logo
Gambar-gambar Trip 2018

Logo OGKL

Logo OGKL

Tuesday, 1 January 2013

L01: Gunung Ledang



Tarikh: 24 - 26/3/2001

Tempat: Segamat, Johor

SABTU 24/11/01

7.30 Pagi Fazly, Bulat, Rolan, Zaidi dan Daniel berkumpul di rumah saya untuk menolong membantu mengangkat peralatan dan ration ke dalam bas.

8.00 Pagi Bas yang akan membawa kami tiba dan setelah memunggah semua barangan ke dalam bas kami pun bertolak ke Teratai untuk mengambil peserta lain.

8.45 Pagi Sampai di Teratai, Abboy, Nita, Tini dan Linda dahpun menunggu. Sementara menunggu mereka memasukkan barang ke dalam bas, kami bersarapan dahulu.

9.00 Pagi Bas mula meninggalkan perkarangan Daya Bumi untuk meneruskan perjalanan ke Ledang Resort yang mengambil masa lebih kurang 3 jam ½ itu.

12.30 t/h Setibanya di Ledang Resort kami mengarahkan agar peserta makan tengah hari dahulu sebelum bersiap dan menukar baju trekking. Sementara itu saya dan Fazly mengisi borang-borang yang wajib di isi oleh setiap kumpulan sebelum memulakan pendakian.

1.30 t/h Kami mula bergerak ke Pejabat Renjer untuk mendaftar. Setibanya di sana kami di kehendaki mendeclarekan barangan kami dan juga menyetelkan bayaran yang di kenakan. Kami juga telah di berikan sedikit taklimat tentang pantang larang dan prosedur di situ.

2.00 ptg Setelah Fazly memberikan sedikit taklimat perjalanan kepada peserta dan berbekalkan sedikit doa selamat kamipun memulakan pendakian. Awal-awal perjalanan lagi kami telah di hidangkan dengan trek tangga yang mencanak. Oleh kerana terdapat ramai pengunjung berada di Ledang Resort itu kami terpaksa mengontrol macho dan jelita kami walaupun penatnya Tuhan saja yang tahu.

6.30 ptg Kami tiba di Kem Site Kolam Anak Gajah dengan selamatnya. Terdapat lebih kurang 300 orang terdapat di kem site ini. Pemandangan yang tidak pernah saya jumpai selama 3 tahun berekreasi. Alhamdulillah, walaupun kem site penuh dengan pengunjung tapi kami masih mendapat tapak kemah yang rata dan cantik. Oleh kerana kami sampai awal jadi kami mengambil keputusan menggoreng cekodok ikan bilis untuk peserta.

8.00 mlm Kami makan malam dengan berselera sekali. Menunya ialah kari daging, telur dadar dan keropok. Walaupun rasanya baru sahaja menggalas perut dengan cekodok tapi nampaknya peserta kita tak tolak bila di hidangkan nasi. Setelah makan kami pun mengadakan sessi suai kenal. Terdapat 2 orang peserta baru iaitu Daniel dan Linda yang mengikuti xpdc kali ini. Setelah sessi suai kenal dan berborak ala kadar kamipun masuk tidur kerana kami akan meneruskan cabaran menggapai puncak Ledang esok.

AHAD 25/3/01

5.30 Pagi Saya gerakkan Bulat dan Fazly untuk bangun menolong saya untuk menyiapkan sarapan pagi dan bekal tengah hari untuk peserta. Kalau boleh kami ingin memulakan perjalanan seawal yang boleh untuk menggelakkan daripada traffik jam.

8.00 Pagi Kami panggil semua peserta untuk bersarapan dan mengambil bekal untuk makan tengah hari. Menu pagi itu ialah Nasi Goreng dan Teh Tarik dan bekalnya ialah Sandwich telor. Ketika bersarapan hujan mulai turun tetapi itu tidak mematahkan semangat kami.

8.45 Pagi Kamipun memulakan perjalanan. Waktu ini pendaki tidak berapa ramai lagi, mungkin mereka ingin menunggu sehingga hujan berhenti. Ketika ini kami cuma bersaing dengan grup dari S’pore. Setelah ¾ perjalanan terdapat kemalangan kecil berlaku di mana telinga Abboy telah tercucuk kayu runcing. Nyaris-nyaris tidak terkena mata. Kalau tidak tak tahulah apa nak jadi. Setelah di berikan rawatan oleh Fazly kami pun meneruskan perjalanan.

