logo
Gambar-gambar Trip 2018

Logo OGKL

Logo OGKL

Saturday, 27 July 2013

L07: Ekspedisi Transtitiwangsa V2 Reverse

G. Yong Belar - G. Gayong - G. Korbu - G. Yong Yap

senarai peserta seramai 24 orang... 
16 orang POLIKU 
1 orang peserta OGKL 
6 orang AJK OGKL 
1 orang guide merangkap AJK.

11HB OGOS 2007 (Sabtu)

4.00 pm         
Menaiki bas dari Puduraya ke Cameron Highlands. Kami dimaklumkan bas telah setengah jam menunggu kami. Pihak OGKL berjaya memujuk pemandu bas agar tunggu sehingga kami tiba. Namun masih ada seorang lagi peserta dari Muar yang tak kunjung tiba. Peserta telah tiba tetapi menunggu ditempat yang salah. Pemandu tidak mahu tunggu lagi dan mula bertolak. Salah seorang dari krew OGKL bertindak mencari peserta tersebut dengan motosikal dan meminta bas untuk tunggu mereka di Tol Pudu. 

 Dapat berita seorang lagi peserta Ahmad terpaksa membantu kawannya yang kemalangan jalanraya di lebuhraya Utara Selatan. Kami dimaklumkan beliau akan pergi sendiri. 

9.00 pm         
Tiba di stesen bas Tanah Rata, Cameron Highlands. Mengikut perancangan kami akan naik sebuah lori ‘pick up’ membawa kami terus ke tapak perkhemahan pada hari itu. Mujur ada pihak yang sudi membantu untuk membawa kami dengan menggunakan bas. 

 10.00 pm       
Singgah makan di Brinchang dan membeli keperluan terakhir sebelum masuk ke tapak perkhemahan. Kami diarahkan untuk mengumpul barangan yang hendak ditinggalkan dan tidak dibawa sepanjang XPDC.

12.30 am       
Tiba di simpang masuk ke tapak perkhemahan dalam kegalapan tanpa lampu jalanraya. Kami diarahkan untuk menurunkan barang dari bas. Dapat maklumat yang kami sebenarnya berada di simpang masuk yang salah. Kami naikkan semula segala barang tanpa soal jawab dalam keadaaan terpinga-pinga memandangkan tidak seorang pun di antara kami yang pernah tiba di tapak perkhemahan .

1.00 am          
Tiba di simpang yang sebenarnya, kali ni ada lampu jalan yang menerangi jalan semasa kami memindahkan barang dari bas ke lori ‘pick up’. Sebahagian peserta dihantar terlebih dahulu sementara kami yang lain menunggu di bawah lampu jalan dalam kesejukan, Sebehagian dari kami membayangkan yang kami akan mula trekking pada pagi itu, jadi ada yang telah berpakaian untuk trekking dengan seluar pendek dan ala kadar.

2.30 am          
Ahmad menyertai kami , kini lengkap lah kumpulan kami seramai 16 orang , 6 orang krew OGKL dan 1 orang juru pandu. Tidak lama kemudian lori pick up yang menhantar kumpulan yang pertama telah kembali dan kami mula bertolak ke tapak perkhemahan . Perjalanan melalui kebun sayur, jalan agak teruk dan kami terpaksa berpegang pada pelang besi lori dan sekali sekala menundukkan kepala mengelak daripada ranting dan dahan pokok mengenai kami. Kami dimaklumkan yang jalan masuk sengaja tidak dibaiki bagi mengelak ada lori masuk dan mencuri sayur pekebun.

3.15 am          
Tiba di tapak perkhemahan Blue Valley di Empangan TNB. Khemah telah siap dipasang, mata dan badan terasa amat mengantuk dan letih. Aku pun terlelap.

12hb Ogos 2007 (Ahad)

6.30 am          
Kami dibangunkan dan diarahkan untuk bersiap. Pihak OGKL sedang sibuk menyediakan makanan pagi dan bekalan makan tengahari semasa perjalanan. Ini merupakan hari pertama XPDC ini. Kami mula diagihkan barang makanan yang akan digunakan sepanjang XPDC mencabar ini. Kebanyakan peserta agak terkejut dengan kuantiti barang yang di bawa, tapi tidak bagi aku. Anggaran aku tidak kurang dari 20 kg yang harus digalas untuk hari pertama ini.

Sarapan pagi kami dihidangkan dengan nasi putih dan sambal ikan bilis. Kami turut dibekalkan dengan roti kebab untuk makan tengahari di pertengahan perjalanan.

9.15 am          
Fuad selaku jurupandu memberi taklimat perjalanan pada hari ini. Perjalanan dijangka akan mengambil masa selama 8 jam, ini bermakna kami akan tiba pada waktu malam. Para peserta mendengar dengan harapan dapat merancang strategi dan persiapan mental sebelum mula mendaki.

