logo
Gambar-gambar Trip 2018

Logo OGKL

Logo OGKL

Wednesday, 7 August 2013

L08: Ekspedisi G. Tahan 08.08.08


Kata Pengantar:
Tarikh 8hb Ogos 2008, atau lebih dikenali sebagai 08.08.08, mungkin merupakan tarikh keramat bagi sebahagian besar penduduk dunia. Bagi pengamal ‘feng shui’, susunan tiga angka lapan merupakan angka ‘ong’ atau bertuah mereka. Ramai mengabdikan tarikh ini melalui cara tersendiri, ada yang bertunang, tidak kurang juga yang mendirikan rumahtangga. Sukan Olimpik Musim Panas Beijing 2008 yang gilang gemilang juga dimulakan pada tarikh ini. 

Idea untuk ekspedisi Tahan 08.08.08 OGKL ini terlintas di minda saya pada tahun 2007. Saya pernah menyuarakan idea ini kepada saudara Fahmi yang merupakan seorang ahli MT OGKL. Apabila jadual aktiviti OGKL 2008 dikeluarkan, saya agak terkejut apabila melihat ianya dimasukkan sebagai aktiviti bagi bulan Ogos. Pucuk dicita, ulam mendatang. Saya mula merancang jadual kerja & cuti dari awal tahun bagi membolehkan diri untuk menyertai program ini.

Beberapa bulan sebelum ekspedisi, saya dan saudari Nina telah dilantik sebagai Pengarah Program untuk ekspedisi ini. Pada mulanya terasa sukar untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan ini kerana belum pernah menjejakkan kaki ke Gunung Tahan. Ditambah dengan pekerjaan saya yang selalu ditugaskan untuk kerja luar, membuatkan pembahagian masa antara kerja & perancangan serta perlaksanaan ekspedisi begitu payah dirasakan.

Mujurlah rakan – rakan dalam MT & AJK OGKL serta rakan – rakan penggiat rekreasi lain banyak membantu, terutamanya dalam memberi info bagi merangka jadual perjalanan serta perkara berkaitan logistik. Pada saudari Nina dan saudara Zulhelmi (Amy) selaku AJK penganjuran program ekspedisi Tahan 08.08.08 OGKL dan juga encik Bakaruddin (Din Kulop) selaku guide, saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih pada mereka kerana telah banyak membantu saya sepanjang ekspedisi ini. Tidak ketinggalan juga ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat samada secara langsung atau tidak langsung. Hanya Allah SWT yang dapat membalas jasa baik mereka. 

Catatan perjalanan ekspedisi Tahan 08.08.08 OGKL ini telah disediakan oleh saudari Rabi’atun. Secara peribadinya saya telah meminta beliau menyediakan catatan perjalanan untuk ekspedisi ini kerana beliau merupakan peserta yang paling ‘junior’ dari segi pengalaman dalam pendakian. Sudah pastinya pelbagai cerita menarik dimuatkan menurut
perspektif beliau sebagai seorang yang baru menjinakkan diri dalam bidang rekreasi luar.

Salam rekreasi,

Azizan Zolkipli @ Wakjan
Pengarah Program Tahan 08.08.08 OGKL

ni pula catatan perjalanannya.
Cerita asal oleh Rabia, dgn tambahan citer oleh Nina.
Saya pulak memeriksa tarikh & masa serta edit bahasa. Maaf sbb ada bahasa rojak, saje nak bagi bersahaja dgn mengekalkan keaslian bahasa oleh penulis asal.

Harap korang semua terhibur dgn citer ni, selamat membaca...

5 Ogos 2008, Selasa.
KL Sentral – Merapoh:

Semua ahli ekspedisi Tahan 08.08.08 OGKL yang terdiri daripada Wak Jan, kak Nina, Amy, abg Azmin, abg Vijay, Pojie, Hadri, Wan, abg Am dan aku berkumpul di KL Sentral untuk menaiki keretapi menuju ke Merapoh. Kami berkumpul di restoran KFC, di situ juga ration dan peralatan diagihkan kepada semua peserta.

