logo
Gambar-gambar Trip 2018

Logo OGKL

Logo OGKL

Saturday, 23 February 2013

L02: Trans Titiwangsa

Ekspedisi Trans Titiwangsa


Banjaran Titiwangsa

Gunung Korbu , Gunung Gayong dan Gunung Yong Belar merupakan antara gunung utama yang membentuk banjaran titiwangsa . Gunung – gunung ini mempunyai ketinggian melebihi 7000 kaki merupakan antara gunung yang tertinggi di Semenanjung Malaysia .Kelab ogkl telah menganjurkan satu ekspedisi merentasi banjaran ini untuk merasai cabarannya yang di kategorikan oleh kebanyakan trekkers sebagai kategori “Hardcore “ . Seramai 25 orang peserta yang menyertai ekspedisi .

23 . 05 . 2002 . ( Hari khamis ) KL- Intake Ulu Kinta Perak

Lebih kurang jam 9.30 malam semua peserta berkumpul di Dataran Merdeka untuk menaiki bas yang telah dichartered khas oleh Kelab OGKL .Hujan yang turun pada malam ini telah menyebabkan kelewatan beberapa peserta untuk tiba disini .Tepat pada jam 11.00 malam bas kami mula bergerak meninggalkan Kuala Lumpur untuk ke Intake ,Ulu Kinta Perak .

24 . 05 .2002 . ( Hari Jumaat ) Intake – Kem Kijang

Lebih Kurang jam 2.15 pagi kami pun tiba di Ulu Kinta ( Intake ). Disini peserta telah diberikan ration untuk 5 hari .(Ada yang muncung panjang kerana terpaksa memiikul bebanan ration yang tentunya berat!!!).Malam (pagi) ni peserta hanya berjalan lebih kurang 15 minit untuk sampai ke tapak perkhemahan .Jam 3.30 pagi barulah kami dapat melelapkan mata .

Lebih kurang jam 6.45 pagi setelah menunaikan solat subuh urusetia–urusetia bertugas sudah mulai sibuk memasak sarapan iaitu Nasi Putih berlaukkan Sambal Tumis Ikan Bilis dan bekalan makan tengaharinya ialah Sandwich Tuna . 

Setelah selesai melakukan senaman ringan yang diketuai oleh En. Alan yang semestinya meriah kami memulakan pejalanan jam 10.00 pagi yang di dahului oleh En.Bullet dan dikuti oleh peserta – peserta lain. Tiba di Pondok terakhir kami take 5 sekejap. Abang Rashid menggambil kesempatan untuk menghadiahkan badge Kelab OGKL kepada kami . 

Hampir satu jam berjalan kami tiba ke satu kem site pada jam 12.00 tengahari. Disini kami mengambil kesempatan untuk makan tengahari yang telah di bekalkan. Hampir setelah setengah jam kami berehat disini kami pun menyambung perjalanan dan sampai di Kem Seroja hampir jam 4.00 petang dan kumpulan yang terakhir sampai 45 minit kemudian. 

Di sini para urusetia membincangkan samada meneruskan perjalanan ke Kem Kijang atau bermalam saja disini. Setelah kata putus dibuat kami pun meneruskan perjalanan ke Kem Kijang untuk memudahkan pendakian untuk keesokan harinya. Lebih kurang jam 6.30 petang kumpulan hadapan telah tiba di Kem kijang .

Semua peserta mengambil peluang mandi di anak sungai disitu tetapi airnya tersangat sejuk. Urusetia bertungkus-lumus mendirikan Dewan Makan dan Kemah Dapur untuk penyediaan makan malam kami. Peserta yang terakhir sampai jam 8.00 malam setelah tidur sekejap ditrek kata mereka. 

Setelah selesai mandi dengan kesejukan airnya yang terasa hingga ke tulang, kami pun makan malam dengan begitu berselera sekali yang disediakan oleh Kak Aishah dan Fazid yang merupakan chef utama kami untuk ekspedisi kali ini. Menu malam itu ialah Nasi putih dengan lauknya Rendang Daging bersama masak Lemak Kobis . Jam 11.00 malam semua peserta di kerah tidur .(Kem site banyak agas ,tidur tatak nyenyak )

25 . 05 .2002 ( Hari sabtu ) Korbu – Kem Kijang – Gunung Korbu

Seawal jam 6.30 pagi kebanyakan peserta telah bangun untuk solat subuh dan kelihatan begitu bersemangat untuk mendaki puncak Korbu pada hari ini .Pada pagi ini chef Kak Aishah dan Fazid menyediakan sarapan Nasi Goreng Kampung dan Teh Tarik kaw-kaw . Mereka juga membekalkan kami Roti Egg Banjo berserta Daging untuk santapan tengahari kami. 