Fahmi selaku Ketua Program memberi kata-kata aluan dan memperkenalkan ahli krew OGKL yang akan membantu sepanjang XPDC mencabar ini. Mereka terdiri dari Yasser, Adzmin, Ah Chong , Ahmad, Abi dan Muzammil,

Dengan ucapan Bismillahirrahmannirahim dan solawat atas Nabi Junjungan S.A.W kami memulakan perjalanan. Ujian pertama,  kami terpaksa melayan anak tangga sebanyak 258 anak tangga. Kemudian trek seterusnya agak landai dengan meniti di atas batang paip PVC yang agak berselirat dan licin. Langkah di atur dengan berhati-hati. Khuatir kaki tersepit di antara batang paip yang boleh membuat kami jatuh dengan beban yang berat di bahu.

1.30 pm         
Kami tiba di Kem Tudung Periuk . Salah satu dari sumber air, di situ kami berhenti rehat untuk makan tengahari roti kebab yang dibekalkan pagi tadi. Perut yang lapar membuatkan roti kebab lenyap sekejap sahaja. Perjalanan diteruskan lagi ke Kem Kasut.

6.00 pm         
Kami telah berjalan lebih dari 3 jam, laluan mula mendaki dan lebih tenaga perlu dikerah untuk melepasi bukit-bukit yang ada. Di wajah peserta jelas tergambar wajah keletihan dan lesu memandangkan rehat yang tidak cukup hari yang sebelumnya, Tiba di Kem Kasut punca air terakhir. Kami di minta untuk membawa sebotol besar air untuk kegunaan OGKL memasak di Puncak Gunung Yong Belar. Hari mulai gelap,’ head lamp’ telah kami keluarkan semasa berhenti rehat di Kem Kasut. Bahu mulai terasa sakit akibat haversack kami yang terlalu berat. Pendakian pada waktu malam amat berbeza senarionya. Ini kerana laluan kami tidak kelihatan dan kami tidak dapat menjangka berapa jauhkah lagi perjalanan. Kami hanya mampu bersabar dan terus melangkah dengan harapan puncak Gunung Yong Belar hanya di sebalik pokok besar itu sahaja. Sesekali terdengar suara menjerit dengan harapan rakan yang telah tiba di puncak akan menyahut panggilan kami. Ini bertujuan kami dapat menjangka berapa jauhkah lagi laluan ini akan berakhir.

8.30 pm         
Setelah berhempas pulas hampir seharian akhirnya kami tiba juga di Puncak Gunung Yong Belar. Gara-gara keletihan yang amat sangat, tidak ada sambutan yang di buat. Fikiran kami hanya rasa bersyukur selamat tiba di tapak perkhemahan, ini bermakna perjalanan kami untuk hari itu telah berakhir. Perserta yang telah tibda dari awal ada yang sedang tidur di dalam khemah. Makan malam itu kami disajikan dengan ayam masak merah dan sayur campur, kami makan dengan amat berselera. Esok belum pasti.

13hb Ogos 2007 (Isnin)

6.30 am          
Pagi ini kami bangun dengan semangat baru. Cuaca pagi itu sangat baik. Kami boleh lihat dengan jelas laluan yang akan kami lalui pada hari- hari akan datang. Kami dimaklumkan perjalanan pada hari ini lebih mencabar berbanding semalam. Sarapan pagi kami disajikan dengan roti canai dan kuah dal serta ayam masak merah pada ketinggian 7156 kaki. Terasa betul suasana rumah bila tiba waktu makan . Ini kerana kami tetap makan seperti di rumah walaupun berada di tengah-tengah hutan belantara.

10.15 am       
Perjalanan hari ini diteruskan lagi ke Kem Junction pada ketinggian 6796 kaki. Menurut Fuad perjalanan akan mengambil masa 4 jam untuk sampai ke Kem H2O dan 3 jam ke Kem Junction. Puncak Gunung Yong Belar kami tinggalkan untuk destinasi yang seterusnya. Perjalanan mula sedikit menuruni ke lembah dan melalui Kem Kuali (punca air) yang hanya mengambil masa 20 min dari puncak Yong Belar. Selepas Kem Kuali laluan mula mendaki. Sekali sekala perjalanan kami terhenti apabila kulit dan telinga kami tersangkut duri. 

2.40 pm         
Hujan turun renyai-renyai dan kemudian agak lebat. 

3.30 pm         
Tiba di puncak H2O. Puncak H20 hanyalah sebuah kawasan seluas 2 meter persegi, Sekitarnya dipenuhi dengan semak belukar.

4.15 pm         
Tiba di kem H2O. Hujan masih turun renyai-renyai. Masa 4 jam yang di beritahu sebelum ini sebenarnya mengambil masa 6 jam. Masa yang diberikan sebenarnya mengikut kelajuan dan stamina jurupandu, bagi kami yang stamina tidak seberapa perlu tambah 2 jam dari masa yang diberi.

