logo
Gambar-gambar Trip 2018

Logo OGKL

Logo OGKL

Friday, 31 May 2013

L05: Merentas Banjaran TItiwangsa

Ekspedisi Merentas Banjaran Titiwangsa (TRANSPEAK)
(Korbu – Gayong – Yong Belar)

Buat pengiat-pengiat kegiatan mendaki & pembaca budiman, Sedikit coretan sepanjang ekspedisi kami Merentas Banjaran Titiwangsa 23/12/2005 -29/12/2005

Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL) dengan kekuatan 14 orang pendaki dikehendaki berkumpul di Hentian Puduraya bagi memulakan perjalanan pada malam 23 Disember. Seorang demi seorang peserta tiba di puduraya menanti bas ke Ipoh tiket jam 8:30 malam. Deeno (Ketua ekspedisi), Arey, Kechik, Eryn, Apip, Abg. Zaini, Ramli, Azhar, Mas, Meymir, Man, Faizul, Fairuz dan Su akan mengharung cabaran ekspedisi ini.

Keadaan lalulintas di ibukota yang sesak sekali sempena cuti perayaan Krismas turut menyukarkan bebrapa peserta ke Puduraya. Ramai juga teman-teman pendaki yang turut melambai kami di puduraya, antaranya Roland, Paei, Jus, Ina, Ida, Che Din, Angah Belantara, Rambo, keluarga Ramli dan teman-teman lain. Terima kasih.

Tepat jam 8:30 bas baru muncul. Ada peserta yang tak sampai lagi ni. Siap packing barang-barang dalam ruang kargo bas, tiba-tiba pemandu bas kata aircond bas rosak kena tukar bas. Fuhhh sempatlah kawan yang tak sampai lagi kejar bas ni.

 Jam 9:30 barulah bas kami tinggalkan Puduraya. Medan Gopeng, Ipoh destinasi pertama kami. Kechik yang lewat menyertai ekspedisi, lebih awal berlepas dengan bas jam 7:30mlm

Masuk ke Ulu Kinta

Tiba di Medan Gopeng, Ipoh, kami mencari Kechik, tak nampak pula kelibat Kechik. “Rasanya tak lah kecik mana si Kechik ni sampai tak nampak ditengah-tengah orang ramai ni”  Arey menghubungi Kechik, terkejut bila dikabarkan Kechik turun di Gopeng bukan Medan Gopeng.

 Kami bergerak ke gerai makan, makan malam sebelum masuk ke Ulu Kinta. Kechik tak lama kemudian tiba dengan Che Din yang bercadang pulang ke kampung. ‘Nasib baik teman orghang Perok” balas Che Din. 

Sampai satu simpang yang tidak pasti, kami tunggu guide kami yang berada dibelakang, Kebetulan seorang Orang Asli lalu. Sempat diberinya pedoman. 

Orang Asli: Yang sana ke Kg. Makmor, kamu ikut situ
Kami       : Terima kasih.
Arey        : Jauh berjalan keluar tu
Orang Asli :45 minit saja, mana jauh, kalau sejam barulah
                 jauh.

Kami teruskan perjalanan lagi. Dentum dentam bunyi jentera ditapak Dam Ulu Kinta. Dari atas bukit kami nampak Dam Ulu Kinta dalam pembinaan. Kawasan yang akan tenggelam juga tak lepas dari pandangan kami. Lagi sekali kalau kami datang mungkin dah lain pula pemandangan disini.

Sampai satu kawasan lapang ada dua lagi simpang, Satu turun ke arah Dam, satu naik ke bukit. Jam menunjukkan pukul 11:00. Eloklah kami berkumpul balik dan berehat pekena roti canai yang dibekal. Jadilah kem ni, kami panggil kem roti canai.

11:30pagi, kami meneruskan trekking, jalan ke atas bukit menjadi pilihan guide kami. Sempat Arey bisik, laluan ke bawah juga boleh, pernah dia lalu ikut situ.

5 minit seterusnya trek balak pun tamat, ada tanda reben merah di pokok setentang trek. Kami teruskan treking masuk ke rimba. Hampir setengah jam mendaki bukit, Kechik pula mengepalai team kami. 

