logo
Gambar-gambar Trip 2018

Logo OGKL

Logo OGKL

Monday, 18 March 2013

L03: Rimba Kenong

Taman Rimba Kenong

Tarikh: 17-20 Januari 2003
Tempat: Kuala Lipis, Pahang

Taman Rimba Kenong merupakan satu nama yang jarang kita dengar didalam senarai tempat-tempat menarik untuk dilawati di Malaysia terutama kepada pencinta alam semula jadi. Akan tetapi Taman Rimba Kenong adalah sebahagian dari kawasan Taman Negara Pahang yang telah di wartakan sebagai kawasan lindungan. Baru-baru ini pada 17 Januari, saya berpeluang mengikuti satu ekspedisi yang dianjurkan oleh kelab Orang Gunung Kuala Lumpur atau lebih dikenali dengan nama singkatan OGKL ke Taman Rimba Kenong. Ikuti seterusnya kisah pengembaraan kami ke tempat-tempat menarik di sekitar taman tersebut.

Pengembaraan kami bermula di Restoran Teratai dimana kami dikehendaki berkumpul jam 9 malam sebelum bertolak menaiki empat buah kereta. Setelah semua peserta , seramai 16 orang tiba di Restoran Teratai, kami berlepas menuju ke Raub jam 11 malam. Kami sepatutnya bertolak jam 9.30 malam tetapi tepaksa ditangguhkan sehingga jam 11 malam oleh kerana ada beberapa orang peserta yang tiba lewat dari sepatutnya.

Perjalanan ke Raub dijangka memakan masa 1 jam setengah. Kami tiba di Raub seperti yang dijangkakan iaitu jam 12.30 pagi. Setelah berhenti rehat disebuah restoran, kami meneruskan perjalanan ke Kuala Lipis yang terletak lebih kurang 65 km dari pekan Raub. Perjalanan ke Kuala Lipis agak perlahan disebabkan kerja-kerja menaikkan taraf jalan oleh Jabatan Kerja Raya yang bermula dari Raub.

Kami singgah di Balai Polis Kuala Lipis sekitar jam 1.30 pagi untuk urusan melaporkan diri. Ianya merupakan satu langkah berjaga-jaga yang diambil oleh pihak OGKL dalam setiap ekspedisi yang mereka anjurkan. Ini untuk memastikan kehadiran mereka di kawasan Taman Rimba Kenong di ketahui oleh pihak berkuasa supaya jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini, pihak tertentu boleh dihubungi dengan segera.

Selepas senarai kesemua ahli diserahkan kepada anggota polis yang bertugas, kami meneruskan perjalanan ke Maktab Rendah Sains Mara Kuala Lipis yang terletak lebih kurang 7 km dari pekan itu. Kami tiba di MRSM hampir jam 2 pagi. Di sini kami bertemu dengan Akmar selaku juru pandu kami sepanjang ekspedisi ini. Atas budi bicara Akmar, kami dibenarkan bermalam di kawasan MRSM sebelum meneruskan perjalanan di esok harinya. Terima kasih kami ucapkan kepada pihak MRSM.


Kami bangun jam 6.30 pagi keesokkan harinya. Setelah selesai solat subuh, kami meneruskan perjalanan ke Kampung Batu 9 yang terletak hanya 12 km dari sini. Sebelum menaiki bot di Kg Bt 9, kami sempat berhenti sarapan di sebuah warung berdekatan dengan jalan masuk ke jeti Kg Batu 9. Nasi lemak, kek pisang dan karipap merupakan menu utama sarapan pagi kami pada hari itu.

Selesai mengisi perut, kami bertolak ke jeti Kg Bt 9. Setelah meletakkan kereta ditempat yang agak selamat, kami menaiki bot untuk ke jeti Kampung Dusun yang terletak lebih kurang 10 minit perjalanan bot. Rata-rata peserta sudah pun menukar pakaian masing-masing ke pakaian “trakking”. Diwajah masing-masing terpancar semangat berkobar-kobar untuk meneroka keindahan Taman Rimab Kenong.