Jam 8.30 malam kami bergerak sambil memberikan lambaian ‘ala ratu cantik’ kepada rakan OGKL yang menghantar. Dalam tren keadaan agak riuh dengan kehadiran kami. Kalau dah geng ‘belanda’ tu mana-mana pun jadi. Kami berborak tanpa henti, kemudian bergerak ke kafe tren untuk membasahkan tekak manakala aku terus belasah nasi goreng telur mata yang tak begitu menaikkan nafsu makan, tapi terpaksa ditelan sebab dah terlalu lapar.
Aku dan Kak Nina cabut awal ke tempat duduk untuk melaksanakan sesi tidur, sejuk giler aircond, nak tidur pun seksa. Aku siap lengkap pakai glove lagi hehehe. 

Tidur punya tidur sedar-sedar baru sampai Gemas, semua pakat turun beli nasi lemak bungkus yang dikatakan sedap.
Pada mulanya aku malas nak beli tapi akhirnya terjebak juga membeli bihun goreng, ahaksss ... Lepas makan kami berjemaah sambung tidur semula. Sedar lagi sekali ingatkan dah sampai Merapoh tapi tidak, tren berhenti agak lama untuk memberi laluan kepada tren yang datang dari arah bertentangan. Kami sampai di stesyen Merapoh pada jam 9.00 pagi, lewat 3 jam dari waktu yang dijadualkan. Adatlah kalau naik tren ni ...

Hari pertama, 6 Ogos 2008, Rabu
Merapoh – Sg. Relau - Kuala Juram - Kem Kor:

Di Merapoh, kami menanti kedatangan Abg Roslan, orang yang bertanggungjawab membawa kami ke Pejabat Hutan Taman Negara Sg Relau untuk urusan pendaftaran dan declare barang serta peralatan yang dibawa. Sebelum bergerak ke Sg Relau, kami sepakat menerjah kedai makanan yang ada untuk bersarapan. 

Selesai mengisi perut, kami di bawa terus ke Pejabat Hutan Sg Relau. Perjalanan mengambil masa setengah jam sahaja. Sepanjang perjalanan pelbagai cerita yang Abg Roslan khabarkan kepada kami termasuklah gambar ikan kelah daripada kameranya. Teruja melihat ikan kelah, banyak giler !!

Setibanya di Pejabat Hutan, sesi punggah memunggah barang dan peralatan pun bermula. Semua harta yang ada perlu diisytiharkan. Bagi beginner macam aku ni memang menghadapi simptom blur ‘tahap dayak’, sampai plastik gula-gula yang cinonit pun diambil kira. Sabar je la, dah procedure macam tu jadi kenalah ikut.

Lebih kurang jam 11.30 pagi kami gerak menaiki powil (4WD) Abg Roslan menuju ke Kuala Juram iaitu starting point untuk ke Gunung Tahan. Sementara menunggu guide kami iaitu Din Kulop bersiap kami di bawa melawat kawasan larangan memancing ikan kelah yang begitu meriah. Kemudian tanpa melengahkan masa, kami memulakan senaman regangan yang diketuai oleh Din Kulop. 

Selesai senaman diikuti bacaan doa oleh Hadri, perjalanan kami dimulakan tepat pada jam 12.00 tengahari. Kalau mengikut itenerary yang diberikan oleh Wak Jan, ada dicatitkan yang kami perlu berjalan sejauh mungkin untuk hari pertama ni. Aduhaii krem kaki gue !! Perjalanan agak santai tapi terpaksa melintas beberapa sungai sehinggalah tiba di Kuala Luis kami berhenti seketika untuk membedal tapauan makanan tengahari. 

Sesi ‘dapur haram’ pun bermula. Selesai lunch kami meneruskan perjalanan yang boleh dikatakan jalan bahagia tapiii kakiku tak berapa nak bahagia, lutut dah mula lembut.