Perbincangan dibuat samada hendak meneruskan perjalanan ke Kem Junction atau bermalam sahaja di Kem H2O. Fuad turut memaklumkan yang ada laluan yang merbahaya dalam keadaan licin jika perjalanan diteruskan. Aku turut melihat prestasi peserta yang dibelakang. Aku menjangkakan yang mereka tidak akan tiba pada jam 7.00 malam. Memandangkan seorang peserta sudah mula menunjukkan rasa putus asa dan menyesal kerana mengikut XPDC kali ini. Atas factor keselamatan aku membuat keputusan untuk bermalam sahaja di Kem H2O.

5.50 pm         
Masih ada lagi peserta yang belum sampai, selesai solat asar aku meminta Noh dan Zaid untuk menghantar bantuan.

7.10 pm         
Noh dan Zaid tiba bersama haversack 2 peserta. Aku dimaklumkan yang mereka belum tiba lagi di Puncak H20. Ini bermakna mereka terlalu jauh lagi dari tapak perkhemahan. Dalam usaha membantu peserta yang lewat, mereka terlupa meninggalkan ‘head lamp’ kepada mereka. Syahrin dan Hafiz sudi menghantar head lamp , memandangkan Noh kelihatan amat letih. Zaid turut sama walaupun telah di larang, kerana aku khuatir akan menjejaskan beliau keesokkan harinya.

8.45 pm         
Syahrin dan Hafiz tiba bersama peserta yang dibelakang sekali. Kami difahamkan beliau sudah putus asa dan ingin pulang. Mujur berjaya ditenangkan oleh pihak OGKL. Perkara sebegini merupakan lumrah bagi yang tidak biasa aktiviti lasak.

14hb Ogos 2007 (Selasa)

6.15 am          
Seawal jam 6 pagi kami telah dibangunkan dan diarahkan untuk bersiap dengan segera. Ini kerana perjalanan hari ini lebih jauh berbanding hari sebelumnya. Apatah lagi sasaran semalam untuk tiba di Kem Junction tidak kesampaian apabila terdapat peserta yang tiba lewat di tapak perkhemahan. Ini bermakna perjalanan hari ini berganda bagi mengejar masa yang telah terbuang pada hari yang sebelumnya.

Setelah berbincang, barang seorang peserta yang sering lewat telah diagihkan kepada Noh,Syahrin,Hafiz dan Zaid. Tindakan sebegini dengan harapan akan membuat peserta tersebut mampu bergerak lebih pantas. Peserta tersebut hanya membawa “sleeping beg” dan “ground mat” sahaja.

8.50 am          
Kami meneruskan perjalanan hari ini ke Kem Junction. Awal-awal lagi dah mula mendaki dengan laluan yang agak pacak. Laluan adakalanya terpaksa meniti akar kayu licin gara-gara hujan semalam dan juga di bawahnya gaung yang agak dalam. Kami melangkah dengan hati-hati dan memastikan terlebih dahulu dahan pokok yang dipegang benar-benar kuat dan bukannya dahan reput.

9.40 am          
Kami tiba di punca air terakhir. Peserta mula mengisi botol-botol kosong untuk digunakan semasa memasak malam nanti. Noh , Zaid , Syahrin dan Hafiz berpakat untuk bergilir-gilir membawa air 10 liter. Kontena berisi air 10 liter dilketakkan di dalam beg Noh dan setiap 30 minit mereka akan menukar beg. Ini tidak termasuk sebotol besar air yang diwajibkan oleh setiap peserta. Perjalanan mereka nampak ceria meski pun berat apabila mereka trekking laksana sedang kawad kaki dengan arahan “kiri, kanan, kiri”. 

12.57 pm       
Kami tiba di puncak Junction. Makan tengahari kami pada hari itu mee hoon goreng yang telah dibekalkan sebelum perjalanan. Puncak Junction merupakan tapak perkhemahan pada hari itu. Kami diarahkan untuk bersiap bagi meneruskan lagi perjalanan ke Gunung Gayong dan Gunung Korbu. Kami hanya perlu membawa air minuman, makanan ringan , “head lamp” dan baju hujan.

3.00 pm         
Kami bertolak ke Gunung Gayong. Perjalanan kami dimulakan dengan trek yang menuruni selama 2 jam sehingga kami tiba di punca air terakhir. Fikiran aku mulai terdetik , ini merupakan laluan yang sama sekembali dari Puncak Korbu nanti. Laluan kami melalui kawasan berbuluh kecil dan terdapat buluh yang berjuntaian yang akan membahayakan peserta sekembalinya dari Puncak Korbu nanti sekiranya di waktu malam. Tangan aku mematahkan buluh yang tercapai dek tangan aku.