Tiba di Jeti Kg Dusun, yang juga dikenali dengan Kampung Kenong, kami meneruskan perjalanan ke rumah ayah Akmar. Ini menandakan permulaan pengembaraan kami ke Taman Rimba Kenong. Di rumah Akmar, kami di beri sedikit taklimat akan tentang Taman Rimba Kenong secara mendalam. Kami juga diberikan taklimat tentang pantang larang yang perlu dipatuhi semasa di kawasan ini terutama jika terserempak dengan binatang buas. Ini penting kerana terdapat banyak binatang-binatang buas seperti gajah dan harimau yang masih berkeliaran di kawasan berhampiran. Bunyi bising yang kuat seperti mercun amatlah ditegah sama sekali kerana ianya akan menganggu keharmonian kehidupan margastua di sekitar taman ini.

Setelah sedikit senaman melonggarkan otot-otot dilakukan, kami bertolak tempat pertama dalam agenda ekspedisi kami iaitu Gua Batu Tinggi yang terletak hanya 500 meter dari rumah ayah Akmar. Perjalanan hanya memakan masa lebih kurang 15minit. Gua Batu Tinggi terbentuk disebabkan oleh aliran sungai yang berada betul-betul dibawah batu yang besar. Sekiranya ingin meneroka gua tersebut, kami terpaksalah membawa sampan atau “kenu” bagi membolehkan mudik ke hulu menerusi sungai.

Kami hanya sempat bergambar di bahagian pintu masuk gua sahaja sebelum dibawa ke kawasan Batu Hampar. Batu hampar ini mendapat namanya kerana terdapat satu batu yang agak besar dan landai di tepi sungai seakan-akan bentuk hamparan. Mengikut cerita Akmar, sebelum paip air dipasang di kampung Dusun, penduduk sekitar, terutama kaum wanita, akan datang untuk membasuh pakaian di pagi hari. Tetapi selepas paip air di bekalkan oleh pihak kerajaan , penduduk tidak lagi menggunakan sungai untuk membasuh atau mengambil air. Fungsi batu hampar telah lupuk disebabkan oleh peredaran masa.

Kami kembali ke rumah akmar semula untuk mengambil bag yang ditinggalkan tadi sebelum meneruskan perjalanan kami ke Kem Kesong yang terletak hampir 3 jam setengah perjalanan. Oleh kerana kami dijangka tiba di kem Kesong jam 1.30 tengahari, kami mengambil keputusan untuk membeli nasi bungkus di yang telah siap disediakan oleh emak akmar. Ini memudahkan kami setibanya di Kem Kesong. Sebelum tiba di kem Kesong, kami akan dibawa melawat beberapa gua yang terdapat di pertengahan jalan.

Gua pertama yang kami singgah ialah Gua Tangga. Gua ini mendapat namanya dari bentuk batu yang seakan-akan tangga yang terdapat di situ. Kami sempat bergambar beramai-ramai di atas batu tangga yang boleh memuatkan hampir 30-40 orang.

Dari Gua Tangga, kami menuju ke Gua Tangkup yang terletak hanya lebih kurang 10 minit perjalanan. Gua Tangkup ini merupakan kawasan kesukaan gajah. Gajah-gajah akan datang ke kawasan ini untuk mengeselkan badan mereka di dinding gua. Terdapat kesan-kesan geseran pada batu-batu di sekitar kawasan Gua Tangkup ini. Terdapat satu hamparan batu sebesar 25 kaki persegi dengan ketinggian hampir 8 kaki dari bawah. Untuk sampai ke bahagian hamparan itu kami terpaksa memanjat satu tangga yang diperbuat dari pokok kayu oleh penduduk tempatan.

