Trans Cecil OGKL 2019
G. Penelope (1834m)
G. Cecil (1768m)
G. Swettenham (1961m)
Alhamdulillah, pada tarikh 14-15 Sept 2019 baru-baru ini, Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL) sekali lagi berjaya menjejakkan kaki ke Ekspedisi Trans Cecil OGKL 2019 dengan kekuatan seramai 7 orang pendaki. Pendakian yang dimulakan pada 14 Sept 2019 jam 9.30 pagi di Kampung Raja, Cameron Highland ini telah berjaya ditamatkan pada keesokan harinya (15 Sept 2019) pada jam 5.00 petang di Perkampungan Orang Asli Penangau, Lojing. Jutaan terima kasih kami ucapkan kepada peserta dan crew OGKL yang memberi komitmen yang baik samada sebelum, semasa dan selepas aktiviti berlangsung.
Info Trans Cecil :
1. Pendaki perlu memohon permit mendaki di Pejabat Hutan Tanah Rata. Bayaran RM10 bagi setiap peserta. Permohonan boleh melalui walk in (hari bekerja sahaja) ataupun melalui surat permohonan dan kiriman wang pos (selewatnya 2 minggu sebelum tarikh aktiviti bagi mengelakkan kelewatan)
2. Penggunaan khidmat jurupandu arah yang berpengalaman dan arif dengan laluan di kawasan ini amatlah dititikberatkan bagi memastikan kelancaran dan kejayaan aktiviti.
3. Dicadangkan agar peserta meletakkan kenderaan di Masjid Lojing (bayaran RM10/kereta) dan mengambil khidmat 4WD untuk ke starting point G. Penelope dan akan berakhir di starting point G. Swettenham (seberang Masjid Lojing).
Laporan Ekspedisi :
Hari 1 (14/09/2019)
Peserta menaiki 4WD dari parkir Masjid Lojing dan menuju ke starting point G. Penelope. Pendakian dimulakan pada jam 9.30 pagi setelah taklimat ringkas dan sesi regangan oleh ketua program (KP). Jam 10.30 pagi, peserta tiba di puncak G. Penelope (1834m). Kesemua peserta seterusnya tiba di puncak Gunung Cecil (1768m) pada jam 12.30 tengahari. Usai makan tengahari dan bergambar kenangan, perjalanan dari puncak G. Cecil ini diteruskan lagi ke lokasi cadangan kemsite iaitu di Kem Swettenham. Laluan yang kami akan ditempuhi adalah LWP OGKL, Kem Border OGKL (Simpang Keluar - G. Swettenham) seterusnya Kem Swettenham (permatang lapang menuju ke G. Swettenham). Pada asalnya kami bercadang untuk bermalam di Kem Swettenham, agar perjalanan kami pada hari kedua nanti dapat dipendekkan.
Trail untuk menuju ke Kem Border OGKL ini boleh dikategorikan agak sukar kerana peserta perlu menempuh laluan naik dan turun ke beberapa buah lembah. Pada jam 4.30 petang, kesemua peserta tiba di LWP OGKL. Melihat kepada cuaca hujan lebat dan tiupan angina yang terus menerus membasahi kami sejak jam 3 lebih, maka kami mengambil keputusan hanya untuk bermalam di Kem Border OGKL kerana memikirkan keadaan semasa kami yang dilanda kesejukan, kabus dan keletihan. Maka semua sebulat suara untuk bermalam di Kem Border OGKL yang jarak anggaran dalam 150m dari LWP OGKL tersebut. Walaupun hanya berjarak dalam 150m, ternyata ianya bukan satu perkara yang mudah buat kami kerana keadaan trek curam dan licin yang sedia menanti untuk menguji kami. Tepat jam 5.30 petang, semua peserta sampai di Kem Border OGKL seperti yang dicadangkan. Maka segera kami menegakkan fly dan ground untuk kami bermalam. Peserta wanita diarah untuk menukar pakaian persalinan dahulu sementara peserta lelaki menyediakan tempat untuk bermalam. Setelah selesai segala urusan pemasangan khemah dan urusan peribadi, crew OGKL segera menyediakan makan malam. Menu pada makan malam - ayam butter, cendawan goreng tepung, keropok udang, sambal belacan dan milo panas. Setelah sesi makan malam, semua peserta mengambi kesempatan untuk melelapkan diri dan ‘mengecas’ semula tenaga bagi misi gunung terakhir keesokannya - Gunung Swettenham.