Penuh pokok bertam sepanjang trek. Sampai satu tempat di penuhi rumpun pokok bertam. Kechik berhenti dan kami semua berkumpul balik. Deeno tengok trek dan kabarkan sepatutnya trek tala ke arah sungai. Deruan air yang tidak jauh ditepi bukit membuatkan Kechik, Apip dan Ramli pergi tengok, samada ada trek ke arah sungai. 

Gagal temui trek yang meyakinkan. Akhirnya Deeno mengumumkan untuk backtrek. Memandangkan jam dah pukul 1:00. Perut kami isi dahulu. Cukuplah roti paun cicah sambal ikan bilis Ieda.

Patah balik kami sampai ke kem roti canai dan berkumpul balik. Kali ini kami ikut trail turun bukit ke arah Dam. Macam tak yakin aja, kami membiarkan Deeno, Arey, Kechik dan Azhar turun dahulu bertanyakan orang yang berada di bawah sana. 

Lambaian Azhar dari bawah bukit, menggerakkan kami semua untuk turut turun. Sah sudah trail yang patut kami ikut, ada pula papan tanda, ‘Pendaki G. Korbu dilarang melalui kawasan ini.’ Jam ditangan menunjukkan pukul 3:40ptg. Lama juga kami ambil masa sebelum sampai sini.

Perjalanan sepanjang Sg. Kinta yang telah disodok rasa memenatkan, apatah lagi tahu perjalanan ke Kem Kijang masih cukup jauh. Nasib baik juga cuaca tidak panas lansung. Kalau tidak mau berpayung kami. 

Baru jalan tak sampai sejam dari Dam, kami berhenti makan lagi. Makan petang pula, roti paun tengahari tadi yang berbaki kami habiskan. 

Sampai di pintu rimba jam dah pukul 4 lebih. Kami teruskan dan tiba di Pondok Wakaf jam 5:00. Solat dan berkumpul. Sasaran kami ditukar dari Kem Kijang ke Kem Seroja.

Keadaan hutan makin gelap, Azhar yang pernah mendaki G. Korbu mendahului kumpulan. Arey dan Deeno bertindak sebagai sweaper. 

Beberapa sungai kami lintas. Cabaran utama di trail ini adalah ‘Balak besar’ yang merentangi trek ditepi lereng bukit. Meymir yang lincah mendakap balak dan lepas ke sebelah. Yang lain terpaksa mencampak haversack dahulu. Malang sedikit bagi Azhar tergelincir terus jatuh ke bawah, nasib baik kepala tak terhantuk batu sungai.

Perjalanan kami teruskan, siang bertukar malam. Azhar dan Mas berhenti memancing ikan sambil menunggu teman-teman dibelakang. Apip, Kechik, Eryn, Man, Faizul, Meymir dan Ramli terus berjalan.

Tak semena-mena bulb miniMaglite Meymir terbakar, bulb spare tak ada pula. Terpaksalah Apip & Meymir jalan berdua suluh bergilir-gilir. Silap langkah terhumban ke gaung. Digelaknya Meymir. Tak lama Meymir pula terhumban ke gaung.

Terasa jauh meninggalkan teman-teman dibelakang, Apip, Eryn & Meymir berhenti treking. Meymir mula merungut, entah jauh lagi ker perjalanan. Perut dah lapar. 

Sebaik saja Kechik dan beberapa lagi kawan lain muncul kami pun angkat kaki. Kechik yang dibekalkan walkie-talkie mendapat arahan untuk berhenti dari Deeno, Kami disuruh masak maggi untuk makan malam dahulu dan Resque untuk orang belakang. Ditepi sungai kami berhenti, Ramli dan Kechik pergi resque.

Sementara menanti teman-teman yang lain tiba. Ramai yang melelapkan mata diatas batu ditepi sungai. Eryn dan Apip dah buka dapur. Seketika kemudian kembali Kechik & Ramli memikul haversack Abg Zaini & Fairuz. Letak aja haversack, Kechik pergi resque lagi. 

Akhirnya kumpulan dibelakang tiba, Haversack Su dah dibahu Kechik. Nasi putih berlauk daging black paper disaji. Sudah makan kami berkemas untuk ke Kem Seroja. Abg Zaini terkejut, diingatkan disinilah destinasi hari ini. Lokasi tepi sungai yang berisiko kepala air sudah tak diperasannya lagi.