Menurut Akmar tempat ini digunakan oleh penduduk tempatan sebagai tempat tidur sekiranya mereka harus bermalam di situ. Ini untuk mengelakkan dari bahaya diancam gajah yang selalu berkeliaran di kawasan tersebut. Kedudukan yang agak tinggi itu menghalang dari gajah menghampiri mereka.

Kami meneruskan perjalanan ke gua terakhir, iaitu Gua Telahup. Gua Telahup hanyalah satu gua yang kecil. Oleh kerana tidak ada apa yang istimewa akan Gua Telahup ini, kami meneruskan perjalanan kami ke Kem Kesong. Walaupun jam sudah menunjukkan pukul 12.40 tengahari dan isyarat lapar sudahpun kedengaran, kami teruskan juga perjalanan kerana ingin cepat sampai ke kem Kesong.

Setelah melepasi dua batang sungai, Sungai Pelanduk dan Sungai Kesong, kami tiba di kem site Kesong jam 1.25 tengahari. Track yang becak dan penuh dengan pacat sedikitpun tidak melambatkan kami untuk sampai ke kem site mengikut jadual yang dirancangkan.

Setibanya di kem site, masing-masing tidak sabar membuka bekalan makanan. Tidak sampai setengah jam berikutnya, para peserta sudahpun kekenyangan dan ada yang sudah melelapkan mata tanda kepenatan. Ada beberapa peserta yang sempat mendirikan khemah untuk persediaan di malam hari. Seperti biasa Anuar, Bullet dan Yap sibuk mendirikan flysheet untuk dijadikan tempat memasak dan makan.

Kak Aishah,Illa dan Abg Rashid pula sibuk mengumpul semula bekalan makanan yang telah diagihkan kepada para peserta sebelum memulakan perjalanan pada malam sebelumnya. Setelah hampir semua bekalan dikumpul, mereka memulakan tugas menyediakan makan malam untuk para peserta.

Kami dijadualkan untuk melawat beberapa lagi gua disekitar kem site iaitu Gua Buta, Gua Harimau dan Gua Hijau. Akan tetapi, hujan telah turun dengan agak lebat pada petang itu menyebabkan aktiviti melawat gua terpaksa di tunda ke hari terakhir kami di kem Kesong. Aktiviti petang itu ditukarkan kepada aktiviti bebas oleh pihak penganjur.

Bagi peserta, masa inilah untuk mereka berehat secukupnya. Ada beberapa peserta yang mengambil kesempatan masa yang terluang untuk memancing di sungai yang berdekatan. Saya difahamkan tidak ada seekor ikan pun dapat di tangkap pada petang itu. Mungkin nasib agak kurang baik lagipun mungkin disebabkan hujan yang turun menyebabkan air sungai menjadi keruh.

Jam 7 malam, kami dipanggil untuk menikmati makan malam yang telah disediakan. Menu pada malam ini agak istimewa iaitu nasi beryani dan ayam masak merah serta acar nenas timun. Amat sukar sekali sepanjang pengelaman saya berkhemah dapat menikmati menu nasi beryani di tengah-tengah hutan belentara. Selalunya ikan sardin atau daging dalam tin menjadi hidangan saya semasa berkhemah. Syabas kepada OGKL kerana dapat menyediakan satu menu yang cukup enak di Taman Rimba Kenong ini.

Kami selesai menjamu selera jam 9 malam. Oleh kerana masa terlalu awal untuk tidur dan ingin meneruskan tradisi OGKL dalam setiap ekspedisi, kami telah mengadakan sesi suai kenal diantara para peserta. Sesi ini bertujuan untuk memperkenalkan diri masing-masing terutama kepada ahli-ahli yang baru menyertai ekspedisi yang dianjurkan oleh OGKL.

Satu persatu ahli lama dan baru memperkenalkan diri masing-masing diselang seli dengan gelak ketawa menambahkan lagi keakraban diantara para peserta. Ini penting dalam satu-satu ekspedisi kerana tanpa semangat setia kawan, satu-satu ekspedisi itu agak sukar untuk mencapai kejayaan seperti yang diharapkan.