Selesai semua bersarapan dan berkemas seperti biasa kami akan melakukan senaman ringan untuk memanas badan sebelum memulakan perjalanan .Senaman pada pagi ini dipimpin oleh En. Leman( Black Hawk Down). Lebih kurang jam 10.00 pagi kami memulakan perjalanan dan sampai di last “Water Point “ pada pukul 12.00 tengahari, di sini kami mengambil kesempatan untuk makan tengahari sambil mengambil air 3 botol seorang (1.5 liter ) untuk kegunaan di puncak dan perjalanan hari esok .Haversack yang berat dengan ration dan diisi pula dengan air terasa begitu membebankan ditambah pula trek yang terpacak amat mencabar fizikal dan mental kami. 

Setelah melalui pelbagai cabaran dan rintangan akhirnya kumpulan hadapan telah tiba di puncak Korbu pada pukul 4.40 petang dan peserta terakhir sampai jam 6.10 petang dan kami mengambil keputusan untuk bermalam di sini sahaja memandangkan perjalanan ke Gunung Gayong amat merbahaya sekiranya trekking di malam hari.

Di puncak Korbu ada juga group lain yang datang dari arah Kampug Suluh. Pada malam ini, chef kami menyediakan hidangan yang lazat sekali iaitu Nasi Beriani berlaukkan Ayam Masak Merah dan Jelatah Timun-Nenas ,ditambah lagi dengan keropok papadom yang ranggup .Malam yang indah di puncak Korbu diterangi oleh bulan mengambang penuh dan keadaan cuaca yang baik, membantu kami tidur dengan nyenyaknya tidak seperti malam--malam sebelumnya.

26 . 05 .2002 (Hari Ahad ) Gunung Korbu –Gunung Gayong – 6852 –Kem H20

Pagi di puncak Korbu terasa begitu dingin sekali membuatkan kami sangat liat untuk keluar dari dalam kepompong “ sleeping bag “.Walau bagaimanapun kami terpaksa juga bangun untuk meneruskan perjalanan seterusnya ke H20 .

Pagi ini kami bersarapan Roti Nan Tandori dan cicah Kuah Kari Dagingdan kentang yang sungguh menyelerakan .Perjalanan hari ini merupakan perjalanan paling jauh yang akan kami tempohi .Selesai sessi photografi kami memulakan perjalanan pada hari ini pada pukul jam 10.00 pagi dan sampai di simpang Gayong jam 11.45 pagi dan setelah berehat lama disitu kami meyambung semula perjalanan pada pukul 2.15 petang setelah berkumpul semula dengan semua peserta belakang dan bergambar di puncak Gayong.

Perjalanan seterusnya begitu memenatkan untuk menyampaikan ke puncak 6852.Akhirnya berjaya juga kami tiba di di puncak 6852 pada jam 5.30 petang . Kesejukan di campsite 6852 membuatkan kami terasa lapar ,sementara menunggu peserta dibelakang tiba kami mengambil kesempatan untuk mengalas perut kami dengan makanan yang telah dibawa (kudapan ). 

Lebih kurang jam 6.15 petang kami menyambung semula perjalanan dan sampai disungai jam 8.30 malam .Perlajanan ini terasa begitu menyiksakan kerana terpaksa berjalan dalam kepekatan malam sambil melalui trek yang hancur menyebabkan kami kehilangan arah buat seketika .Ketika di sungai itu ada juga peserta yang mula menunjukkan kebosanan apabila kami tidak dapat mengesan trek laluan untuk ke campsite H20 , akhirnya Abang Osman dapat juga mengesan trek dan mengarahkan peserta untuk mengikuti terk tersebut . Abang Osman ,Bullet dan Adlan telah tercari-cari kedudukan campsite H20 yang sebenar dan kembali memberitahu peserta yang sedang mengalas perut, dan akhirnya kami sampai dicampsite jam 11.00 malam. 