5.00 pm         
Kami tiba di Kem Cerek yang merupakan punca air terakhir sebelum ke Gunung Gayong dan Gunung Korbu. Perjalanan ke sumber air mengambil masa 20 minit menuruni ke lembah dan 45 minit untuk kembali semula ke Kem Cerek.

5.33 pm         
Aku mengarahkan peserta wanita untuk jalan terlebih dahulu tanpa menunggu peserta lelaki sampai dari mengambil air. Laluan kembali mendaki setelah menuruni 2 jam sebelumnya. Kami tiba di satu kawasan lapang yang kami sangkakan Puncak Gayong tapi tiada papan tanda menandakan yang ia puncak Gayong. Apa yang ada hanyalah sekeping plet besi tertulis “PROTON” dan juga butiran lain yang kami sendiri tidak faham, lalu kami namakan puncak itu sebagai puncak Proton sebagai rujukan kami sahaja.

6.12 pm         
Langsung tidak terasa perjalanan kami, kami telah tiba di Puncak Gunung Gayong. Setelah bergambar bersama ‘banner’ dan bendera PKS kami meneruskan perjalanan ke Gunung Korbu. Sebelum bertolak Fuad bertanya 2 kali sama ada hendak meneruskan perjalanan ke Gunung Korbu atau tidak. Dari wajahnya aku dapat baca seperti ada sesuatu yang disembunyikan dari kami. “Gunung Korbu salah satu dari agenda utama kami, kenapa pula kami tidak pergi, apatah lagi Korbu sudah terbentang di hadapan mata”, jelas ku.

6.50 pm         
Dari Puncak Gunung Gayong kami menggunakan jalan yang sama dan tiba semula ke puncak Proton , di situ sekali lagi Fuad bertanya, “Betul ke cikgu nak pergi?” “Yes”, jawabku ringkas sahaja tanpa ingin memikirkan sesuatu yang negative walaupun naluri mulai berdetik. Setengah jam trekking hari mulai hujan beserta angin. Sebilangan  peserta mula mengeluarkan baju hujan masing-masing. Tapi aku tidak, walaupun rasa sejuk mula menggigit tapi fikiran aku waktu itu tidak lain focus terhadap ke puncak Korbu semata-mata. Waktu itu kami bergerak dalam kumpulan kecil seramai empat orang, Aku, Noh, Irwan dan Khai. TIbda di satu ketika aku benar- benar tidak tahan dengan sejuknya di Banjaran Titiwangsa. Waktu itu baru baju hujan pakai buang aku sarung. Itu pun hanya dapat mengurangkan sedikit rasa sejuk. Disebabkan keadaan yang amat sejuk itu membuat kan aku cepat merasa putus asa kerana perjalanan di dalam gelap tanpa mengetahui jauhkah lagi lebih menguji kesabaran kami.

Dalam curahan hujan dan kegelapan malam kami mendengar laungan rakan yang berada di hadapan diikuti dengan suluhan lampu picit. Semangat kami sedikit pulih dengan anggapan yang kami tidak jauh lagi dari puncak Gunung Korbu. Namun, laluan kami sekejap mendaki dan sekejap menuruni lurah, malah laungan kami kali ini kini tidak berjawab membuatkan semangat kami semakin menipis.

9.10 pm         
Di saat rasa kecewa dan putus asa mulai menguasai diri kami, kami melihat ada suara orang di hadapan dan suluhan lampu picit. Kami tiba di puncak Gunung Korbu dalam hujan. Rakan-rakan yang tiba awal sedang duduk mengelilingi lilin masak yang dibakar untuk memanaskan badan. Laungan ‘Allahu Akbar’ bergema dalam kegelapan dan hujan yang masih lagi tidak mahu berhenti. Rasa syukur yang amat sangat sebaik kami tiba di puncak Korbu. 

9.55 pm         
Walaupun belum puas berada di puncak Korbu , tapi disebabkan rasa sejuk dan khuatir ada dikalangan peserta akan diserang ‘hyperthermia’ dan kejang otot kami membuat keputusan untuk mulai menuruni puncak Korbu dan kembali ke Puncak Junction (tapak perkhemahan). 

Kami bergerak dalam barisan yang panjang dalam kegelapan. Sekali sekala peserta dibelakang meminta untuk berhenti rehat. Dalam fikiran aku sekarang seandainya berhenti akan membuatkan mereka lebih mengantuk dan akan tidur, lebih buruk lagi pengsan. Perjalanan pada waktu malam lebih mengambil masa berbanding hari cerah. Dalam gelap dapat aku tahu rasa letih dan kelaparan yang amat sangat serta mengantuk dikalangan peserta. Perjalanan kami diteruskan lagi tanpa sebarang bunyi dan suara, sejam trekking hujan telah berhenti tapi angin masih bertiup.