Akhirnya lebih kurang jam 6.30 petang kami tiba di Kem Kor, Alhamdulillah lepas seksa hari ini dan nasib baik sampai sebelum Maghrib. Say “NO” to Overtime (OT) please ahakss!! Sampai je semua sibuk memasang khemah dan menyediakan makan malam. Selesai mandi dan makan, sesi perkenalan pun bermula. Banyak jugak cerita serta pengalaman yang dikongsi bersama termasuklah cerita daripada guide kami Din Kulop. Disebabkan terlalu letih semua tidur awal.

Hari kedua, 7 Ogos 2008, Khamis.
Kem Kor – Permatang – Kubang – Belumut – Bonsai – Botak:

Sambil menikmati sarapan yang disediakan oleh chef Nina, Din Kulop memberikan sedikit taklimat mengenai perjalanan yang akan kami lalui pada hari ini. Hati aku dah berdebar-debar, perasaan seram sejuk dah menerjah, tak dapat nak membayangkan trek pacak yang bakal ditempuhi itu. Redha je laa ...

Lebih kurang jam 9.30 pagi kami memulakan langkah kaki. Layan punya layan tup tup, SURPRISE !!! Aduhai pacaknya! Aku mula memotivasikan diri, tiba trek pacak, pandang bawah untuk bagi mental tak bersepai, kalau tidak mau aku patah balik ke Merapoh huhuhuhu. 

Perjalanan kami diteruskan hingga ke Permatang, dari Permatang menuju ke Kubang dan di sini kami menikmati makanan tengahari yang telah ditapau. Kemudian meneruskan perjalanan ke Belumut. Hmm...memang kena la dengan namanya sebab begitu banyak sekali lumutnya, bukat setakat lumut, treknya pun berlopak serta ditakungi air, silap langkah memang terperusuk masuk ke dalam lah kaki tu. 

Jalan punya jalan sampai di Bonsai, boleh tahan cantik view kat sini, semua pokok lebih kurang tinggi kami je (paras lelaki dewasa la kot, takdela rendah macam aku ni hahahaa). Masa ni semua dah agak pewai tapi masih lagi boleh bergerak, guide tak kasik buat khemah kat sini sebab takde punca air jadi nak tak nak kenalah cargas gerak ke Botak. Maka nya malam ni kita OVERTIME !!! Cuaca dah semakin gelap, perjalanan masih jauh huhuhu sedihnyaaaaaaaa ...

Akhirnya jam 11 malam kami tiba di kem Botak. Boleh dikatakan semua kepewaian gara-gara dilanda hujan sejak petang tadi. Cuaca pun sejuk tahap ‘parkinson’, uihh ya ampun!! Walaupun parkinson namun semua tetap bekerjasama pacak khemah & flysheet. 

Masa nak keluarkan ration ada terjadinya insiden yang memalukan diri aku. Semua sibuk cari garam sambil menjerit ”Mana garam, sape pegang garam??” Aku yang baru nak keluarkan ration terus lenggang kangkung menuju ke arah mereka sambil berkata dengan penuh konfiden ”Nah gula ...” lalu disambut oleh Abg Am. Tiba-tiba Abg Am bersuara dan tak pepasal aku kena bahan hanya kerana ration yang ku sangka GULA itu adalah GARAM!! Aduh, dah le tulisan kat plastik tu punya besar tertulis GARAM, sah pewai melanda diriku ini, hehehehe sorry geng!! Lepas makan malam semua cabut tidur melalui mimpi-mimpi indah zZzZzZz ...

Hari ketiga, 08.08.08, Jumaat.
Botak – Puncak Tahan – Kem Gedong:

Seawal jam 9 pagi (awal ke? Ahakss...), aku bangun & menikmati keindahan alam ciptaanNya. ”Subhanallah” itulah ayat yang mampu aku katakan setelah melihat keindahan alam yang memang cantik dengan matahari mulai terbit, view gunung-ganang rasa tak puas memandang.