Disini kami mengambil kesempatan untuk mandi-manda didalam kedinginan malam dan kesejukkan air sungainya yang menyusuk ke setiap lobang roma . Malam itu kami makan Nasi berlaukkan Ikan Bilis Masak Berlada dan Soup Ayam berserta Kentang . Kami masuk tidur hampir jam 3.00 pagi dengan sang agas sebagai teman tidur .

27 . 05 . 2002 (Hari Isnin ) Kem H20 – Gunung Yong Belar

Pagi ini nampaknya semua peserta agak liat sikit untuk bangun awal pagi mungkin keletihan disebabkan “overtime “semalam .En. Bullet memberitahu kepada peserta , perjalanan pada hari ini akan memakan masa hampir 8 jam untuk sampai ke puncak Yong Belar .

Perjalanan hari ini dimulakan pada pukul 10.30 pagi setelah selesai senaman ringan dan bacaan doa dilakukan .Perjalanan hari ini yang lebih kepada pendakian tidak mematahkan semangat peserta , walaupun ada yang telah merasai kesakitan .Hampir jam 4.00 petang kami sampai di water point dimana sebelum itu kami telah berehat hampir satu jam disatu kawasan runtuhan yang menampakkan pemandangan yang cantik ,jarak antara tempat kami berehat dan water point tak sampai satu minit perjalanan .Alangkah bagus jika kami meneruskan perjalanan dan berehat di water point .

Di water point kami berehat lagi sehingga jam jam 5.30 petang sambil menunggu kesemua peserta tiba ,disini kami mengambil kesempatan untuk mengisi air seorang 3 botol lagi (1.5 ltr) untuk memasak makanan. Ada peserta yang memasak ration emergengy iaitu maggi disitu .

Kami menyambung semula perjalananan kami dan sampai ke puncak Yong Belar jam 6.10 petang dan peserta terakhir sampai jam 6.45 petang .Hari ini semua peserta berjalan agak laju memandangkan kesemuanya tak nak overtime lagi .Terpancar keceriaan pada wajah setiap para peserta di atas puncak sambil menikmati pemandangan matahari jatuh di sebelah barat yang sungguh indah , jarang sekali dapat melihat matahari terbenam dari atas puncak Yong Belar .Selalunya puncaknya berkabus .

28 . 05 . 2002 (hari selasa ) Gunung Yong Belar- Kem TNB Blue Valley , Cameron .

Hari terakhir untuk trekking didalam ekspedisi pada kali ini. Nampaknya semua dah tak sabar untuk menamatkannya .Kami mengambil kesempatan untuk mengambil gambar di atas puncak untuk Yong Belar untuk dibuat kenangan sebelum turun. Lebih kurang jam 11.00 pagi perjalanan dimulakan dan sampai di Kem Tudung Periuk jam 2.00 petang. 

Selesai berehat dan mengisi perut kami dengan BeeHoon Tomyam kami pun menyambung semula perjalanan pada jam 3.30 petang dan sampai di Kem TNB pada jam 6.00 petang dan kumpulan terakhir sampai jam 7.15 petang ,malam ini terasa sungguh selesa dan indah sekali mengenangkan esok sudah tak perlu untuk berjalan lagi.Sambil berkongsi-kongsi pengalaman yang telah dilalui ,ada yang manis ,pahit ,lucu dan sebagainya .

Kami berkongsi-kongsi pengalaman masing-masing dalam acara post-mortem yang sengaja diadakan untuk menilai ekspedisi kali untuk memperbaiki ekspedisi yang akan datang. Peserta juga saling meminta maaf diantara mereka diatas segala kesilapan disepanjang 5 hari trekking yang sudah pastinya kami sudah seperti adik-beradik walaupun hanya didalam 5 hari ini.

29 .05 .02 (hari Rabu ) Kem TNB Blue Vallley – Brincang - KL

Pagi ini adalah hari terakhir ekspedisi kami dan 4wd yang akan membawa kami ke Kg Raja akan datang jam 9.30 pagi .Seperti yang dijanjikan , jam 11.00 pagi ,bas yang dichartered khas untuk mangambil kami pun tiba. Didalam perjalanan pulang kami mengambil kesempatan untuk membeli sayur-sayuran segar di Cameron Highland ini dan kami tiba di KL jam 9.30 malam .Selesailah ekspedisi kami untuk kali ini dan jumpa lagi di lain ekspedisi .

Catitan: Carga Bulletinios Amigios Banderios

0 comments:

Post a Comment