Terlintas dalam fikiran aku, aku percaya kumpulan yang di hadapan pastinya telah masuk khemah dan tidur akibat keletihan yang amat sangat. Satu soalan yang terlintas ialah “Siapa akan menghantar bantuan ?”, sedangkan individu yang sebelum ini banyak membantu ada bersama-sama kami waktu itu. Lalu aku membuat kjeputusan dengan Noh, “kita mesti speed dan tinggalkan mereka” Ini bertujuan untuk kami membuat persiapan setibanya mereka di Kem Junction. Aku meninggalkan sedikit kismis buat 2 peserta wanita yang sudah tidak bermaya.

Aku dan Noh meneruskan lagi perjalanan. Sesekali kami keliru dengan laluan yang di tanda oleh Fuad. Mujur tindakan aku mematahkan buluh di awal perjalanan dapat dijadikan panduan , ini kerana ada antara buluh yang tidak dapat dipatahkan.

4.15 am          
Aku tiba di Puncak Junction dan memaklumkan pada Fahmi keadaan 2 peserta wanita yang sudah tidak bermaya dan terpaksa dipapah.

5.00 am          
Zaid tiba untuk meminta bantuan. Pihak OGKL menyediakan air panas dan sedikit biskut untuk diberikan kepada 2 peserta wanita. Zaid memaklumkan sebaik saya meninggalkan mereka, salah seorang peserta wanita telah pengsan. Mereka telah bertindak memasang unggun api untuk memanaskan badannya. Tidak lama kemudian pihak OGKL yang bertindak sebagai ‘Sweeper’ telah tiba dan menghulurkan bantuan dengan memberikan ‘power bar’ dan buah kurma kepada para peserta. Selesai makan Zaid turun semula untuk menghantar air panas dan biskut.

5.55 am          
Kumpulan terakhir tiba. Benarlah seperti yang dikatakan keadaan 2 peserta wanita tersebut amat tidak bermaya dan terpaksa di papah oleh 2 peserta lelaki lain. Syukur Alhamdulillah semua selamat tiba. Selesai solat subuh kami tidur bagai seorang bayi pagi itu.

15hb Ogos 2007 (Rabu)

12.00 pm       
Buat pertama kalinya dalam XPDC kali ini kami bangun agak lewat. Keadaan agak sunyi tanpa suara melainkan suara dari pihak OGKL yang sibuk memasak di khemah mereka. Pihak OGKL memberi kelonggaran kami pada hari itu memandangkan kami telah kena penangan Banjaran Titiwangsa yang agak teruk pada awal pagi sebelumnya.

2.15 pm         
Bertolak ke Kem Agas.

2.55 pm         
Berhenti di Puncak Anak Junction.

6.30 pm         
Tiba di Kem Agas pada ketinggian 1500 meter. Terdapat anak sungai yang mengalir . Dalam kegembiraan Saufi memaklumkan tapak perkhemahan yang sebenar perlu melepasi 3 buah bukit lagi. Jadi aku membuat keputusan untuk tidak berhenti. 30 minit berjalan baru tiba di tapak perkhemahan. Rasa terubat dengan air setelah sebelum ini air agak terbatas. Namun di Camp site kali ini , tapak agak terhad. Malam itu aku tidur sambil kaki aku menahan akar pokok bagi mengelak daripada aku berguling ke dalam anak sungai. Aku mandi buat pertama kali setelah 4 hari di dalam hutan. Kesejukannya tidak tergambar. Setiap kali aku menyiram pasti aku tercungap akibat kesejukan yang terlampau. Diibaratkan mencurah satu beg air bercampur ais ke badan aku.  

16hb Ogos 2007 (Khamis)

6.15 am          
Setelah mendapat rehat yang mencukupi dan perjalanan yang sebelumnya tidak begitu menduga fizikal dan mental kami. Perjalanan hari ini adalah lebih mencabar kerana perjalanan kami telah lari dari perancangan asal. Fahmi memaklumkan yang kami perlu kerja lebih keras untuk memastikan XPDC ini mengikut perancangan asal. Dalam erti kata lain perjalanan hari ini akan menuntut kami untuk ‘OT’ (overtime), itulah istilah yang digunakan oleh OGKL.Ini bermakna perjalanan hari ini paling jauh dan mencabar berbanding hari-hari sebelumnya. Sasaran hari ini ialah Puncak Kambing.

Untuk itu bagi menjamin kelancaran perjalanan seorang peserta wanita telah diagihkan barangnya dikalangan peserta lelaki lain, malah begnya turut diikat bersama beg Noh. Dia hanya perlu  membawa badannya sahaja. Seorang lagi peserta wanita hanya perlu membawa beg berisi ‘sleeping beg’ dan makanan ringan sahaja.