Jam 12:00 malam kami semua sampai di Kem Seroja. Azhar, Mas, Man, Meymir dan Faizul yang tiba awal dah terbaring ditanah.

“Kita pasang fly sheet kat sini” arah Apip
“Tak payahlah, tidur macam ni pun boleh dah” balas Azhar.
“Jom Kechik kita pasang berdua, diorang ni pewai dah” sambung Apip.

Akhirnya flysheet dan khemah dipasang bersama-sama. Fairuz tak lepaskan peluang terus mandi disungai, yang lain turut membersihkan diri dan masuk tidur.

Episod II : Mara ke Korbu

Pagi yang damai ini kami AZAM untuk terus mara. Dikala orang lain sibuk berehat menyambut Krismas hari ini, kami pula akan bersusah payah dalam hutan.

Hujan renyai seketika membasahi bumi. Siap bersarapan pagi, menu KeawTiau goreng, kami pun meninggalkan Kem Seroja jam 9:30pagi. Lewat satu jam setengah dari jadual, almaklumlah semalam OT.

Apip :Su, masih pakai sandal hari ni? Su tak bawak kasut. 
Su   :Mana Su tahu (trek) macam ni. 
Apip :Su kasut saiz berapa? 
Su   :Saiz 5.
Apip:Kalau saiz 6, boleh pakai adibus kak Eryn. Tulah
       degil, kan masa jogging di Kelana Jaya Abg Deeno
       ngan Abg Apip dah pesan pakai kasut, bawa sandal.
Su   :emmmm

Pelan-pelan langkah kami hayun. Jam 10:30pagi kami lintas Kem Kijang. Sampah bertimbun ditambah pula dengan banting-banting ekspedisi ditinggalkan disini.

Trek hari ini masih boleh tahan, tidak terlalu mencanak, Sejuk gunung sudah terasa. Man siang-siang sudah mengenakan baju hujan untuk mengurangkan rasa sejuk. Reben dari Majlis Perbandaran Kelang (MPK) sesekali kelihatan diikat dipokok.

Deruan air semakin kuat, langkah semakin pantas untuk sampai ke Last Water Point sebelum ke G. Korbu. Apip dan Kechik yang tiba jam 1:30 segera pasang Flysheet dan buka dapur. Elok saja siap fly, hujan pun turun. Eryn masak cekodok untuk alas perut tengahari ini. 

Arey:  Shuut, kat belakang tadi aku tipu si Fairuz, kata bukit yang lepas tu, G. Korbu. Dia mati-mati percaya. Aku dah tak tau apa nak saiko dia lagi. Asik tanya bila nak sampai aja.

Kami semua angguk. Arey dan Ramli jadi sweeper pagi ni, habis diangkutnya barang-barang peninggalan.Tak lama kemudian, Fairus sampai, dengan senyum terus tanya kami pukul berapa kami lalu puncak Korbu tadi. Pukul 3:30ptg dia dah sampai puncak Korbu. Nak berderai ketawa kami, tapi cuba ditahan dan disembunyikan juga.

Fairus: Lepas ni target kita Bukit Botak, pastu anak Korbu. 
Apip  :  yup
Fairuz: kira tinggi lagilah anak Korbu dari Korbu ye.

Beginilah gambaran awal yang diterima Fairuz yang pertama kali mendaki gunung.

Jam 4:00 petang semua pendaki sudah meninggalkan Last Water Point setelah mengisi segala botol. Hujan pun dah reda. Azhar pula terus trekking dengan baju hujan selain Man. 

Tiba di Bukit Botak jam 5:15ptg, kabus lepas hujan masih tebal, sesekali nampak kelibat G. Korbu tegak dibalik balik anak Korbu. 

Treking dari Bukit Botak ke G. Korbu, kami berjalan dalam satu kumpulan. Bila gelap lampu menjadi penerang jalan kami. Banyak pula main tali dan tebing batu yang kena kami tempuhi. Sambil menunggu giliran menggunakan tali, sempat juga kami bergurau senda. Ada yang berbalas-balas kentut mengantikan pantun.

Lepas satu puncak, ada satu lagi puncak, lepas tu ada lagi satu puncak. Kechik secara solo yang meninggalkan kami dibelakang. Sorotan lampu picit Kechik kelihatan cukup jauh menandakan masih jauh dan ada beberapa lagi puncak sebelum sampai Puncak G. Korbu.

