Tiba-tiba angin bertiup agak kasar. Hujan mahu turun rupanya. Agak lebat juga, basah kuyup. Tubuh yang panas terasa sejuk. Adalah kira-kira 15 minit merentas trek dalam hujan.

5.30pm
Tiba di 'last water point'. Tempat persinggahan ini terletak di lembah. Grup pertama tiba dari jam 5.10 lagi .Di sini kami mengisi botol-botol air untuk kegunaan di puncak nanti.

Laparnya. Makanan ringan dijadikan alas perut. Biskut kering, Kulit jambu kering, nanas kering, keropok kentang kering, semualah yang kering-kering habis licin. Faizal seperti biasalah, melelapkan mata. Pedulikan orang sekeliling.

'Last Water point' terletak agak jauh ke bawah bukitsebelah kiri . Kira-kira 10 minit untuk sampai ke anak sungai yang mengalir di celah-celah bukit. Warna airnya sedikit kuning. Oleh kerana baru lepas hujan, tanah gambut di lereng agak licin, tergelincir. Sempat capai akar berhampiran tapi berduri, berlubang tapak tangan. Di seberang sana anak sungai, terdapat dinding batu yang agak tinggi diselaputi lumut hijau. Nyamuknya banyak di sini dan ganas-ganas. Hinggakan dalam mulut pun dia masuk. Ah! Telan sajalah. Payah nak menepis sebab tangan kanan jinjing karung botol, tangan kiri pegang akar.

6.45pm
Sekembali ke tempat berehat, ada yang sudah memecut ke puncak seawal jam 6.15 petang. Beban bertambah dengan 3 botol air 1.5ml. Ada yang bawa lebih berat lagi. Satu tong ! tanker. Hari semakin gelap. Lampu picit sudah siap sedia. Sudahlah treknya pacak, kena trekking malam pulak.

'Aku tak larat....' Terdengar suara mengeluh dalam gelap-gelita.

'Allah...' terdengar pulak lagi suara bila melangkau akar-akar yang berselirat di tengah jalan. Rasa nak putus urat kaki. Manalah puncak, puas sudah menyuluh ke atas. 
Tiada perasaan takut. Yang tahu cuma letih, letih dan letih. Sabar, sabar, sabar.....

8.10pm
Beberapa kali melauh orang di puncak yang sudah sampai kira-kira pukul 7.00 petang. Mana mungkin mereka mendengar orang di bawah. Bila sudah betul-betul menjejakkan kaki di puncak Yong Yap lagi kuat melauh. Pun tak dijawab. Kita menjerit depan khemah barulah disahut kembali.

'Welcome'. Akhirnya sampai juga. Hai Gunung Yong Yap, baru kutahu peritnya mendaki lereng-lerengmu.

Kawasan puncak dikelilingi pokok-pokok bonsai. Jadi, terlindung dek tiupan angin. Selepas mendirikan khemah, periuk belanga dan dapur dikeluarkan untuk masak makan malam.

Menu malam ini adalah nasi putih berlaukkan ayam masak merah, sayur kobis + lobak dan keropok sayur. Wid jadi pembantu dapur utama menunjukkan kebolehan memasak sayur campur.

Ketika sibuk-sibuk di dapur inilah, penulis bergegas mencari 'tandas'. Perut meragam. Peraturan OGKL no. 21 (rujuk glosari) terpaksa dilanggar. Oleh kerana sudah 4X cirit-birit, badan pun sudah lembik, kenalah beritahu Kak Fazid. Minta pil Chit Kit Teck Aun minum dengan air suam. Selalunya pil ini tidak pernah tinggal. Kali ini tidak dibawa atas alasan hanya semalaman. Tengok, apa sudah jadi....

11.00pm
Bulat puas memanggil semua berkumpul. Makan malam sudah siap. Terlampau letih, ada yang tidak muncul. Lena di alam sendiri.

Penulis agak ragu-ragu melihat ayam masak merah. Memang nampak sedap tapi takut nanti perut pun jadi 'sedap'. Mencegah lebih baik, jadi nasi putih makan dengan sayur dan keropok saja. Itupun hanya separuh mampu dihabiskan, tiada selera.

Selepas makan, Abg Rashid beri pula sebiji pil limotil, katanya ubat ini untuk menahan cirit-birit dan sakit perut. Cepat-cepat telan dengan air teh. Moga redalah gelora di dalam. Tengah cuci mess tin, perut meragam balik.....Mess tin dicampak ke tepi, bergegas ambil lampu suluh dan botol air. Aduh! Habis sebotol air. Esok gosok gigi pakai air embun.

Cirit-birit punya penangan, lupa medongak ke langit luas di mana bulan separuh mengambang. Tidak teringat langsung melihat panorama sekitar puncak Yong Yap di waktu malam. Masuk khemah terus tidur.