8.22 am          
Mulai trekking. Perjalanan hari ini benar-benar menguji kesabaran kami. Manakan tidak , banyak laluan hari ini menuntut kami untuk merangkak malah adakalanya meniarap. Bayangkan dengan beg yang berat dan besar di belakang kita terpaksa mengimbangi badan daripada tersangkut dahan-dahan pokok yang terdapat sepanjang laluan. Aktiviti merangkak dan meniarap mengambil masa 30 minit. Rentak kami agak terikat dan terkongkong akibat laluan sebegitu. Ada masanya aku mulai rasa bosan yang amat sangat kerana terpaksa membongkok berkali-kali dan membuat aku menjerit melepaskan kegeraman.

9.40 am          
Kami tiba di Bonsai Tengah. Laluan yang awalnya tadi menguji kesabaran, kini melalui kawasan berbuluh kecil. Bonsai Tengah hanyalah sebuah kawasan kecil yang terbuka. Terasa seronoknya apabila dapat merasai pancaran matahari setelah dibelenggu kesejukan semalaman tadi.

12.10 pm       
Perjalanan aku terhenti apabila terdengar suara mereka yang dihadapan. Dari suara dan riuh mereka dapat digambarkan betapa gembiranya. Aku tertanya samada telah sampai ke Puncak Kambing, tapi aku cepat berfikir yang perjalanan kami hanya baru 4 jam. Beberapa langkah berikutnya barulah terjawab mereka telah tiba di Puncak View. Salah satu puncak sangat cantik , aku berdiri di puncak yang lain dan dihadapan aku jelas kelihatan peserta dihadapan berada dipuncak yang lain . Kedudukan mereka aku anggarkan hanya 100 meter. Bayangkan sahaja satu puncak yang tinggi seluas kurang 2 meter persegi dan dikeliling oleh gaung yang sayup mata memandang. Hanya kelihatan tubuh-tubuh kecil yang bertenggek di puncak tersebut. Indahnya ala ini.

Untuk kepuncak tersebut kami perlu menuruni laluan bertali yang menegak. Kemudian dengan berhati-hati melalui laluan berbatu dan berakar. Aku terfikir kalau helicopter NURI sebesar itu pun sukar dicari, apatah lagi tubuh kami yang kecil. SubhanAllah, mintak dijauhkan segala mala petaka. Berada diPuncak View mengubat sedikit kesengsaraan kami setelah berada di dalam hutan beberapa hari ini. Semangat kami semakin berkobar-kobar untuk meneruskan lagi perjalanan. Setelah kami mengambil gambar dan video dari beberapa sudut menarik, Puncak View setinggi 5906 kaki kami tinggalkan dengan hati yang amat berat.

1.20 pm         
Kami tiba di Kem DGU. Campsite yang sepatutnya kami bermalam jika mengikut perancangan asal. Seorang peserta wanita mengadu seluruh tapak kaki nya sakit. Bila kami periksa, kesemua jarinya telah membengkak (blister) termasuklah kedua-dua tumit. Rawatan awal diberikan dengan membalut jari –jarinya dengan handyplast dan Noh memberikan sepasang stoking yang baru dan kering untuk ditukar. 

2.44 pm         
Tiba di Bonsai Semak pada ketinggian 6050 kaki. Aku hanya berhenti seketika untuk mengambil gambar dan video dan kemudian meneruskan perjalanan. Perjalanan sedikit menuruni lurah dan kemudian kembali mendaki untuk tiba di Puncak Belumut.

5.00 pm         
Kami tiba di Puncak Belumut. Perjalanan diteruskan lagi dengan kali ini laluan kami lebih banyak menurun berbanding tadi. Ini kerana kami difahamkan yang perjalanan kami akan melalui punca air terakhir sebelum tiba ke Puncak Kambing. Ini bermakna setiap punca air pasti melalui lurah atau lembah gunung.

6.00 pm         
Tiba di Kem Kacang. Kelihatan beberapa peserta sedang berbual kosong dan berlawak jenaka bagi meredakan ketegangan dan kepenatan. Stetelah berhenti rehat selama 30 minit aku meneruskan lagi perjalanan. Perjalanan kali ini keseluruhannya mendaki dan sangat jauh. Timbul persoalan bilakah penghujungnya laluan pacak ini. Dalam kesunyian, yang terdengar hanya bunyi angin suasana dipecahkan dengan suara ‘Uncle’ yang menjerit akibat laluan yang menguji kesabaran. Waktu itu aku berjalan seorang diri , cerita dari salah seorang peserta yang terserempak dengan tapak ‘maybank’ membuatkan aku teruskan sahaja pendakian tanpa henti. Rasa penat dan lenguh kaki tidak lagi aku hiraukan apabila rasa takut menguasai kepenatan. Nafas yang pada mulanya pendek kini semakin laju seiring jantung yang kencang mengepam darah keseluruh tubuh. Tiada lagi peluh yang mengalir akibat suhu yang mulai dingin.

Dalam keletihan terdengar sahutan lotong di lembah seolah mentertawakan kami.Tidak lama aku berjalan kelihatan Cie dan Wahida dan kami berpakat untuk tidak berpisah. 