Apip   : Kechik apa pasal berhenti sini?
Kechik: Banyak simpanglah, aku tak ingat simpang mana
            ni.
Apip   : Sama-samalah kita duduk sini tunggu orang
            belakang.

Azhar yang sampai setengah jam kemudian,  terus tegur, “Apasal duduk sini, belah sana kan lapang, ini lah puncak Korbu. Banyak simpang kawasan puncakkan. Tu batu tanda puncak.”Maknanya jam 10:30 kita dah sampai puncak Korbu” jawab Apip sambil tepuk Kechik.

Kumpulan terakhir sampai jam 12:30 mlm baru tiba. Flysheet dan Khemah didirikan. Nasi ayam pula menjadi sajian kami sebelum melelapkan mata, Chef Ramli turut memainkan peranan. Sorotan kisah dan gelagat teman-teman sepanjang hari sempat juga dibualkan. Beirut puncak Korbu masih ada semasa Ramli mendaki zaman kecilnya dahulu.

Episod III : Indah bumi Tuhan

Seawa pagi kami dah, bangun, ada juga teman-teman yang dalam kantung tidur lagi. Panorama fajar dan matahari terbit memukau mata. Langit cerah, semua gunung-gunung disekeliling dapat kami lihat.

Mengimbau trail semalam. Kami merenung bukit Botak, G. Raya disebelahnya, Sg. Kinta dan Dam, barisan bukit yang kami tersasar. Menurut Ramli, masa kecil dahulu dia mendaki  G. Korbu ikut trail bukit, tak lalu banyak Sungai. Barisan bukit yang mengarah ke Kem Seroja mungkin trail yang digunakan.

Bandar Ipoh dan kawasan sekitar terpampang luas. G. Bubu dan G. Putung Asap dapat dilihat untuk ekspedisi OGKL tahun 2006  Berdekatan Jln Simpang Pulai – CH pula G. Chabang. Bersebelahan G. Korbu, G. Gayung dan permatangnya kami amati sebelum kami lalui nanti.

Nun jauh arah utara, kelihatan puncak G. Chamah dan G. Ulu Sepat. Arah Sg. Siput pula G. Yong Yap, G. Bubu dan G. Tok Nenek* dapat dilihat. G. Yong Belar juga tersergam didepan mata, moga kekuatan dapat membawa kami ke sana, insyaAllah. Walaupun ekspedisi kami dikala musim tengkujuh, setakat ini cuaca masih baik. Hujan pun kurang.

Pemandangan sekeliling Banjaran Titiwangsa ini kami tengok tak puas-puas, bukan mudah nak sampai sini. Sempat juga imbau kembali hal semalam. Kechik yang tidur sebelah Apip beberapa kali vibrate. Ada juga yang bedengkur bunyi mengeletar. Beginilah kisah bawah flysheet.

“Mir, aku bagi ponstant baru laju. Itu lah dia gelakkan aku hari memula, lambat aja. Aku lambat pun tak makan bahan terlarang. Kalau athlete ni dikira disqualify” mula Deeno. “Penggunaan pil paint killer hanya akan diberi jika masa perlu aja. Kekuatan terletak pada hati bukan pada kaki” sambung Deeno.”Mir kekuatan terletak pada postant.” Sambung Apip pula. “tu lah abang sendiri ndak dipangkahnya” tambah Deeno lagi.

"patut lah tak kurus-kurus naik gunung, makanan sedap2, memula daging black paper, malam tadi nasi ayam" Mir tukar perbualan.
“tu nak pangkah aku lagi lah tu” jawab Deeno.
“bang Teh ngan Che Din, bang Teh nampak slim lagi” pujuk Mir.

Pagi ni kami sarapan bihun goreng pula, Siap berkemas, jam 9:45pagi kami meneruskan ekspedisi. Andai hari ini kami dapat ke Kem Site H20 seperti jadual asal, lega rasa hati. Sasaran awal kami ke G. Gayong kira-kira 2 jam perjalanan tapi boleh jadi 4 jam, tegas Deeno.

Su, Apip suruh jalan dahulu memandangkan Su sering tiba lewat. Abg Zaini ikut langkah Su. “Pelah-pelan kayuh” sering dilaungkan Apip dari belakang Su dan Abg Zaini. 