Pukul 11 malam, hampir semua peserta sudah pun berada di dalam khemah masing-masing. Mungkin kerana kepenatan selepas berjalan hampir tiga jam setengah di siang harinya. Kami dinasihatkan untuk mendapat tidur yang secukupnya supaya dapat mengembalikan tenaga yang telah hilang. Kami difahamkan aktiviti yang akan dilakukan esok lebih mencabar dan menggunakan lebih banyak tenaga berbanding dengan hari ini.

Ahah 19 haribulan Januari, saya dikejutkan oleh bunyi bising dibahagian dapur. Jam baru saja menunjukkan pukul 6.30pagi. Setelah meninjau ke bahagian dapur, saya dapati Kak Aishah, Illa dan Abang Rashid sedang sibuk menyediakan sarapan pagi. Saya bergegas menunaikan solat subuh sebelum terlambat.

Jam 7.30 pagi kami dipanggil oleh Kak Aishah untuk menjamu selera. Nasi goreng dan teh panas merupakan menu sarapan pada pagi itu. Menurut kak Aishah, Abg Rashid yang goreng nasi itu, tak sangka juga Abg Rashid boleh menyediakan nasi goreng yang enak sekali. Berbanding dengan nasi goreng yang terdapat di hotel-hotel di Kuala Lumpur, saya rasa inilah yang nasi goreng yang paling enak pernah saya nikmati. Syabas Abg Rashid.

Tepat jam 8.15 pagi semua peserta telah berkumpul untuk memulakan perjalanan ke air terjun 7 tingkat yang juga dikenali dengan nama Lata Kenong. Rata-rata peserta sudah tidak sabar untuk mandi di air terjun. Fadzli Phang mengetuai senaman asas pada pagi itu bagi melonggarkan segala otot-otot yang telah keras akibat kesejukkan.

8.35 pagi, kami bertolak ke Lata Kenong yang akan mengambil masa lebih kurang 3 jam setengah. Menurut Nizam, yang bertindak sebagai “sweeper” dibahagian belakang, laluan ke Lata Kenong agak landai untuk dua jam pertama dan akan bertukar kepada pendakian untuk 1 setengah jam berikutnya. Kami harus mendaki 3 puncak bukit sebelum sampai ke Lata Kenong. Sesuatu yang pasti kami nantikan.

Setelah hampir 1 jam setengah berjalan, kami dikejutkan oleh satu tapak kaki harimau melintasi laluan kami. Akmar yang berada di hadapan memberi isyarat supaya senyap kepada para peserta. Dari kesan bau persekitaran dan tapak kaki, akmar memberitahu bahawa harimau tersebut baru sahaja melintasi kawasan itu lebih kurang setengah jam yang lalu. Beliau menasihati kami supaya berjalan dalam keadaan yang rapat antara satu sama lain dan tidak membuat bising semasa berjalan.

Kecut perut para peserta setelah mendengar penerangan Akmar. Nahas jika kami ditakdirkan terserempak dengan harimau yang dilaporkan cedera ditikam oleh orang asli yang tinggal berdekatan dengan kawasan rimba kenong beberapa hari yang lalu. Menurut Akmar lagi harimau yang cedera akan menjadi lebih ganas dari kebiasaan.

Suasana bertukar menjadi senyap sunyi, tiada lagi gelak tawa dari para peserta. Masing-masing menumpukan sepenuh perhatian kepada keadaan trak yang becak Atas nasihat Akmar, kami mempercepatkan kelajuan berjalan sedikit supaya cepat sampai ke distinasi yang di tuju. Satu pengelaman yang belum pernah saya alami sepanjang mengembara di hutan.

Kami terpaksa menyeberangi beberapa anak sungai sebelum sampai ke Lata Kenong. Ada beberapa jambatan telah dihanyutkan air semasa hujan, oleh itu terpaksalah kami mengharunginya untuk ke seberang. Mujurlah airnya agak cetek, jadi kami tidak memerlukan bantuan tali untuk menyeberanginya.

