logo
Gambar-gambar Trip 2018

Logo OGKL

Logo OGKL

Monday 23 September 2019

Laporan Minami Alps

Pada tarikh 8-16 September 2019, kelab OGKL telah melakukan satu ekspedisi di negara Jepun iaitu Gunung Fuji dan beberapa gunung di banjaran Minami Alps. Seramai 6 orang peserta dan seorang KP telah mengharungi ekspedisi ini dengan selamat.
Walaupun pada mulanya ada sedikit kerisauan, ketibaan peserta diuji dengan Typhoon Faxai dan penerbangan kelewatan selama beberapa jam dari KLIA2. Semua bas dan beberapa jaluran kereta api tutup dan lewat beroperasi, dan jadual untuk naik bas dari Haneda Airport terus ke Kawaguchiko tidak kesampaian. KP terpaksa mencari jalan alternatif dan sampai ke destinasi yang masih dalam jadual, peserta berehat di Kawaguchiko sebelum menaiki Gunung Fuji.
Perjalanan menuju ke puncak melalui jaluran Yoshida bermula dari Subaru 5th Station. Pendakian bermula pada pukul 9:30pm dan sedikit berangin. Sehingga di separuh perjalanan, dikejutkan dengan batu besar yang jatuh dari puncak terkena sebahagian dari pendaki. Namun tiada kecederaan yang besar terkena pada peserta, hanya sedikit kecederaan tempias batu-batu kecil yang terkena pada Abang Othman. Semua peserta diarahkan untuk berehat di hut yang terdapat di setiap stesen sehingga tiba waktu siang dan selamat.
Setelah waktu siang dan matahari telah terbit, kami berjalan perlahan menuju ke puncak paling tinggi di Gunung Fuji iaitu puncak Kengamine (3776m), dan orang terakhir sampai di puncak pada pukul 8:30am. Cuaca sangat baik pada hari pendakian dan perjalanan pusingan kawah Gunung Fuji disajikan dengan pemandagan damai, kelihatan juga beberapa tasik utama yang boleh dilihat dari puncak. Lima tasik yang dapat dilihat ialah Tasik Kawaguchiko, Tasik Yamanakako, Tasik Saiko, Tasik Shojiko dan Tasik Motosuko. Perjalanan menurun disajikan kabus tipis dan masih melalui jaluran yang sama iaitu Yoshida. Selain Yoshida, terdapat jaluran lain seperti Subashiri, Gotemba dan Fujinomiya. Jaluran Gotemba adalah jaluran yang paling jauh jaraknya ke puncak kerana pada awalnya hanya bermula pada ketinggian 1400m. Manakala, jaluran Fujinomiya pulak jaraknya ke puncak paling pendek kerana pada awal pendakian berada pada ketinggian 2400m. Jaluran Gotemba dan Fujinomiya boleh diakses melalui stesen Gotemba, dan menaiki bas yang lain ke tempat permulaan pendakian.
Perjalanan pulang ke Kawaguchiko untuk berehat setelah semalaman bertarung ke puncak, menuju ke kediaman Samurise Kura. Penginapan yang serba lengkap dengan mengekalkan konsep tradisional Jepun. Hampir semua struktur rumah dibina menggunakan kayu dan pintu gelongsor pada setiap bilik. Berlantaikan tikar tradisional yang diperbuat daripada jerami padi atau dikenali sebagai Tatami amat selesa untuk baring atau duduk dan tanpa rasa sejuk. Futon disediakan digantikan sebagai tilam untuk tidur, sangat selesa lagi-lagi penat seharian mendaki.
Keesokan harinya adalah hari santai berjalan di sekitar Kawaguchiko. KP merancang untuk berjalan sekitar menaiki bas dengan pembelian tiket “2 Days Pass” yang berharga 1500yen. Ia dikira berbaloi jika pergi ke destinasi yang jauh seperti Jaluran Biru iaitu sekitar Tasik Motosuko dan Jaluran Hijau iaitu sekitar Tasik Saiko dan Tasik Shojiko, dan destinasi kami pertama ialah menuju ke Tasik Motosuko. Dapat dilihat dari sini dalam 1000 yen pemandangan Gunung Fuji tetapi kena berjalan atau menaiki basikal sejauh 5km. Dalam perjalanan ke tasik ini akan melalui jugak Tasik Saiko dan Tasik Shojiko, yang mana rata-rata tasik ini sesuai dijadikan tempat perkhemahan jika berpeluang menaiki kereta sendiri. Destinasi seterusnya adalah hutan Aokigahara, yang sebetulnya hutan ini adalah luas dan diantaranya terselit tempat peranginan seperti Bat Cave, Ice Cave dan Lave Cave. Hutannya berlumut hijau cantik mata memandang walaupun bukan pada ketinggian yang tinggi. Destinasi terakhir adalah perkampungan tradisional Jepun iaitu Iyashi no Sato Nemba. Kampung yang dikelilingi gunung dan berada di lembah dan disajikan pemandangan Gunung Fuji jika siapa yang bertuah melihatnya. Kedai disini menyediakan makanan halal seperti udon, soba, ramen dan juga daging. Disini juga disediakan surau kecil untuk solat. Setelah seharian berjalan, kami pulang ke Kawaguchiko dan menaiki bas ke Kofu untuk ekspedisi yang seterunya.
Permulaan di Hirogawara dan berakhir di Narada, dalam 4 hari pendakian KP merancang untuk pergi sejauh dan semaksima yang mungkin dan bergantung juga dengan persetujuan dan prestasi peserta. Bermula dari hari pertama pendakian di Minami Alps, sedikit terik pada awalnya dan kabus pada petangnya. Bermula dari hari kedua, Fuji sentiasa kelihatan sepanjang pendakian dan cuaca panas-panas berangin. Pendakian bermula pada awal pagi dan bermalam di Kata no Koya pada malam pertama, Notori-Goya pada malam kedua, dan malam terakhir di Daimonzawa Goya. Alhamdulillah, dengan izin-Nya 9 buah gunung telah disempurnakan pada ekspedisi kali ini oleh setiap peserta OGKL di Minami Alps iaitu:-
1. Gunung Kitadake (3193m) Kedua Tertinggi di Jepun
2. Gunung Nakshirane (3055m)
3. Gunung Ainodake (3189m) Keempat Tertinggi di Jepun
4. Gunung Mibudake (2999m)
5. Gunung Nishi-Notori (3051m)
6. Gunung Notori (3026m)
7. Gunung Hirogochidake (2895m)
8. Gunung Okomoridake (2767m)
9. Gunung Shirogochidake (2813m)
Hari terakhir di perjalanan keluar ke Narada peserta berpeluang untuk mandi sungai yang mengalir jernih untuk memori terakhir di jaluran Minami. Tiba di pekan Narada yang terkenal dengan onsen (kolam air panas) pada pukul 1:30pm. Pekan yang tenang dengan pemandangan empangan biru berkaca sambil ditiup angin lembut, merehatkan peserta sebentar sebelum pulang ke Kofu menaiki bas. Tibanya di Kofu, rehat disini semalaman sebelum paginya pergi ke Tokyo dan malamnya pulang ke tanah air.
Sekalung tahniah kepada semua peserta yang menyertai ekspedisi kali ini, di atas kerjasama yang diberikan. Atas faktor ini yang membuatkan ekspedisi kali ini berjaya disempurnakan. Terima kasih.
3. Diong
4. Fong
5. Ona
6. Ummu
Kem
Ketua Program
Ekspedisi Fuji dan Minami Alps OGKL 2019,
Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur
Khazanah Alam Warisan Rekreasi












0 comments:

Post a Comment