Dua jam dah berlalu kami masih belum sampai simpang G. Gayung lagi. Abg Zaini akhirnya berhenti terus duduk.  Abg Zaini dah pecah mental, Su, Apip suruh tarik nafas dalam-dalam dan teruskan berjalan perlahan-lahan Su setuju dan meneruskan perjalanan.

Su yang berada diatas bukit melambai-lambai pada Abg Zaini dari jauh membakar semangat. Seketika kemudian kami tiba di simpang G. Gayung. Haversack kami tinggalkan disini, kami pergi ke G. Gayung yang hanya 5 minit perjalanan dari sini.

Jam 12:00 tgh baru kami tiba di G. Gayung. “huh, nak mangkat” rungut Meymir yang baru tiba setelah berjalan di kelompok belakang. Habis bergambar kami. Tinggalkan G. Gayung.

Selamat Tinggal Korbu - Gayung

Sasaran kami seterusnya Kem Cerek untuk makan tengahari dan mengambil air. Trek menurun dan tak terlalu curam. Su masih Berjalan saing Eryn, Apip dan Deeno. 

Sambil berjalan sambil berbual. Banyak juga yang dirungutkan Su. Su yang tak menyangka cabaran begini meluahkan rasa. Rasa tak selesa untuk trekking pun ada, buat tu , buat ni, Abg Besar yang suruh.

Su   : Tak sangka macam ni teruk
Apip: Kan hari tu (di Tasik Kelana Jaya) Abg Deeno dah
        kata, cabaran macam mendaki dari Kuala Tahan ke
        G. Tahan.
Su   :Su mana pernah mendaki dari K. Tahan, lalu pun tak
        pernah, Su dulu pergi (G)Tahan ikut Merapoh
        -Merapoh.
Apip: Hah! Baru sekarang nak bagi tau, hari tu buat
        macam paham aja.
Su   :emm
Apip:Oooo patutlah orang jogging 3 bulatan tasik Su
        jogging keliling gelanggang badminton aja. 

Tiba-tiba Su tergeliat lagi. Kedua belah kaki dah tergeliat, satu tergeliat masa hari pertama lagi ketika river treking. Eryn membantu Su bangun, berehat seketika dan meneruskan perjalanan lagi. Su janji akan lebih hati-hati bagi mengelakkan keadaan yang tak diingini.

Tiba di Kem Cerek jam 1:30tgh, beberapa orang dari kami turun ke sumber air. Kami diminta mengisi penuh botol air. Sumber air di kem cerek cukup jauh dan curam. Abg Zaini yang baru nak turun, Apip tegah dari terus turun. Ramli yang tergelincir masa turun terpaksa naik kembali.

Roti nan dan kari menjadi alas perut kami. Dua pac lagi roti nan gagal dijumpai. Tak ada seorang pun mengaku pikul. Maggi mee dimasak untuk mencukupkan makanan. “Sudahlah roti pita yang dipesan, roti nan yang dibeli Che Din, 2 buku roti paun lagi, pun udah di ngap” rungut Eryn.

Sejam berehat di kem Cerek, kem yang ditandakan dengan sebiji cerek, kami bergerak. Apip & eryn bergerak ke dahulu supaya tugas memasak mudah kami uruskan.

Tepat jam 6:30ptg Apip tiba di puncak G. Juntion, 4 jam treking seperti yang dikatakan Deeno. Seketika kemudian Faizul pula tiba diikuti Mas dan Meymir. Gelak besar Meymir dapat tiba lebih dahulu dari abangnya Deeno tanpa menggunakan bahan terlarang.

Sunset arah G. Gayung & G. Korbu nampak menarik sekali. Gunung berlatarbelakangkan warna jingga senja memukau mata. Keindahan hanya dapat dirakam dalam kotak fikiran. Kamera yang Apip bawa gagal berfungsi dari Dam lagi. 

Faizul:   Dah sampai ke kita?
Apip:    Belum lagi, ni baru G. Junction
Faizul : Abis tu kenapa tak jalan terus?
Apip:    Tunggu dulu, tunggu arahan Deeno dulu.

Jam 8:30mlm Deeno yang bertindak sebagai sweaper tiba dan terus umumkan, bermalam di puncak Junction. Bergegas kami memasang Fly dan menukar pakaian.