9.00 pm         
Disaat kepenatan mulai menguasai diri suluhan lampu picit yang betul-betul dihadapan kami memberitahu yang kami telah tiba di Puncak Kambing. Tapak perkhemahan kali ini lebih terhad berbanding sebelum ini. Tapak khemah  aku berbonggol dan berlubang tapi aku lupakan soal keselesaan asalkan mata ini dapat ku pejam.

17hb Ogos 2007 (Jumaat)

9.43 am          
Setelah sarapan pagi kami meluangkan masa ke Gng Tok Nenek yang perjalanannya hanya mengambil masa 15 minit. Gunung Tok Nenek yang sebelum ini ku lihat sayup dari Puncak Gunung Yong Belar kini  betul-betul dihadapan kami. Menurut OGKL gunung ini turut dipanggil sebagai ‘Chair and Table’, ini kerana fizikal dan formasi batu di puncak Gunung Tok Nenek menyerupai kerusi dan meja. Keadaan dipuncak seperti di Puncak View tapi lebih luas. Kami tidak dapat lama kerana sasaran hari ini ke puncak terakhir iaitu Gunung Yong Yap. Hari ini aku bertekad untuk tiba sebelum hari gelap memandangkan hari ini hari terakhir di dalam hutan.

Kami bertekad untuk bermalam di puncak Yong Yap walaupun telah diberitahu punca air terpaksa menuruni ke lembah yang perjalanannya hamper 1 jam menurun dan perjalanan balik tentu sahaja berganda akibat terpaksa mendaki. Mujurlah Noh, Syahrin , Zaid dan hafiz sanggup memikul tugas berat itu untuk mengambil air bagi kegunaan yang lain. 36 liter air berjaya di bawa dari punca air oleh mereka berempat.

11.00 am       
Tiba di Puncak Kayong yang perjalanannya hanya mengambil masa 10 minit dari Puncak Kambing. Dihadapan kami terbentang Gunung Yong Yap yang berbentuk pyramid dan dapat aku bayangkan bagaimana laluan yang bakal kami tempuhi. Untuk sampai ke Gunung Yong Yap kami perlu melepasi beberapa bukit dan gunung yang lain terlebih dahulu sebelum pendakian sebenar.

11.50 am       
Tiba di Kem Lopak. Aku membuat keputusan untuk tidak berhenti mengambil air untuk menjimatkan tenaga. Bekalan air peribadi aku untuk hari ini telah aku bawa dari Kem Kacang lagi. Sekali lagi aku mulai jalan seorang diri.

1.40 pm         
Tiba di Puncak Bubu pada ketinggian 6476 kaki, tapak perkhemahan di sini lebih luas berbanding di Puncak Kambing. Aku hanya berhenti untuk mengambil beberapa keeping gambar dan video.

2.30 pm         
Berhenti makan di satu kawasan lapang setelah menuruni Puncak Bubu. Mee hoon tomyam menjadi habuan kami sebagai pengalas perut. Jam 3.15 petang aku meneruskan lagi perjalanan ke puncak terakhir kami.

5.20 pm         
Benarlah seperti telahan aku sebelum ini keadaan bentuk Yong Yap seperti pyramid  kali ini sekali lagi menguji kekuatan mental aku. Perjalanan yang dekat terasa kembali menjauh apabila laluannya berliku seolah melencong dari laluan kepuncak gunung Yong Yap. Sesekali aku terpaksa merangkak di bawah akar pokok yang gelap dan terdapat lubang hitam yang besar di bawah pokok. Terasa benar seperti ada ‘mata’ yang melihat aku.

Akhirnya syukur alhamdulillah aku tiba juga di Puncak Gunung Yong Yap sebelum hari gelap seperti aku sasarkan. Tapi suasana yang berkabus tebal menghalang aku dari melihat pemandangan yang menarik seperti yang dicanangkan oleh OGKL. Takpalah , dengan izin Allah S.W.T tidak ada yang dapat mengubah hakikat yang aku dah sampai ke puncak Gunung Yong Yap dengan selamatnya .

Selepas makan malam, kelihatan peserta yang membuat unggun api menyanyi seakan meraikan kejayaan dan XPDC ini telah berakhir. Malah ada yang mula berterima kasih sesame sendiri atas bantuan selama XPDC ini. Aku sekadar duduk dalam khemah dan bersiap untuk tidur , memandangkan perjalanan esok masih terlalu jauh. XPDC ini belum lagi berakhir…..Malam itu kami tidur pada ketinggian 7110 kaki dari paras laut.

18hb Ogos 2007 (Sabtu)

6.30 am          
Suasana pagi dan pemandangan tidak berubah. Keadaan masih berkabus tebal. Kami tidak mampu melihat apa-apa dari puncak Gunung Yong Yap.