Seperti hari sebelumya, selepas sarapan, packing & melakukan sedikit senaman ringan, kami meneruskan perjalanan menuju ke puncak Tahan, azaaaaamm!! Kalau dilihat dari Botak, rasa macam dekat je puncak Tahan tu, alahh kira kacang je la ... sekali jalan, hambik habuan, dah rasa macam mau mangkat!!! Huhuhuhu ...

Akhirnya lebih kurang jam 12.15 tengahari kami mencatat sejarah bertarikh 08.08.08 berada di puncak gunung Tahan !! Alhamdulillah, tak sia-sia pengorbanan dan kepenatan yang dilalui. Tiba-tiba aku terasa sebak apabila menyaksikan dengan mata kepala sendiri keindahan alam ciptaanNya, memang cantik !! Dan aku akui, sebab itulah ramai yang sanggup bersusah payah memanjat Gunung Tahan kerana kita pasti akan merindui suasana yang aman damai ini. Lama jugak kami lepak dipuncak, maklumlah bukan selalu dapat ke sini. 

Kami minum ‘air kemenangan’ dan masing – masing tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenangan. Yang menariknya, kami memegang ‘nombor keramat’ 08.08.08 untuk dikongsi bersama rakan OGKL dan rakan-rakan lain nanti (saja bikin panas ... ). 

Seperkara yg menarik kat atas puncak dan di kem-kem yang kami lalui adalah toilet free, tiada bayaran diperlukan, anda cuma perlu cangkung & nikmatilah keindahan alam semulajadi. Tapi jangan lupa angkut air sebab tak semua tempat ada air. Di puncak juga terdapatnya tapak kaki seperti di Gunung Datuk, tapi di sini tapaknya lebih lebar. Siapa punya tapak lah yang tertinggal hehehehe ...

Perjalanan diteruskan menuju ke kem Gedong. Sepanjang perjalanan kami melalui kawasan yang dipenuhi dengan pokok periuk kera kecil berwarna putih kemerahan yang sangat cantik. Perjalanan kali ini sama seperti semalam iaitu melalui trek lapang dan terbuka. Kami berhenti untuk lunch di satu tempat terbuka sebelum sampai di Bukit Berapit. Ketika inilah Kak Nina membuat satu panggilan kepada Abg Deeno. Riuh rendah dibuatnya. 

Tiba di Bukit Berapit kami berehat lagi dan selepas mendapat info mengenai jarak perjalanan serta keizinan dari guide maka sekali lagi ‘dapur haram’ dibuka ( boleh gitu ?? Ehehehe ... ). Kami menikmati meggie & air teh berperisa mangga (hmmm syedaappp...) sambil menikmati keindahan alam dari Bukit Berapit, perghhh aman damai... Dari sini juga kita boleh lihat Kem Padang yang sudah ditumbuhi pokok- pokok hijau kerana telah lama tidak dilalui oleh pendaki. 

Puas bergambar kami beredar sehingga ke kawasan serpihan jet pejuang terhempas pada zaman Perang Dunia ke-2 (kalau tak salah laaa...). Kami mengambil peluang bergambar di sisi bangkai jet pejuang itu untuk kenangan peribadi dan juga tatapan rakan-rakan lain hehehehe .... Perjalanan ke kem Gedong tidak begitu jauh daripada bangkai jet pejuang ini.

Sampai di kem Gedong, pasang khemah serta flysheet dan terus memulakan aktiviti memasak yang diketuai oleh chef Nina. Kawan - kawan lelaki memulakan kerja mencari dan menceduk air hasil daripada lopak-lopak yang ada di situ bagi digunakan untuk memasak dan kegunaan lain. Selepas makan aku tidur awal sebab dilanda keletihan yang amat sambil mengenangkan apa lagi nak jadi esok huhuhuhu...