Semua ration dikumpulkan kembali untuk memudahkan proses memasak. “ ehh siapa tadi letak roti nan.” Jerit Eryn. Ramli yang mengetahui siapa gerangan yang membawa roti nan merahsiakan atas sebab-sebab peribadi walau didesak Kechik. “Tak pa, siapa yang lapar esok-esok, dia akan ingatlah” Apip sejukkan suasana.

Selesai makam malam, majlis suaikenal diadakan. Apip mula memperkenalkan diri tanpa banyak cerita. Seorang demi seorang memperkenalkan diri. Su sekuntum bunga belum berpunya menjadi usikan. 

“Saya Kepten Mohd Zaini Kadir …” Abg Zaini memperkenalkan diri. Zamir yang dipanggil Meymir baru 16 tahun dan kali pertama terlibat dengan aktiviti mendaki. Sambil-sambil sessi suai kenal, Man yang duduk di hujung flysheet sibuk bermain dengan tikus gunung. 

Faizul yang agak pendiam dan masih solo, mendapat galakan penuh dari ibubapa. Azhar  yang datang berdua dengan Mas sememangnya menanti cabaran sebegini. 

Episod IV :  Menyusup akar

Lega pagi Isnin, 26 Dis ini langit cerah seperti di G. Korbu, panorama hijau berbalam-balam. Pencawang diatas gunung menandakan G. Berinchang, CH jelas kelihatan. Dihadapannya sudah tentu G.Irau. G. Yong Belar masih jauh untuk dijejaki.

8:45pagi kami meninggalkan puncak G. Juntion. Plastik-plastik kami bakar. “Roti nan pun cuba dilonggok di tempat bakar untuk menghilangkan bukti” jerit Deeno. Tidak siapa yang mengaku bawa roti nan, dan tidak siapa yang berani ambil semula.

Trail dari G.Juntion, banyak yang menurun, walau ada kami lintas beberapa puncak antaranya puncak yang tidak bernama dan hanya dikenali Puncak 6852’, 

Cabaran awal hari ini, kami tepaksa menyusup celah-celah akar kayu, ada terowaong bawah akar kayu dan cerun-cerun yang curam.

Jam 12:15tgh kami dah tiba di Sg. H20. kalau mudik kehilir akan sampai ke Kem H20. Kami berhenti untuk makan tengahari disini atas arahan ketua ekspedisi. “Masak dekat dengan sungai” arah Deeno.

Baki roti nan ditambah dengan cekodok dijadikan sajian tengahari. Sweaper sampai di sini jam 2:30 ptg. Arey terus mengambil alih memasak cekodok. 

Dingin air sungai, membuat beberapa teman teruja untuk mandi. Su diarah merendam kaki dalam sungai bagi membolehkan terus survive. 

Cekodok panas cukup laku, Abg Zaini hanya lalu menjeling aja. Apip paksa juga jamah lantas diambilnya sedikit. Habis cekodok dimasak, Lantas Arey suruh dikemaskan dapur. Lama sungguh kami berhenti makan tengahari. Jam 3:50petang baru menyambung balik treking. 

Deeno yang merancang memintas laluan kem H20 tersasar lagi sekali. Kami tiba di kem H20 juga akhirnya. Terus kami diberi arahan meneruskan pendakian dan berkumpul semula dipuncak bukit.

Di puncak bukit kami diberi sasaran untuk terus ke puncak G. Yong Belar. Ramli, Meymir, Man, Azhar dan Man pergi dahulu diikuti yang lelain.

Hampir tiba senja, Apip, Eryn dan Arey mendahului teman-teman yang lain. Pendakian terasa cukup jauh. Tidaklah jauh kami meninggalkan kumpulan Meymir, tapi waktu senja dan malam membuatkan kami malas membalas laungan mereka.

Jam 9:30malam, Apip, Eryn dan Arey tiba di Kem Kuali, last water point sebelum ke G. Yong Belar. Deruan air yang kuat menandakan sumber air tidak kering. Angin begitu kencang dan dingin sekali. 

