logo
Gambar-gambar Trip 2018

Logo OGKL

Logo OGKL

Monday, 22 July 2013

L07: Ekspedisi G. Tangga versi Abg Zaini




CATATAN PERJALANAN:

EKSPEDISI GUNUNG TANGGA, CAMERON HIGHLAND

16hb Feb ~ 19hb Feb 2007

Baru-baru ini saya berpeluang melakukan ekspedisi menawan puncak Gunung Tangga di Cameron Highland bersama Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur atau lebih dikenali dengan OGKL. Kali ini saya membawa bersama anak saya yang berumur 15 tahun bagi pendedahan awal dalam aktiviti lasak ini.

Eskpedisi bermula di tempat letak kereta Bangunan Daya Bumi, Kuala Lumpur pada hari Jumaat 16hb Feb 2007. Kami dikehendaki berkumpul di hadapan Restoran Teratai, Daya Bumi sekitar jam 10 malam dan dijadualkan bergerak ke Cameron Highland jam 11.00 malam. Dan kami di jangka tiba di Kg raja, Cameron Highland jam 3.00 pagi.

Oleh kerana keadaan jalan raya yang sesak sempena cuti Tahun Baru Cina, majority peserta tidak dapat tiba di Restoran Teratai seperti yang di jadualkan kerana tersekat di dalam kesesakkan lalu lintas.

Jam 12.00 malam barulah semua peserta dapat berkumpul termasuklah seorang peserta, sdr Taha, yang datang dari Kelantan. Taklimat ringkas mengenai perjalanan diberikan oleh sdr Deeno selaku president kelab OGKL yang juga bertindak sebagai ketua ekspedisi pada kali ini.

Ekspedisi kali ini akan disertai oleh 17 orang peserta lelaki dan dibantu oleh 8 orang peserta perempuan. Selepas bekalan makanan diagihkan oleh AJK, kami bertolak ke Cameron Highland menaiki 7 buah kereta. Sorang peserta telah memberitahu bahawa beliau akan menunggu konvoi kami di R&R rawang.

Disebabkan keadaan lebuh raya utara selatan agak sesak sempena cuti panjang, kami terpaksa berpecah dan berjanji akan berkumpul di Tol Simpang Pulai, Perak.

Kami tiba di Tol Simpang Pulai sekitar jam 5.00 pagi. Di sini kami terpaksa menunggu semua kenderaan konvoi sampai sebelum meneruskan perjalanan ke Kg Raja, Cameron Highland.

Jam 5.30 pagi, setelah semua kenderaan konvoi tiba, kami bergerak ke Kg Raja yang terletak lebih kurang 1 jam perjalanan. Kami tiba di Masjid Kg Raja jam 6.30pagi. Tanpa membuang masa, saya menunaikan solat subuh di situ.

Sebahagian dari AJK mengambil kesempatan ini untuk menyediakan sarapan pagi dan makan tengahari (pack lunch). Selesai solat subuh, peserta di arahkan untuk menukar ke pakaian trekking kerana kami difahamkan akan berhenti sekejap sahaja di Kg Pos Brooke.

Kami disajikan dengan sandwich sardine sebagai sarapan pagi dan nasi goreng untuk makan tengahari. Sedikit kudapan telah diberikan sebelum ini untuk makanan “on trek”.

Kami bergerak ke kg Pos Brooke sekitar jam 9.30 pagi dari masjid Kg Raja. Setelah meletak kereta di kawasan sekolah kg pos brooke. Kami bergerak ke starting point iaitu rumah pemandu arah (guide),Pak Hassan.

Guide kami kali ini ialah Pak Hassan yang pada anggaran saya berumur sekitar pertengahan 50an. Pak Hassan dibantu oleh dua orang guide lagi iaitu Asoi dan Alam yang hanya berumur 15 tahun.

Setelah melakukan sedikit regangan kami memulakan penjalanan ke puncak Gunung Tangga sekitar jam 10.30 pagi. Gunung Tangga mempunyai ketinggian 2104 meter dari aras laut.