Hari keempat, 9 Ogos 2008, Sabtu.
Gedung – G.Reskit (GR) – G. Tangga 15 (GT15) – Pangkin – Kuala Teku (KT):

Seperti biasa pagi kami dimulakan dengan breakfast dan aktiviti rutin lain. Tapi kali ini suasana dirasakan begitu menggembirakan sekali dengan cuaca yang cantik, view yang indah. Kelihatan sana sini rakan- rakan membawa cawan atau botol untuk mendapatkan air daripada lopak bagi menggosok gigi. Seronok sangat melihat suasana sebegini.

Guide memaklumkan perjalanan hari ni agak jauh dan kami akan melalui banyak gunung sebelum tiba di Kem Teku untuk bermalam.  Memang perjalanan hari ini sangat mencabar, treknya berbatu-batu dan berakar, kena panjat dicelahan batu sebelum tiba di Gunung Tangga 15 (GT15). 

Tangga pertama yang dilalui bikin jiwaku bergolak seperti dilanda ribut taufan. Perasaan gayat menerjah, tangga pertama yang wajib dilalui ini terlalu tinggi dirasakan, ku pandang ke bawah, aduhh sayup je. Masa turun tu ketaq jugak la lutut ni, perasaan takyah nak cerita, masa ni lah ada rasa nak terkucil, memerut, kira semua rasa adalah tapi ku tahan jebat !!! Bila dah berjaya sampai bawah aku tarik nafas lega. 

Selepas beberapa minit trekking, aku terpaksa melalui tangga–tangga yang lain lagi dan lagi sehingga menyebabkan aku lupa untuk membuat kiraan bilangan tangga serta jumlah anak tangga yang dilalui gara-gara ‘ketaq kulop’ (ayat sebenar ‘ketaq lutut’ tapi gara-gara seram punya pasal sampai tersasul daa ...).

Daripada GT15 ke Gunung Reskit (GR), dari GR ke Gunung Pangkin (GP) dan akhirnya ke Kem Teku (KT). Aduhh jauh lagi... Perjalanan hari ni agak membosankan sebab terlalu banyak layan trek turun, tambahan pulak kaki dah mula menjerit mintak tolong. 

Aku tanya pada Din Kulop ketika berehat di kem Pangkin Bawah, ”Jauh lagi ke?”. Jawapan dia yang bisa membuatkan aku terkelu dan tersengih ialah ”Kalau tak angkat beg memang tak gerak la kita” hehehehe, terkena aku !! Jadi tanpa banyak songeh, selesai je lunch kami cargaaaaaaass!! 

Oh ya ada kisah lucu yang nak dikongsi bersama. Din Kulop guide kami yang best itu telah terkantoi dengan Wak Jan ketika dia sibuk membersihkan telur yang pecah di dalam begnya. Tanpa di sangka-sangka, Kak Nina memerhatikan tingkah laku Wak Jan dan tiba-tiba Kak Nina tergelak besar apabila Wak Jan mengangkat bekas gas biru sambil menunjukkan permukaan sebelah bawahnya yang tertulis dengan perkataan ”DIN KULOP PUNYER”. Aduhh lawak sungguh !!! Patutla semasa di GT15 Din Kulop senyap je bila aku tersasul sebut ayat tu, rupanyer gelaran dia daaa ... aduh mak lawak sungguh!! Dan akhirnyer Din Kulop telah menjadi ‘bahan utama’ kami pada hari itu dan seterusnya.

Akhirnya sampai juga kami di Kem Teku (KT) pada jam 8.00 malam, dengan sedikit OT.  Seperti biasa naikkan flysheet, pasang khemah dan sediakan makan malam. Lepas tu apalagi aku pun terjun sungai la, fuhhhh bestnyer dapat mandi, almaklumlah dalam hutan ni bukan selalu dapat mandi hehehehe... 