Kami tiba di Lata Kenong tepat jam 12.30 tengahari. Kami mengambil keputusan untuk berehat di Lata 5 kerana kawasannya agak lapang. Seperti biasa, Abg Rashid, Kak Aishah dan Ella sibuk menyediakan makan tengahari kami. Kali ini menunya lebih istimewa iaitu bee hoon soto. Perut saya terasa cukup lapar setelah menghidu bau sup soto kak Aishah. Sudah tidak tahan rasanya.

Sementara menunggu bee hoon soto disediakan, beberapa peserta mengambil kesempatan untuk mandi di jeram tersebut. Oleh kerana tidak tahan airnya yang sejuk, saya mengambil keputusan untuk tidak mandi, sekadar merendam kaki sahaja. Ini kerana ingin mengelakkan kekejangan otot disebabkan kesejukkan.

Jam 1.30 tengahari, kami dipanggil untuk menjamu selera. Enak sekali bee hoon soto kak Aishah, jarang-jarang kita dapat makan makanan sebegini enak di tengah hutan, apatah lagi selepas berjalan hampir 3 jam setengah untuk menikmatinya. Pastinya, bee hoon soto yang paling mahal harganya yang boleh di dapati di Malaysia.

Setelah hampir 1 jam setengah berada diLata Kenong, kami berangkat pulang ke Kem Kesong. Seperti semasa datang tadi, kami bergerak dalam satu kumpulan tanpa berpecah. Akmar bertindak sebagai “ lead guide” dan Nizam pula bertindak sebagai “sweeper”. Pacat merupakan “penumpang” yang tidak diundang mengiringi kami sepanjang perjalanan pulang. Jam 5 petang semua peserta tiba di kem Kesong dengan selamatnya.

Tanpa berlengah, saya terus membersihkan diri dan menunaikan solat zohor dan asar secara jamak kerana waktu sudah hampir tamat. Dibahagian dapur, pihak urus setia sibuk menyediakan makan malam kami. Beberapa peserta dilihat sudahpun melelapkan mata mungkin kerana kepenatan yang amat sangat.

Kami dijemput untuk makan malam pada jam 8.30. Menu kali ini ialah sambal ikan bilis, telur dadar dan sup sayur. Boleh dikatakan menu yang cukup menyelerakan setelah penat berjalan sepanjang hari. Kami selesai menjamu selera sekitar jam 9.30 malam. Rata-rata peserta sudah tidak sabar untuk masuk ke khemah masing-masing.

Jam 10 malam, hampir semua peserta telahpun diulik mimpi indah. Suasana kem kesong sudahpun sunyi sepi , sekali sekala kedengaran bunyi dengkuran peserta yang kepenatan. Lampu lantern telahpun diletakkan di tempat yang stratigik supaya dapat menghalau binatang buas dari menghampiri kawasan kem site kami. Malam berlalu tanpa sebarang gangguan.

Sekali lagi saya dikejutkan oleh oleh suara Kak Aishah dari arah dapur pada pagi itu. Rupa-rupanya jam sudah pun menunjukkan pukul 7 pagi. Bergegas saya bangkit dan menunaikan solat subuh. Kalau tidak kerana Kak Asihah, saya mungkin terlepas solat subuh pada hari itu. Terima kasih Kak Aishah.

Roti pita, lempeng dan kari daging merupakan menu sarapan pagi kami pada hari itu. Seperti biasa, sayalah orang yang pertama menadahkan mess tin dan cawan sebelum kawan-kawan yang lain. Maklumlah, pepatah Inggeris ada mengatakan “ Early bird gets the best worm”. Jadi kalau nak rezeki yang terbaik kenalah bangun diawal pagi.