Dari kampung pak hassan, kami terpaksa menyeberangi sebatang sungai yang pada ketika itu agak deras arusnya oleh kerena hujan di hulu. Tetapi berkat semangat setia kawan, kami dapat menyeberanginya dengan selamat.

Selepas sungai kami terpaksa menempuh trak balak yang agak landai kecerunannya tetapi jauh. Perjalanan menjadi semakin sukar.

Hampir 1 jam berjalan trek bertukar menjadi semakin kecil tetapi masih mendatar dengan sedikit menegak. Sepanjang trek ada beberapa anak sungai yang terpaksa kami lintasi. Itu tidaklah menjadi masalah kepada kami.

Setelah berjalan hampir 3 jam kami tiba di “Last Water Point (LWP)”. Ianya hanyalah sebatang sungai kecil di tepi trek. Di sini kami mengambil kesempatan untuk makan tengahari dan solat zohor/asar secara jamak.

Jam 2.30 petang, kumpulan pertama sudah pun bergerak meneruskan perjalanan ke puncak. Terdapat beberapa peserta yang masih lagi belum selesai menunaikan solat zohor.

Sdr fahmi telah di tugaskan sebagai “Lead Trekker” bersama-sama guide Asoi. Manakala Deeno telah mengambil posisi selaku “Sweeper” dibantu oleh guide Pak Hassan.

Setelah 30 minit berjalan, trek tiba-tiba bertukar menjadi semakin menegak. Anggaran kasar kecuramannya sekitar 60 ke 70 darjah. Perjalanan menjadi amat sukar. Kelajuan kami terpaksa di kurangkan.

Oleh kerana agak penat sdr fahmi terpaksa memperlahanakan pergerakkan beliau dan melepaskan beberapa peserta lain untuk mendahului bersama Asoi.

Disebabkan agak kepenatan saya mengambil keputusan untuk berjalan bersama-sama sdr fahmi kerana kelajuan kami agak sama. Adalah penting untuk mengekalkan “phase” semasa mendaki supaya kita boleh berjalan dengan selesa tanpa banyak berhenti.

Hampir 1 jam kami terpaksa meredah trek yang menegak tadi barulah trek bertukar menjadi agak landai tetapi masih mendaki. Kami tingkatkan sedikit kelajuan berjalan berbanding dengan tadi kerana khuatir kami tidak dapat sampai ke puncak sebelum matahari terbenam.

Jam sudahpun menunjukkan pukul 4 petang, bayangan puncak masih belum kelihatan. Trek sekali lagi bertukar menjadi tegak seperti sebelum tadi. Perjalanan sekali lagi menjadi perlahan.

Jam 5.45 petang, hujan telah turun dengan lebatnya. Oleh kerana kesejukkan dan agak sukar mendaki, saya dan fahmi mengambil keputusan untuk berteduh dahulu sebelum meneruskan pendakian. Kami terpaksa membuat perlindungan dengan fly-sheet yang telah dibawa oleh fahmi kerana tidak ada pokok besar untuk berteduh di sekitarnya.

Sementara menunggu hujan reda, kami sempat melelapkan mata dalan keadaan duduk di bawah fly-sheet. Mungkin kerana kami kurang tidur semalam.

45 minit berlalu, kami dikejutkan dengan suara sdr Azmin yang tiba-tiba menyelak flysheet kami. Rupa-rupanya Azmin, Deeno, Hafiz dan Fadzil sudah pun sampai bersama Pak Hassan. Mereka merupakan orang terakhir.

Deeno mengarahkan kami meneruskan perjalanan kerana menurut Pak Hassan jarak dari situ ke kem site hanyalah 30 minit. Saya dan fahmi bergegas bangkit dan menyambung pendakian didalam hujan renyai-renyai. Pendakian menjadi semakin sukar kerana keadaan trek menjadi semakin licin disebabkan hujan.