Malam tu semasa makan malam kami turut menikmati ‘air sarsi original’ (kami kikis sikit kulit pokok sarsi masa turun tadi). Agak sedap cuma ada rasa herba sikit. Aktiviti biasa, lepas makan, borak ala kadar dan kemudian aku terus masuk tidur. Tengah malam tu aku terjaga ketika hujan turun dengan lebatnya. Dalam hati berdoa agar hujan kembali reda sebab sekiranya hujan turun dengan lebat dan air naik kemungkinan besar perjalanan tidak dapat diteruskan kerana perjalanan esok akan melintas dan melalui sungai.

Hari kelima, 10 Ogos 2008, Ahad.
Kuala Teku (KT) – Kuala Puteh (KP) – G. Rajah (GR) – Kem Tengah (KT):

Alhamdulillah, hujan malam tadi hanya sekejap dan perjalanan kami boleh diteruskan tanpa apa–apa halangan. Seperti biasa pagi kami dimulakan dengan sarapan dan aktiviti rutin yang lain.  Kami juga telah dimaklumkan oleh guide bahawa perjalanan kami hari ini akan melalui 8 batang sungai.

Perjalanan agak membosankan, kena redah 8 batang sungai, sampai naik kembang kuku kakiku ni, kemudian melalui batu-batuan di tepi sungai yang teramat lah licin, silap sikit memang terseliuh la jawapnya. Amy banyak membantu aku ketika melintas sungai, nak tak nak aku terpaksa pegang beg dia, kalau tidak confirm basah kuyup. Disebabkan cuaca hujan malam tadi, ada beberapa sungai yang mempunyai kedalaman tahap paras pinggang dan arus deras. Nasib baik ada tali disediakan untuk berpaut, takdelah rasa terlalu gayat. 

Tiba di Kem Putih (KP), macam biasa rehat sekejap dan sesi ‘dapur haram’ pun bermula. Patut la tempat ni diberi nama Puteh, airnya sangat jernih, putih bersih. Perjalanan diteruskan menuju ke Gunung Rajah(GR).

Lebih kurang hampir jam 7.00 malam kami tiba di puncak gunung Rajah (GR), sementara berehat sambil menghormati kedatangan waktu Maghrib, Amy dan Wak Jan sepantas yang mungkin membuka ‘dapur haram’. Ketika ini terjadinya insiden yang pada aku agak kelakar lah. Amy dan Wakjan ingin menguji dan mencabar sejauh manakah masa terpantas untuk Hadri memanaskan air dan seterusnya menyediakan air minuman. 

Semasa Hadri nak menyalakan api, entah macam mana tetiba api dapur menyambar terus terkena ‘jambul cari makan’ si Hadri, hmmm apa lagi terbakar la jambul kawan tu. Takde siapa pun yang menunjukkan reaksi simpati, kami semua bantai gelak berjemaah tak ingat dunia sampai sakit perutlah Selesai menghabiskan minuman lebih kurang dalam jam 7.30 malam, kami pun meneruskan perjalanan ke Kem Tengah.

Akhirnya lebih kurang jam 8.15 malam kami tiba di Kem Tengah untuk bermalam. Di campsite, seperti biasa kami naikkan flysheet, pasang khemah dan menyediakan makan malam. Malam tu kami berborak macam trip dah selesai je, semuanya bergembira kongsi pengalaman. Cuaca malam tu agak panas, ramai yang melepak dan tidur di bawah flysheet kecuali aku dan Kak Nina masuk ke kepompong (khemah), berpeluh-peluh kami dalam khemah, macam buat sauna pulak.

Hari keenam, 11 Ogos 2008, Isnin.
Kem Tengah (KT) – Melantai – Kuala Tahan

Hari ni merupakan hari terakhir bagi kami semua mengakhiri ekspedisi yang boleh dikatakan seronok tapi agak memeritkan, mental beb !! Rutin di waktu pagi seperti biasa, breakfast dan packing barang. Kemudian perjalanan ke kem Melantai pun bermula. Sepanjang perjalanan, kami melalui 27 bukit dengan keadaan trek yang turun dan naik, sampai naik krem kakiku ini. Akhirnya kami tiba di Melantai dan berehat untuk menikmati makanan tengahari. Ada yang makan tepi sungai dan terjun mandi. Pada mulanya 2-3 orang je yang mandi, sekali lepas kena racun, habis semua gedebushhh!! Tak tahan dugaan tengok kawan-kawan bergembira mandi hehehe ...