Kami dijadualkan untuk melawat beberapa gua disekitar kem kesong yang tidak dapat dilawati pada hari pertama kami di sini disebabkan hujan. Alhamdulillah, cuaca hari itu cukup cerah, tiada tanda-tanda hujan akan turun pada pagi itu. Sedikit taklimat dan pantang larang telah diberi oleh Akmar sebelum kami menerokai gua-gua tersebut.

Gua pertama yang akan kami terokai ialah Gua Buta. Jarak gua Buta dari kem Kenong hanya lebih kurang 500 meter, tetapi untuk sampai ke pintu gua kami terpaksa mendaki setinggi 50 meter dengan kecerungan hampir 80 darjah. Pendakian haruslah dilakukan berhati-hati kerana batu di situ agak basah dan licin. Silap haribulan, kami boleh jatuh tersungkur kebawah jika tidak berhati-hati. Sesuatu yang kami mahu elakkan.


Kami sempat bergambar beramai-ramai di pintu masuk gua sebelum meneruskan penerokaan kami. Seperti gua-gua yang lain di Malaysia, penghuni utama gua ini ialah kelawar. Kelawar yang banyak boleh dilihat bergayut di dinding gua Buta. Dan dibawahnya pula penuh dengan tahi-tahi kelawar yang hampir menutupi keseluruhan lantai gua. Bau hapak boleh di rasa sepanjang kami berada didalam gua itu.

Menurut Akmar, penduduk kampung akan datang pada masa-masa tertentu untuk mengambil tahi kelawar untuk dijadikan baja bagi tanaman mereka. Saya difahamkan, baja tahi kelawar merupakan baja semulajadi yang paling baik untuk tanaman. Padi paya dan getah merupakan tanaman komersial penduduk sekitar taman Rimba Kenong.

Ketika berada di dalam gua, kami dinasihatkan supaya tidak terlalu bising atau bermain sebarang mercun. Ini kerana, bunyi bising akan mengganggu keharmoian kelawar-kelawar yang sedang tidur. Sekiranya diganggu, kelawar-kelawar itu akan terbang berkeliaran dan akan melanggar apa saja yang berada dilaluan mereka.

Batu berbentuk gigi graham adalah antara bentuk-bentuk batu yang kami temui di dalam gua buta. Pembentukkan batu ini mungkin terjadi disebabkan oleh aliran air beribu-ribu tahun yang lampau. Mungkin juga satu masa dahulu kawasan ini merupakan sebuah sungai kerana terdapat kesan-kesan hakisan air dibahagian dindingnya. Kita berharap ada pihak universiti tempatan agar melakukan kaji selidik untuk menentukan sejarah penbentukan gua-gua di sekitar Taman Rimba Kenong untuk pengetahuan kita semua.

Setelah hampir 45 minit berada didalam Gua Buta, kami dibawa keluar melalui pintu yang lain. Menurut Akmar, sebenarnya kami telah “membelah” bukit menerusi jalan gua tadi. Sekali lagi kami terpaksa memanjat dicelah-celah batu untuk sampai kebahagian bawah bukit. Ini memperlahankan pergerakkan kami kerana batu-batu di situ berbentuk tajam seperti pisau. Tidak dapat dipastikan bagaimana batu ini boleh terbentuk sebegini rupa.

Kami menuju ke gua yang kedua iaitu Gua Harimau. Disitu terdapat sebuah batu yang berbentuk seperti seekor harimau sedang berehat ditengah-tengah gua. Agaknya dari situlah gua Harimau mendapat namanya. Terdapat juga sebilangan kecil kelawar mendiami gua harimau. Kami sempat bergambar beramai-ramai di atas batu harimau sebagai kenangan.

Gua hijau merupakan gua yang terakhir kami lawati. Untuk sampai ke gua Hijau, kami terpaksa menggunakan satu jambatan gantung merentasi sebuah sungai. Jambatan gantung tersebut agak usang dan terdapat beberapa keping papannya telahpun reput dan patah. Kami terpaksa berjalan berhati-hati semasa melaluinya untuk mengelakkan papan jamabatan itu dari patah.