Eryn memujuk untuk bermalam di Kem Kuali memandangkan teman-teman yang lain belum tiba lagi. Entah pukul berapa baru boleh sampai sini, apatah lagi untuk terus ke Puncak Yong Belar. Sasaran yang diputuskan Deeno adalah puncak Yong Belar, akhirnya kami teruskan juga setelah undian 2 nisbah 1.

Tenaga makin berkurangan rasanya, Apip terpaksa mendaki bertongkatkan lutut dan siku. Seksa hendak sampai ke Yong Belar. Nampaknya jersi kuning terpaksa diserah pada Eryn pula. 

Setengah jam sudah kami dari Kem Kuali, Eryn dan Arey mula berbelah bagi samada hendak berpatah balik ke Kem Kuali memandangkan seksanya Apip mengharungi cabaran ke Yong Belar apatah lagi teman-teman lain seperti Abg Zaini, Su dan Fairuz.

Biar patah kaki, semangat jangan patah. Apip terus berkeras meneruskan pendakian ke puncak Yong Belar. Perlahan-lahan kami mendaki sambil menyuluh jalan.

Akhirnya, jam 10;30mlm kami jejak kaki ke puncak G. Yong Belar. Lega dihati tak terkira. Arey yang masih bertenaga segera pasang flysheet sambil dibantu Apip. Siap saja. Kami salin pakaian dan masak air. 

Hendak memasak untuk teman-teman yang lain, ration belum sampai. Pekena air panas dan makan bubur segera yang kami ada sambil menunggu dibawah flysheet. 

Tidak lama kemudian kami dengar laungan suara, terus kami sahut. Beberapa minit kemudian muncul Meymir, Ramli dan Man. Air kami hulurkan. 

Merungut Meymir,“Mir ingat jauh lagi, tu yang berhenti masak maggi, Yelah, panggil tak jawab-jawab”. “Abih, dah memalam terpekik-terlolong” balas Apip.

Tak daya nak layan, Apip dan Arey sambung tidur. Eryn sibuk tolong apa yang patut. Peserta akhir sampai puncak jam 2:30pagi. Eryn masih sibuk memasak mee segera bagi menyegerakan masakan siap.

Episod V: Yong Belar - Keluar ke CH

Seawal pagi Apip dah bangun, ramai lagi yang masih terbungkang. Yang tidur balik pun ada. Lega rasa dah berda di puncak Yong Belar mengikut jadual asal. Cuma jadual untuk treking jam 8 pagi rasanya seperti mustahil.

Segera kedapur Apip, tanak nasi dan jerang air. Cuaca cerah sekali lagi, membolehkan kami menikmati panorama indah, matahari terbit. “Dulu ada tiang besi kat sini” Deeno kabarkan kepada kami tanda puncak G. Yong Belar.

“Ahhh, semua jari dah bengkak, tak kira, esok nak masuk wad juga” rengek Su dari dalam khemah. “Biasalah tu, tak ada apa tu, dah keluar, makanan dah siap.” Jawab Apip.  Siap masak nasi, kawan-kawan dikejutkan untuk makan. Menu nasi putih berlauk sambal, Sayur kobis masak lemak dan telur dadar serta ikan masin. Air teh, seperti biasa disediakan Kechik.

Siap makan semua Apip & Eryn sediakan nasi goreng pula untuk bekalan tengahari. Kechik membantu menyediakan 14 bungkus nasi goreng.

Sampah-sampah dibakar, botol-botol air juga turut dicampak kedalam api. Mentang-mentanglah dikatakan hari ini akan keluar dari hutan. Entah siapa turut menbakar botol berisi sedikit minyak. Tak dapatlah nak buat nasi goreng selepas ini. 

Puas bergambar di G. Yong Belar, jam 11:00 pagi, Deeno yang mengepalai ekspedisi meninggalkan puncak. Apip, Ramli & Arey pergi ke view point untu melihat G. Challi (Pondok) dan G. Tiga Negeri memandangkan kami dikatakan tidak akan melalui gunung ini.

Pulang dari view point, teman-teman yang lain kembali ke puncak. Deeno kabarkan tak jumpa simpang ke trek baru keluar dari Yong Belar. Arey kemudian menunjukkan jalan ke anak Yong Belar, simpang ke trek baru ada belah sini katanya.

Kem kasut menjadi sasaran kami untuk berkumpul semula. Sedikit demi sedikit kami meninggalkan puncak G. Yong Belar. Laluan kami agak landai, tak seksa seperti semalam.