Ahad 8/6/2003

1.00pm
Terpinga-pinga dikejutkan Wid, dia pulak hendak menunaikan 'hajat'. Hati-hati berjalan, nanti 'terpijak' orang lain punya.

6.40pm
Mujur tidur lena. Tidak menggeletar, tidak terasa sejuk dan yang paling utama tidak sakit perut. Bergegas keluar, hari semakin cerah. Peluang melihat matahari terbit tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Wid, Hanum dan Lin turut serta berdiri mengadap ke Timur melihat bebola merah perlahan menjengahkan wajah. Awan-awan nun di kaki langit kelihatan seperti bongkah-bongkah bukit. Awan yang melindungi matahari pula sekejap kelihatan seperti kepala kucing, kemudian kepala itik. Masing-masing bersedia dengan kamera. Pukul 7.05 pagi, matahari pun bangun dari beradu. Cantik! Pagi ini terang, tenang, segar dan cerah.

Jom! Kita ke sebelah sana. Kita lihat banjaran Titiwangsa.

Di sebelah utara, kami menyaksikan deretan banjaran. Di sanalah peserta XPDC Trans Titiwangsa menghabiskan masa dan tenaga selama seminggu meniti banjaran melalui gunung Korbu, Gayong dan Yong Belar. Memang puas! Puas hati dapat naik Yong Yap. Betul kata Sham yang sudah ke sini buat kali ketiga. Perit tapi pemandangannya cantik. Kawasan sekitar puncaknya pun bersih dari longgokan sampah sarap.

8.20am
Ramai-ramai berkumpul di dapur sambil menyediakan sarapan pagi. Gulai kari daging berkentang sudah siap, berasap nampaknya. Cuma menanti roti nan yang berkeping-keping mesti dipanaskan dahulu. Sambil-sambil bersembang waktu pagi, kami makan lebihan keropok sayur malam tadi. 
Rupa-rupanya, sepanjang waktu tidur beramai-ramai cari 'tandas'. Semua peserta wanita kecuali ketua XPDC mengesahkan kena sakit perut. Pihak lelaki pulak hanya Faizal, Han dan Abang Rashid yang terselamat. Pada yang tidak mengaku, Tuhan melihat....

Waktu sarapan menjadi seperti sessi beramah-mesra. Kebanyakannya makan roti nan dan minum air saja. Takut menjamah gulai, nanti sakit lagi. Sambil makan, terkeluarlah cerita perihal peristiwa di awal pagi. Seorang demi seorang bergegas bangun akibat perut meragam. Azlan bilang bila disuluh sini ada lampu, suluh sana ada lampu. Penuh! Pening mencari 'tandas' yang sesuai. Ada yang sampai tidak menutup 's---', esok sajalah katanya. Boleh kenal itu engkau yang punya, sampuk seorang peserta lain. Dei! Kucing pun tahu korek dan timbus balik! Meriah benar di puncak Yong Yap dalam gelap-gelap, mujur punggung tidak bertemu punggung...oppps! Bulat puas mengejut Abang Rashid minta temankan, tidak dilayan. Katanya, dia sudah tahu ramai di luar sana.

Orang lain sibuk melayan perut sakit, ada seorang ini pula sibuk melayan perut yang lapar. Pukul 2 pagi buka tudung periuk.Kelentang-kelentung dapur berbunyi.Macam bangun sahur .

Ada beberapa pendapat menyatakan, mungkin disebabkan kari daging ketika bersarapan pagi dan juga sambal sotong yang dibungkus untuk makan tengahari kelmarin. Kena catu pil limotil kali ini.

10.45am
Selesai bersarapan, masing-masing berkemas apa yang patut. Sebelum turun, kami mengadakan sessi bergambar berkumpulan. Bendera rasmi OGKL sudah tiada, bertukar tangan dengan grup Pangrango pendaki di Indonesia tempoh hari. Jadi yang terentang adalah bendera Pangrango, Jalur Gemilang dan bendera PEACE.

Sempat juga meninjau plate nama-nama peserta XPDC tahun 2000 anjuran OGKL. Masih cantik berdiri di atas tunggul kayu di sana. Plate peserta kali ini tidak ada. Tidak mengapa.

11.00am
Selamat tinggal lebah-lebah dan lalat-lalat. Ada rezeki kami datang lagi. Perjalanan turun lebih rileks. Ada yang berhenti mengambil gambar bunga dan bukit-bukau di lembah sana. Kami akan singgah di sungai kecil antara Pondok I dan Pondok II.

12.30pm
Berhenti rehat. Itupun setelah dilauh berkali-kali. Laju benar yang di depan, bersemangat hendak keluar dari hutan. Turun bukan sebarang turun. Ketar kepala lutut melalui tebing-tebing curam.