1.00 T/h Kami tiba di puncak bersaing dengan grup S’pore. Alhamdulillah kami dapat melihat pemandangan yang sangat cantik dari sini. Termasuk kami ada 3 grup di atas puncak ini. Kami terpaksa menggunakan kesempatan ini untuk bergambar dan menikmati keindahan puas-puas sebelum grup lain tiba.

2.00 Ptg Setelah makan dan siap bergambar kamipun mula meninggalkan Puncak Ledang. Alhamdulillah sepanjang perjalanan turun tiada apa-apa yang berlaku. Kami berselisih dengan banyak grup yang hendak naik. Pukul berapalah agaknya mereka itu akan turun. Satu soalan yang hanya pada mereka sahaja ada jawa

6.30 Ptg Kami tiba di Kem Site dengan selamatnya. Setelah siap mandi kami berehat-rehat sambil berborak-borak sementara menunggu waktu maghrib. Satu yang uniknya di sini ialah apabila beberapa minit lagi masuk maghrib, sejenis serangga akan berbunyi dengan kuatnya seperti menggunakan mikrophone. Walaupun saya pernah mendengar bunyi ini di tempat lain tapi tidak boleh lawan dengan kuatnya bunyi serangga itu di sini. Setelah berbunyi di setiap pelusuk Kem Site itu selama lebih kurang 15 minit, ia pun berhenti. Bagus juga serangga itu berbunyi. Itu manandakan masuknya waktu solat bagi kawasan itu dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya.

8.30 Mlm Makan malam. Borak-borak kosong dan tidur.

ISNIN 26/3/01

6.00 Pagi Bangun pagi dan solat dan menyediakan sarapan untuk peserta.Hari ini tiada aktiviti yang menarik kecuali tidur – makan, makan – tidur.

8.00 Pagi Mee Hoon Goreng dan Teh Tarik jadi sarapan pagi kami hari ini. Selepas itu aktiviti bebas. Nampaknya tiada orang yang berminat untuk mandi sungai. Semuanya lebih suka melengkau di dalam kemah atau di bawah fly.

11.30 Pagi Kami mengambil keputusan untuk turun., kerana kalau kami sampai awal kami ingin mandi puas-puas di Ledang Resort nanti. Nak turun ini pun satu hal juga. Apa taknya Traffik jam. Nak tak nak terpaksa tunggu giliran. Sekali lagi Tragedi Oktober berlaku. Abboy lagi. Baik punya lipat, baik punya kona tup…. terseliuh lah pulak mamat ini. Maklumlah kalau dah sedap turun brekpun tak berapa makan. Nak-nak dapat kasut adibus tu. Baik punya cengkam. Dah baik-baik lari macam panther dah jalan macam siput sedutlah pulak.

2.30 Ptg Kami berjaya juga sampai ke Ledang Resort. Setelah puas mandi dan bersiap kamipun pergi ke Pejabat Renjer untuk Check-Out.

4.00 Ptg Di Pejabat Renjer sekali lagi kami terpaksa declare sampah-sampah yang kami bawa turun. Kalau tak cukup alamat duit deposit kami RM100.00 itu kira burnlah.

4.30 Ptg Sebelum keluar kami singgah di surau untuk solat. Kemudian kami berjalan keluar ke gerai untuk minum petang. Sementara menunggu bas datang ada di antara kami melihat-lihat cenderamata yang di jual di sini. Kebanyakan dari kami membeli lencana untuk di tampal di bag.

5.00 Ptg Bas yang mengambil kami pun tiba. Setelah memunggah barang kamipun bergerak meninggalkan perkarangan Ledang Resort yang menyimpan seribu kenangan. Walaupun telah ramai orang yang mendaki Gunung ini tetapi ia tetap tersergam megah dan indah menanti pendaki lain.

8.00 Mlm Tiba di Kuala Lumpur dan kami minta bas berhentikan Linda di depan Central Market dan yang lainnya terus ke rumah saya di Taman Saga.

8.30 Mlm Tiba di Taman Saga peserta pun bersurai.

Laporan oleh Aishah Kalil

0 comments:

Post a Comment