Selesai mandi, perjalanan diteruskan menuju ke Kuala Tahan dengan trek sejauh 12km. Trek permulaan banyak turun naik dan kemudian menemui jalan bahagia yang tiada berkesudahan.. Terasa jaaaaaaaaaaaauhhh sangat!! Paling menggembirakan hati bila tengok signboard ”Kuala Tahan 2km”, yeeehaaaa bestnyerrr !!! 

Masa tu walaupun kaki dah lenguh tapi kerana ingat dah nak sampai, masing-masing berdesup, laluan berbukit bukau pun diredah dengan penuh senyuman. Jalan punyer jalan punyer jalan, tak sampai-sampai lagi, rasa macam dah berjalan lebih 5km, aduhh Tipah Tertipu !!! Nak tak nak perjalanan harus diteruskan.

Lebih kurang jam 8.00 malam kami tiba di Kuala Tahan. Alhamdulillah, azab dah selesai, esok tak ada lagi benda yang perlu difikirkan. Kami terus pasang khemah dan membersihkan diri. Sepantas yang mungkin kami cargas berjemaah untuk menikmati makan malam di restoran terapung yang terletak diseberang sungai. 

Sebelum bergerak, kak Nina ada mengingatkan pada kami supaya simpan beg di dalam khemah bagi mengelakkan barang-barang dari disondol oleh khinzir. Masa tu aku dah keletihan memang dah tak terfikir nak kemas beg, dalam kepala duk terbayang makanan yang sedap-sedap dan disebabkan itu aku tak perasan pesanan Kak Nina tu.

Makan malam kami hari itu ditaja oleh abg Adzmin sempena meraikan tamatnya himpunan pendakian gunung –gunung G7nya. Selesai makan kami singgah sekejap di kedai souvenir berhampiran Masing-masing membeli stok makanan dan minuman untuk di’belasah’ pada malam itu. 

Malam tu aku seronok sangat. Perut dah kenyang, esok dah tak perlu redah jalan yang meletihkan, dapat merasa naik bot walaupun sekejap tapi siapa sangka malang tidak berbau menanti aku apabila tiba di campsite. Kelihatan barang-barang aku bersepah dan beg aku?? HILANG !!! 

Kelam kabut aku dibuatnyer. Tak sangka bukan aku seorang aje yang kena, Wak Jan pun sama tapi beg dia tak hilang cuma isi kandungannya bertaburan disana sini. ‘Skuad pengesan beg’ ditubuhkan dengan segera dengan diketuai oleh Abg Am. Cari punyer cari ... jumpa dalam semak berhampiran sungai. Habis koyak rabak zip beg aku. Masa tu keluarlah macam-macam ayat yang tak sepatutnyer dituturkan sampai semua yang ada terkejut mendengarnyer, sebab  marah punyer pasal. 

‘Skuad menyamak beg’ ditubuhkan segera, kawan – kawan pun terus turun ke sungai berdekatan bagi mengadakan sesi samak dengan diketuai oleh Hadri. Untuk info, akibat dari kejadian inilah beg aku digelar ‘Lafuma B’ manakala beg Wak Jan ‘Deuter K’. Nasib, nasib...

Selesai sesi samak menyamak, kami pun lepak berborak sambil menikmati kudapan (french fries & keropok) serta air kotak/tin yang di’tapau’ tadi. Ada la seekor khinzir yang begitu rajin mengusha kami dengan harapan dapat diberi makanan barang dua–tiga ketul. Sorry naik loriiii, mampus tak layan. 