Selepas setengah jam, perjalanan disambung semula. Geramnya tengok tebing curam. Sayupppp ke bawah. Makin lama makin jelas bunyi air. Sudah dekat! BUkan! Itu bunyi angin, jawab Kak Fazid di depan. Telinga sudah tidak boleh beza air ka angin.

Dah! Nak dekat dah. Ini, jerat babi!

Baru teringat pada jerat babi. Kelmarin buat tidak tahu, sekarang suka bila terlihat jerat yang melintang di tengah jalan. Ternampak si kecil berdiri di tepi jalan. Bila disapa, senyap. Oh! Ayahnya sedang tidur di bawah pokok sana. Ketika melintas Pondok II tidak kelihatan sesiapapun di situ. Bukan di sini, tempat berhenti di hadapan lagi.

1.45pm
Kak Fazid pantas mengeluarkan perkakas untuk masak bihun tomyam sebagai juadah makan tengahari. Semuanya cukup kecuali gas! Han suruh rendam saja dalam sungai. Alahai, sampai awal pun tidak boleh berbuat apa-apa. Tunggu sahajalah ketibaan kumpulan di belakang.

Setengah jam kemudian Abang Rashid tiba barulah boleh panaskan air. Sementara itu, ada yang mandi-manda, merendam kaki, berbual-bual, tidur dan yang ke tandas pun ada. O! Jalan laju-laju tadi sakit perut, hendak mengejar air rupanya!

Sedapnya mengadap hidangan bihun tomyam. Basah tekak dengan milo panas. Duduk beralaskan batu-batu besar yang berlonggok di sekitar sungai. Eh! Ada pula yang bersila atas batu menikmati nasi dan sambal ayam malam tadi yang dibawa turun . Makan! Jangan tak makan!

4.00pm
Peringkat terakhir seterusnya adalah melalui trek balak balik ke perkampungan orang asli di mana '4 wheel' sedia menanti. Segala jenis sampah-sarap dikumpul untuk dibawa keluar. Khazanah alam wawasan rekreasi kan! Rugi rasanya berjalan jauh untuk melihat kawasan rekreasi yang tercemar. 
Kumpulan di hadapan sudah hilang dari pandangan. Bersemangat! Penulis cuba mengejar, gagal. Kaki sudah kejang. Selepas melewati Pondok I, Abang Rashid beri Enthylchloride, sembur untuk melegakan kekejangan. Masuk ke trek balak, tiada perubahan. Kena minum air garam, barulah lega sedikit. Hendak atau tidak, beg dan isinya kena dipikul orang lain.

8.00pm
Semua selamat tiba dan berkumpul dekat '4 wheel' yang sudah menunggu kami seawal jam 5.30 petang tadi. Orang yang terakhir tiba adalah Yassir kerana dia mandi-manda di bawah jambatan buluh. Peserta paling depan tiba jam 6.30 petang.

Ketua XPDC pun khabarnya sakit dibahagian lutut ketika menghampiri perkampungan . Kena berjalan sendirian. Disebabkan berjalan agak perlahan, sekejap selepas itu dipotong oleh nenek dan kumpulan orang asli yang tengahari tadi ditemui berteduh di Pondok I. Tadi dia lambai nenek, sekarang nenek pulak lambai dia. Apapun, syukur semua selamat dan masih boleh ketawa.

8.25pm
Penduduk kampung melambai-lambai kepada kami dalam kegelapan malam. Cadangannya mahu mandi di surau Pekan Lasah. Tapi, tiada air. Kami singgah di kedai tauke Ah Yee untuk menukar pakaian bersih. Kami tidak dibenarkan mandi, kepala paip belum ditukar katanya.

Kira-kira jam 11 malam kami menuju ke sebuah restoran untuk mengisi perut sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Kesempatan itu digunakan oleh ketua XPDC untuk mengedarkan borang-borang penilaian dan pendapat mengenai XPDC Yong Yap.

Lewat tengahmalam, setelah diputuskan siapa naik kenderaan siapa kami pun memohon maaf sesama sendiri. Bagusnya, pihak penganjur hantar sampai depan tangga rumah.

Terima kasih kepada semua yang terlibat samada yang terang-terang mahupun yang di belakang. Satu lagi program berjaya dianjurkan kelab OGKL. Biarpun ada sedikit kepincangan namun semuanya kembali dengan kenangan tersendiri. Mahu ke Yong Yap lagi? Tepuk dada tanya selera. 'Ada selera ka?'

GLOSARI

XPDC 'Cir Bir':
Ekspedisi Cirit-birit.

Peraturan no. 21:
Dilarang trekking atau keluar seorang diri tanpa ditemani sesiapa.

0 comments:

Post a Comment