Jaun berjalan, Kem kasut yang disebut-sebut tak kunjung tiba. Jam 12:30tgh kami sampai di satu puncak, ada tetulis Mt. Gurkha. Hati dah terasa akan sampai kem Gurkha di bawah nanti. Tiada pilihan, Deeno arah diteruskan perjalanan.

Abg Zaini nampak cukup cergas hari ini, almaklumlah hati dah hendak pulang. Seorang-seorang Abg Zaini cucuk. Turun naik, turun naik bukit selepas berhenti makan tengahari, akhirnya kami lintas sebatang anak sungai dan terdapat kem disebelahnya. “Kem Gurkha!” semua terkejut tengok tanda yang dipasang di kem ini. 

Deeno yang sampai, kemudian beri sasaran ke G. Challi (Pondok) memandangkan kem site G. Triangle agak kecil untuk kami. Gambaran trail ke Challi dimaklumkan. Bekalan air disuruh diisi dari sini. Ramai diantara kami sudah tidak ada botol air. Nasib baik ada sebiji botol besar ditinggalkan di kem ini.

Kechik sukarela memikul penuh botol besar yang digantung di kem ini. Mas pula meminta izin mengisi separuh botol 4 liter yang dibawanya. Meymir yang pada mulanya mengatakan sudah tiada botol akhirnya mengeluarkan botol kecil setelah dimakumkan siapa tidak donate air tak makan malam nanti.

Rasa lega dihati kami dapat mendaki G. Challi dan G. Triangle. Apip, Azhar, Mas, Ramli dan Man masing-masing menyuarakan rasa gembira.

Seawal 5:30 petang kami dah tiba di puncak G. Challi. Kawasan puncak utama kami putuskan untuk dirikan flysheet dan ada satu kawasan terlindung selesa untuk satu khemah kami putuskan untuk khemah kaum ibu. Che Din dihubungi menyatakan keadaan kami dan untuk menguruskan 4x4 yang akan menjemput kami ditukar ke tengahari esok.

Bergotong-royong kami sama-sama. Abg Zaini tiba aja, flysheet sudah siap.  Siap kami menyediakan dapur untuk memasak. Beras ketupat extra yang Apip bawa nampaknya akan jadi bubur nasi. 

Su dan Fairus yang dibelakang tiba dipuncak jam 8 malam. Malam ni kami makan bergelap memandangkan bekalan gas tinggal sedikit. Seperiuk bubur nasi menjadi sajian kami.

Episod VI: Jejak ke Triangle

Langit masih cerah dipagi Khamis, 29 Dis. Semua seperti tidak sabar keluar dari hutan. Jam 8.30 pagi kami sudah meninggalkan puncak. 

Sejam kemudian kami tiba di puncak Triangle juga dikenali G. Tiga Negeri. Gunung yang membahagikan 3 buah negeri, Pahang, Kelantan dan Perak. Batu Aras diletakkan dipuncak gunung ini. “banyaklah gunung aku naik, ingatkan G, Korbu, G. Gayong dan G. Yong Belar aja” sebut Ramli yang sibuk nak tick gunung yang telah didaki di baju Cabaran Gunung-gunung Malaysia – OGKL..

Dari puncak Tringle kami lalu menyusur sempadan. Nombor pada batu kami perhatikan. Sampai di satu palong air, Trail ikut sempadan ditutup, menyusur sungai pula kami, jenoh juga berjalan atas batu-batu yang berlumut. Tanda dari MPK juga ada sepanjang laluan ini.

Kami keluar dari trail sekitar jam 2ptg. Trail ini akhirnya mati di jalan raya ke Dam. 4x4 yang tunggu kami, membawa kami ke Dam untuk membersihkan diri. Terlepas kami dari azab turun beratus anak tangga di Dam. 

Memandangkan sudah agak lewat. 4x4 disuruh menghantar kami terus ke stesen bas Tanah Rata. Kami pulang ke KL. Setelah transit ke Ipoh. Di puduraya Sessi penutup diadakan, kami bermaaf-maafan. Bersurai.

* G. Berhid, sumber Jabatan Ukur dan Pemetaan, 1996.

 Klik Gambar: 

  - apip embi -

Foto Hiasan


0 comments:

Post a Comment