Pada masa tu juga ada la berlaku satu kejadian yang tidak disangka-sangka. Ada la seorang hamba Allah ni (nama dirahsiakan atas sebab keselamatan hehehehe ...) sampai tunggang terbalik ‘tergolek dog’ berlari nak memanjat tunggul gara-gara khinzir datang mengintai. Giler lawak beb!! Ehehehehe ... 

Selesai sesi borak, kami terus berkemas untuk tidur. Semua beg dan peralatan diletak atas rak tong sampah atau disangkut atas pokok untuk mengelakkan dari disondol.

Hari ketujuh, 12 Ogos 2008, Selasa.
Kuala Tahan – Jerantut – Pekeliling, Kuala Lumpur:

Pagi tu kami bangun seawal jam 7 pagi untuk mandi dan bersiap-siap. Selesai mengemaskan barang, kami menuju ke Pejabat Perhilitan Taman Negara untuk urusan yang berkaitan. Selesai urusan tersebut yang dilakukan oleh Wak Jan dan kak Nina, kami menuju ke kafe yang terletak bersebelahan pejabat untuk menikmati sarapan pagi. Selesai bersarapan, kami bergerak ke arah jeti untuk ke seberang sungai dengan menaiki bot dan selepas itu kami berjalan kaki sedikit untuk ke perhentian bas. Bas yang akan kami naiki bagi menuju ke Jerantut tiba hampir jam 10.00 pagi. Kelihatan beberapa pemuda dari suku kaum orang Asli turut menaiki bas itu. Pada mulanya kami rancak berbual di dalam bas tapi selepas 10 minit keadaan dalam bas kembali tenang aman damai gara-gara semua pendaki telah dibuai mimpi.

Tiba di Jerantut lebih kurang jam 12 tengahari. Masing – masing melilau mencari tempat penjualan tiket bas untuk pulang ke Kuala Lumpur. Tidak kurang juga ada yang mengambil peluang untuk ‘pusing–pusing’ pekan Jerantut dengan berjalan kaki. Tiket pulang berjaya dibeli dengan waktu bas berlepas dijadualkan pada jam 2.30 petang. Sementara menanti ketibaan bas, kami berjemaah ke restoran yang berdekatan untuk makan tengahari. Beg – beg kami ditinggalkan di tempat agen penjualan tiket untuk memudahkan perjalanan. Pada mulanya kami bercadang nak makan KFC tapi hasrat terbantut gara-gara tulisan besar tertera ”UNDER CONSTRUCTION” huhuhuhu melepasss ...

Jam 2.30 petang bas kami bergerak meninggalkan Jerantut. Sepanjang perjalanan kami melelapkan mata. Sedar-sedar dah sampai di hentian Pekeliling, Kuala Lumpur jam 5.30 petang. Yang kelakarnya, kami termanggu-manggu dan masing – masing dilanda blur ketika turun di Pekeliling. Macam tak percaya inilah hutan batu yang kami huni selama ini. Bising, pencemaran serta hiruk piruk adalah merupakan lumrah kehidupan di Kuala Lumpur. Ketenangan jiwa selepas seminggu berada
dihutan rimba telah rosak dengan sekelip mata huhuhu ...

Beberapa orang antara kami ada yang balik dan kebanyakkannya menuju ke KL Sentral untuk menikmati ayam goreng KFC. Mahu balas dendam sebab tadi tak dapat nak makan semasa di Jerantut.. Ramai juga rakan OGKL yang datang ke KL Sentral menyambut kepulangan kami pada malam itu. Terima kasih semua. Akhirnya jam 10 malam kami bersurai dengan pelbagai kenangan yang terpahat dan tersemat kukuh di jiwa setiap peserta.

Terima kasih pada semua rakan OGKL yang memberikan semangat untuk kami
semua.

Disediakan oleh:
Rabi’atun Ismail
Peserta program Tahan 08.08.08 OGKL


0 comments:

Post a Comment