Alhamdulillah segala puji dan syukur
ke hadrat Ilahi atas izinNya untuk kali ke-3 OGKL menjejak kaki ke Gunung
Rabong pada 13-14 Julai 2019. Ekspedisi kali ini seramai 13 orang termasuk
guide, Saudara Ahmad Hafizudin Zulkifli.
Perjalanan bermula dari LRT Gombak pada 12.7.19 pada jam 11 malam.
Singgah di Balai Polis Gua Musang pada pagi esoknya untuk
menghantar senarai nama dan permit. Setelah tiba di R&R Gua Musang, kami
bersiap sedia packing dan rehat sebentar sebelum menunggu pacuan 4 roda datang.
Selepas sarapan, jam 8:15am, kami terus menaiki 4x4 ke lokasi mula. Ada sedikit
masalah teknikal dan kami tiba sedikit lewat di laluan balak yang paling jauh
4x4 boleh hantar.
Kami memulakan pendakian pada jam 10:40am selepas sedikit taklimat dari
pemandu arah dan sesi memanaskan badan. Perjalanan selama 30 minit dari tempat
'drop point'4x4 ke Kem Sg Milo. Laluan berbatu dan sangat licin lebih mencabar
dengan cuaca panas terik dan hampir tiada angin. Kami makan tengahari di satu
kawasan lapang sebelum checkpoint Lorong Tikus. Bermula dari checkpoint
tersebut, cabaran seterusnya adalah laluan pacak yang dicari pandaki. Kalau
pacak, cepat sikit sampai puncak. Tiada tipu-tipu untuk ke Kem Taman.
Untunglah, jimat tenaga kami. Lagipun dapat banyak rehat dan santai.
Kami semua tiba di Kem Taman pada jam 6petang. Barisan awal yang sampai
telah terdahulu memasang khemah dan bersiap untuk memasak. Selepas selesai
makan malam, sebelum jam 10 pm semua peserta berehat dan tidur secukupnya
kerana esok kami perlu memulakan pendakian sebelum subuh.
Jam 3:30pagi semua bersiap untuk ke puncak dan menikmati sarapan pagi.
Perjalanan pagi bermula seawal 4:30pagi dengan berbumbungkan bintang-bintang
yang bertebaran di angkasa. Laluan ke puncak sangat nyaman dan hidung dapat
menghidu molekul wangian dari pokok-pokok hutan. Ahh, terasa ingin bawa pulang.
Setelah lebih kurang 1jam 30minit dengan sedikit menebas, kami semua
tiba di puncak Gunung Rabong berketinggian 1538M pada jam tepat 6pagi.
Alhamdulillah, hasrat menikmati saat matahari terbit direstui tuhan. Menunaikan
solat subuh di puncak dan berehat sambil melayan pemandangan yang indah dan
jelas terlihat Gunung Tahan dari jauh. Selepas 90minit di sini, guide mengajak
kami turun semula ke Kem Taman.
Setiba di kemsite, kami mengemas peralatan dan menikmati makanan
tengahari sebelum turun pada jam 10:30pagi. Kami tiba semula di Kem Sungai Milo
pada pukul 3petang. Mandi manda dan makan baki bekalan yang ada, guide
menghubungi pihak 4x4 untuk datang membawa kami keluar dari hutan ini. Lebih
kurang jam 4:40petang, kami tiba di R&R Gua Musang dan bersiap untuk
pulang.
Sebelum pulang, kami menjamu selera dan berkongsi pendapat dalam sesi
post mortem yang ringkas. Selepas maghrib, kami semua pulang menuju ke
destinasi masing masing.
Tahniah dan terima kasih kepada AJK yang membantu trip ini dari mula
hingga selesai, guide dari PMGM dan sahabat beliau, para peserta, pengurusan
4x4, pengurusan van gunung dan semua yang terlibat.
Semoga kita berjumpa lagi
Ikhlas
-KP RABONG OGKL 2019-
Sekian
0 comments:
Post a Comment