Hari 2 (15/09/2019)
Tepat jam 5.15 pagi, kedengaran bunyi dapur gas dihidupkan. Jijan memanaskan semula lebihan air milo malam sebelumnya. Maka bermulalah episod dapur berasap di pagi hari kedua. Ada yang sudah mula mencari parang untuk menggali lubang. Tak lain tak bukan, semestinya bertujuan nak ‘membaja’ pokok di hutan.
Sementara ada yang masih melayan lena dan nikmat tidur di hutan, ada juga yang sudah mula ‘bersilat’ di dapur bagi menyediakan sarapan. Nasi goreng cina, cekodok udang, sosej, air kopi panas dan bubur cha cha menjadi santapan pagi kami. Sambil sarapan, sambil membahan. Yaa itulah yang menghidupan trip kami. Gelak tawa bersama rakan sehingga cuba buat-buat lupa misi terakhir yang nak diselesaikan. Dalam tak sedar, jam dah menunjuk pukul 8.30 pagi, melihat keadaan langit, macam nak tak nampak sinaran matahari lagi ni. Maka segera kami bersiap dan packing semua peralatan. Jam 9.30 pagi, kami mulakan perjalanan. Beg-beg ditinggalkan dan disorokkan di tepi trek persimpangan antara jalan keluar dan jalan ke puncak Gunung Swettenham. Makanan, minuman dan peralatan untuk daypack pula dibawa bersama bagi mengelakkan kes-kes kecemasan. Bermulanya di sini, batu sempadan negeri Kelantan-Pahang sudah mula kelihatan di sepanjang trail perjalanan ke Gunung Swettenham.
Jam 10.00 pagi, kami tiba di Kem Swettenham, tempat di mana lokasi asal kami ingin bermalam. Kelihatan kemsite nya lebih lapang dan lebih selesa. Namun jika difikirkan kondisi, jarak dan cuaca semasa pada petang semalam, memang betul la keputusan yang kami buat supaya bermalam di Kem Border OGKL dan tidak terus ke sini. Dah la baju dan beg berat sebab kena hujan. Ditambah pula sejuk dan pewai lagi lepas menghadap pacak dari LWP OGKL. Bak kata Abg Harith ; ‘saya pun akan menangis kalau kita decide tidur sini semalam’.
Selepas regroup di Kem Swettenham ini, kami meneruskan perjalanan ke puncak Gunung Swettenham yang berjarak lebih kuram 1.2KM lagi dari lokasi kami. Setelah pelan-pelan kayuh, alhamdulillah, semua peserta tiba di puncak Gunung Swettenham (1961m) ada jam 11.30 am. Ada yang sambung sesi sarapan. Ada juga yang masih seronok membahan. Setelah selesai sesi merakam gambar kenangan, kami mula bergerak turun semula ke Kem Border OGKL pada jam 12.30 tengahari. Kesemua peserta berjaya menamatkan ekspedisi ini pada jam 5.00 petang di Perkampungan Orang Asli Penangau dengan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Setelah membersihkan diri di Masjid Lojing, semua peserta bertolak pulang ke destinasi masing-masing.
Sekalung ucapan terima kasih kami ingin ucapkan kepada peserta dan crew OGKL sertai trip ini :
1. Times Bayek – si penakut anjing
2. Eycha Eca – upgraded Medical Doctor (tangkap muat)
3. Harith Al Harithah - perut cramp sebab asik gelakkan orang
4. Cozy Jungle - si penggurau kasar
5. Cikgu Rose - pemburu arnab @ ketua penduduk taman melati
6. Azizan Azman – I am a diver
7. Shahruizwan – seorang insan yang memiliki sifat mahmudah @ penjinak anjing
Special credit ditujukan kepada :
a) Barisan Kepimpinan dan Crew OGKL 2019/2020
b) Sdr Shafeeq (Skapek Sapek) – rujukan laporan Trans Cecil OGKL 2017
c) Sdr Nizar & Azlif Azman – rujukan sebelum pendakian
d) Sdr Wan – Pengusaha 4WD
e) Sdr Affandi – rujukan
Jutaan terima kasih sekali lagi diucapkan kepada sahabat-sahabat yang membantu tanpa saya sedari. Semoga Alla merahmati jasa baik kalian.
Kalau ada sumur di ladang
Boleh saya menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Bertemu kita di lain ekspedisi
Akhir kalam,
Jadilah kita seperti pokok. Walaupun mereput, tapi tetap tak mati-mati - (Cikgu Rose Hamzah, 2019)
Sekian,
Shahruizwan Sharudin
Ketua Program,
Ekspedisi Trans Cecil OGKL 2019
Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur
~ Khazanah Alam Warisan Rekreasi ~
Salam author.. Nice. Boleh share berapa jarak KM keseluruhan dan elevation gain trip ni? Terima kasih.
ReplyDelete