Gua Hijau merupakan gua yang paling banyak kelawar berbanding dengan gua-gua disekitarnya. Dianggarkan terdapat lebih dari 5000 ekor kelawar mendiami gua hijau. Hampir keseluruhan lantai gua ditutupi oleh tahi kelawar. Kami hanya bertahan selama 10 minit didalam gua tersebut kerana tidak tahan akan baunya yang busuk.

Selepas gua hijau, kami terus menuju ke kem site tanda tamatnya penerokaan gua kami di Taman Rimba Kenong. Didalam perjalanan ke kem Kesong, kami terserempak dengan beberapa tapak kaki gajah. Saya dapat mengangarkan saiz tapak kaki itu sekitar 15inci diameter. Tidak dapat saya bayangkan betapa besarnya gajah yang melalui kawasan itu. Mungkin lebih besar dari apa yang terdapat di zoo negara.

Kami tiba di kem Kesong lebih kurang 12 tengahari. Setelah siap mengemas bag masing-masing, kami bergerak keluar ke Kg Dusun iaitu ke rumah emak Akmar. Perjalanan akan mengambil masa lebih kurang 2 jam sekiranya kami tidak berhenti rehat di pertengahan jalan. Kebiasaannya saya akan berada dibahagian belakang semasa berjalan tetapi kali ini saya bertekad untuk berada dibahagian hadapan kumpulan. Bukan untuk berlumba tetapi sekadar menguji tahap kemampuan saya.

1.55 tengahari, kami tiba di rumah emak Akmar. Benda yang pertama kami serbu ialah peti sejuk yang terdapat di kedai emak Akmar. Air 100 Plus dan Redbull merupakan sasaran utama kami. Tidak sampai 3 minit, kesemua air tin di dalam peti sejuk itu habis dikerjakan oleh kami.

Setalah membersihkan diri dijeti Kg Dusun yang lengkap dengan bilik mandi dan tandas, kami menaiki bot ke jeti Kg Bt 9.Kali ini perjalanan memakan masa 15 minit kerana untuk sampai di jeti Bt 9 kami terpaksa melawan arus. Setiba di jeti Bt 9, kami meneruskan perjalanan ke pekan Kuala Lipis untuk makan tengahari. Maklumlah sudah pukul 2.30 petang dan perut sudahpun menghantar isyarat tanda lapar.

Kami singgah di sebuah gerai di tengah-tengah pekan Kuala Lipis. Kebetulan pula gerai tersebut menghidangkan ikan patin masak lemak cili padi. Apalagi, habis semua ikan patin kami kerjakan. Walaupun ikan patin itu adalah ikan patin sangkar tetapi rasanya cukup segar dan lemak berbanding dengan yang terdapat di Kuala Lumpur. Bertuah rasanya dapat menikmati hidangan sebegini enak.

Selesai makan tengahari, Nizam meminta izin untuk terus balik ke Kuala Lumpur kerana ada urusan keluarga yang perlu di selesaikan. Beliau berjanji untuk singgah di balai polis Kuala Lipis untuk membuat laporan bahawa kami telah selamat keluar dari Taman Rimba Kenong. Ini penting kerana jika kami tidak memberitahu mereka bahawa kami telahpun keluar dari hutan, pihak polis akan menyangka sesuatu telah terjadi pada kami. Mereka menghantar sepasukan anggota untuk mencari kami didalam hutan.

Oleh kerana jam sudahpun menunjukkan pukul 4.45 petang, kami mengambil keputusan untuk menunaikan solat zohor dan asar di masjid berdekatan. Selesai saja solat, kami terus bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Kami berhenti sekali lagi di Genting Sempah untuk solat magrib dan makan malam. Setelah bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal, kami bergerak pulang ke rumah masing-masing. Semoga berjumpa lagi dilain ekspedisi. Syabas OGKL

Mozaini

0 comments:

Post a Comment