Jam sudah pun menunjukkan pukul 6.45 petang. Saya telah pun mengeluarkan lampu suluh bagi membantu pendakian kerana hari semakin gelap.Pendakian diteruskan. Target kami adalah kem site yang terletak dihujung trek “canak” itu. Kami tiba di kem site sekitar jam 9 mlm. Setiba di kem site, kami dapati hanya sdr Rashid sahaja yang menunggu kami kerana kesemua kumpulan hadapan sudah pun bergerak ke puncak.

Oleh kerana sdr fadzil sudah tidak mampu berjalan, Deeno sebagai ketua ekspedisi mengarahkan kami untuk bermalam di situ sahaja. Akan tetapi setelah mengeluarkan barangan dari beg kami, hampir semua peralatan-peralatan memasak seperti dapur, periuk, kuali dan lantern berada dengan kami. Ini bermakna kumpulan hadapan tidak akan dapat memasak makan malam kerana ketiadaan peralatan.

Setelah berbincang, Deeno, Hafiz dan Azmin mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan ke puncak memandangkan kumpulan hadapan akan kebuluran jika peralatan memasak tidak sampai kepada mereka pada malam itu.

Fahmi dan saya ditugaskan untuk menunggu Fadzil dan Rashid di kem site dan akan meneruskan pendakian ke puncak pada besok pagi. Kami ditemani oleh Pak Hassan pada malam itu.

Kami mengumpulkan makanan yang ada untuk makan malam. Maggi, bubur nasi, soup cambel dan roti pita merupakan menu kami pada malam itu. Deeno bersama-sama Azmin dan Hafis meneruskan pendakian. Dua khemah telah didirikan di atas trek.

Setelah mengalas perut secara ala kadar, kami semua masuk tidur kerana kami terpaksa memulakan perjalanan ke puncak seawal jam 6 pagi. Pak Hassan telah membuat unggun api untuk tujuan keselamatan dan memanaskan badan. Beliau hanya tidur di tepi unggun api beralaskan ground sheet dan di tutup kan dengan fly sheet sahaja.

Jam 6.00 pagi kami bangkit dan bersiap untuk ke puncak. Selepas membuat kopi panas sebagai alas perut , kami berempat meneruskan pendakian ditemani oleh Pak Hassan. Sekitar jam 7.30 pagi kami memulakan pendakian.

Perjalanan agak laju kerana kami telah meninggalkan beg di kem site dan hanya membawa botol air sahaja.Setelah hampir 2 jam mendaki, kami akhirnya telah sampai di puncak Gunung Tangga jam 9.30 pagi.

Saya difahamkan kumpulan pertama sampai di puncak semalam sekitar jam 10.30 malam dan Syamil tiba di puncak sekitar 11.30 mlm.

Oleh kerana pada masa itu peralatan memasak masih belum sampai, beliau telah memasak maggi yang telah saya masukkan kedalam beg beliau. Alhamdulillah segala tunjuk ajar saya selama ini beliau dapat mempraktikkan.

Walaupun baru berusia 15 tahun, pada satu ketika beliau mampu mendaki berseorangan. Dan berkat latihan yang diberikan di Gunung Nuang, beliau dapat cekalkan hati untuk meneruskan perjalanan sehingga ke puncak. Di harap ekspedisi ini menjadi sebagai titik permulaan bagi beliau untuk meneruskan aktiviti mendaki gunung.

Saya juga difahamkan bahwa sdr Deeno tiba di puncak sekitar 2 pagi bersama peralatan memasak. Dan mereka hanya dapat menjamah makan malam sekitar jam 4 pagi. Sesuatu yang kita perlu ucapkan terima kasih kepada Deeno kerana bersusah payah demi kepentingan semua peserta.

Sekitar jam 11 pagi, setelah makan sedikit sarapan yang disediakan dan mengambil gambar, saya, Syamil dan Fahmi, Rashid dan Fadzil memulakan perjalanan turun kerana kami perlu sampai awal ke kem site semalam untuk kemaskan barangan kami.

Peserta yang lain masih lagi belum siap berkemas. Oleh kerana Syamil agak kepenatan saya mengambil keputusan untuk membawa beg beliau sehingga lah ke kem site.

Di tengah perjalanan beberapa peserta yang agak laju telah memotong kami termasuklah sdr Deeno. Kami tiba di kem site sekitar jam 12.30 tengahari. Saya terus mengemas khemah dan barang-barang lain. Sementara menunggu peserta lain yang masih belum sampai, saya mengambil keputusan untuk makan pack lunch yang telah disediakan di puncak tadi.

Jam 1.30 tghahri, saya, Syamil dan Fahmi bersama abg Soi bergerak turun. Kami berada dibahagian hadapan kerana kami berjalan agak perlahan. Syamil mengambil keputusan untuk bersama saya kerana beliau agak kepenatan dan ingin memperlahankan kelajuannya.

Perjalanan turun agak mencabar kerana kecuramannya. Perjalanan menjadi perlahan kerana keadaan trek yang licin disebabkan hujan semalam. Beberapa kali saya tergelincir. Nasib baik saya membawa walking stick yang banyak membantu mengimbangi berat badan saya semasa turun. Walking stick jugak dapat mengurangkan tekanan kebahagian lutut.

Semasa turun kami agak jarang berhenti “take five” seperti mendaki kerana perjalanan turun tidaklah memenatkan.

Kami tiba di last water point sekitar jam 4 petang. Pada mulanya saya ingin berehat agak lama disini dan menunaikan solat zohor / asar tetapi apabila abg Soi memberitahu bahawa perjalanan hanya tinggal lebih kurang 1 jam sahaja lagi kami meneruskan perjalanan ke Kg Pak Hassan.

Setelah hampir 1 jam berjalan kami tiba di trek balak. Oleh kerana kaki sudah agak sakit saya dan syamil mengambil keputusan untuk menukar ke selipar. Kami memperlahankan perjalanan kerana kami sudah tahu Kg Pak Hassan hanyalah 20 minit dari situ.

Kami tiba di sungai yang kami lintas di hari pertama jam 5.30 petang. Di situ beberapa peserta mengambil keputusan untuk membersih diri dan mandi. Kami turut mandi dan menunaikan solat ditepi sungai tadi.

Pukul 6.30 mlam saya dan Syamil tiba di Kg Pak Hassan. Saya meninggalkan beg di situ untuk pergi mengambil kereta yang kami tinggalkan di sekolah Pos Brooke. Saya tiba di Sekolah kampong Pos Brooke sekitar jam 7.30 malam.

Menurut Deeno, kami sepatutnya akan bermalam di kem Sungai Pauh di kg Raja tetapi oleh kerana peserta terakhir masih belum sampai Deeno mengambil keputusan untuk bermalam di Pos Brooke sahaja. Lagipun kemudahan di situ boleh dikatakan cukup memuaskan.

Sdr Rashid yang mengalami kejang otot yang agak teruk tiba di sekolah sekitar jam 8.30 malam bersama Abg Murdafi. Pihak AJK telah menyewa sebuah rumah untuk kami bermalam. Lengkap dengan kemudahan air dan bekalan elektrik menggunakan generator. Jadi tak payahlah kami mendirikan flysheet atau khemah.

Kamidihidangkan dengan makan malam yang agak lazat. Menu makan malam kami pada malam itu ialah rendang daging, ikan kering goreng, sayur air dan popedum. Setelah kenyang makan malam, kami telah mengadakan malam suai kenal yang tidak dapat dilakukan di puncak semalam seperti kebiasaannya.

Keesokkan hari nya setelah selesai membeli sedikit sayur untuk dibawa pulang kami semua secara konvoi menuju ke rumah sdr Paie yang melangsungkan majlis perkahwinan beliau di Sungkai. Selesai menjamu selera, kami semua bertolak menuju ke Kuala Lumpur. Ekspedisi Menawan Gunung Tangga tamat di sini.

Sekian dan jumpa lagi di lain ekspedisi.

Oleh Mozaini

0 comments:

Post a Comment