1030 am        
Perjalanan hari ini kami difahamkan akan melalui perjalanan menuruni ke lembah sungai dan sangat jauh. Mulai turun dari puncak Yong Yap. Pada permulaan pergerakan aku, Noh dan Afdal agak perlahan, memandangkan terdapat laluan yang perlu melalui akar pokok dan merangkak. Semakin kami menuruni ke lembah, keadaan poko yang pada awalnya tadi dingin dan sangat berlumut semakin lama kelihatan pokok besar dan laluannya semakin meluas. Ini membolehkan kami bertiga untuk berlari sambil menuruni ke lembah. Pergerakan kami menjadi semakin laju dan berjaya mengejar kumpulan yang dihadapan.

Sayup terdengar bunyi jeram,rindunya aku untuk bermandian dan membersihkan diri. Rasa dingin jeram sudah mulai terasa. Akhirnya kami melalui 2 anak sungai yang bersatu menjadi satu untuk laluan seterusnya. Laluan seterusnya agak landai dan sedikit menurun.

3.00 pm         
Kami tiba di Kem Kereta. Buat pertama kalinya aku dapat mengejar Fuad dan kumpulan peserta yang paling depan. Kami difahamkan perjalanan akan mengambil masa lagi 3 jam.untuk sampai ke Pos RIngit.

6.00 pm         
Setelah berjalan tanpa mengetahui jauhkah lagi dan melalui lebih 25 anak sungai yang jernih melalui trek balak (paling aku benci) dengan berselipar akhirnya kami tiba di Pos RIngit . Kedatangan kami disambut beberapa anak orang asli yang bermain di titi sungai terakhir. Aku cuba merapati mereka dengan memberi mereka baki ‘chewing gum’ dan asam kepada mereka. Seronok melihat gelagat mereka merebut makanan. 

8.00 pm 
Kumpulan terakhir tiba dengan bantuan 4WD. Kemudian kami di bawa ke Kem Sungai Pauh tempat di mana kami bermalam. Menaiki belakang 4WD satu pengalaman yang amat merisaukan dengan pemandunya langsung tidak memikirkan keadaan kami dibelakang yang huru hara cuba mengimbangi badan akibat kenderaan yang dipacu sangat laju melalui jalan yang berliku.

12.00 am       
Tiba di tapak perkhemahan Sg Pauh kami disambut OGKL yang mula berkumpul dari tengahari lagi. Selepas makan malam kami tidur dalam kesejukan. Malam terakhir tidur di khemah.

19hb Ogos 2007 (Ahad)

6.15 am          
Aku terjaga dengan tiupan wisel oleh kumpulan murid sekolah yang berkhemah berhampiran kami. Kalau sebelum ini aku hanya membersihkan diri dengan ‘wet tissue’ Damia (anak kedua berusia 9 bulan) hari ini aku mandi untuk kali ke dua sepanjang XPDC ini

10.45 am       
Majlis Penutupan yang di pengerusikan sendiri oleh  Presiden OGKL , Dino. Masing-masing diberi peluang untuk bercerita sedikit pengalaman sepanjang XPDC ini. Kami dimaklumkan bahawa kami merupakan kumpulan pertama yang menggunakan laluan TNB DAM-Yong Belar-Gayong-Korbu-Yong Yap-Pos Ringit.

11.30 am       
Meluangkan masa di Pekan Brinchang membeli tanda mata untuk di bawa pulang.

1.15 pm         
Kami menaiki bas dari Tanah Rata pulang ke Kuala Lumpur

5.20 pm         
Tiba di Stesen Puduraya. Setelah bersalam-salaman antara satu sama lain di situ kami berpisah dan membawa haluan masing-masing.

Rumusan

            Perjalanan kali ini benar-benar menjangkau dari apa yang aku harapkan. Bak kata tajuk sebuah lagu “Tak Tercapai Akal mu”. Kejutan demi kejutan perjalanan ini telah bermula sebelum  XPDC lagi, dengan beberapa ujian yang sememangnya tidak dirancang, peserta yang diharapkan akan membantu tetapi tidak akibat kecederaan dan keperluan peribadi yang kurang menambahkan lagi elemen-elemen cabaran perjalanan kali ini. Setiap hari setelah tiba di camp site ‘Uncle’ pasti memarahi Fuad. Antara keluhannya “Siapa yang buat trek?”, “Kenapa perjalanan 6 jam dikatakan 3 jam?”, “Lain kali kalau nak aku datang lagi, siapkan jalan tar?” dan pelbagai lagi. Aku masih merasa agak lega kerana masih ada beberapa peserta yang sanggup berkorban demi keselesaan orang lain. Individu-individu ini yang membakar semangat aku untuk terus aktif walau usia ku semakin meningkat dalam merancang aktiviti besar dan lebih mencabar di masa akan datang. Benarlah seperti kata Fuad jangan samakan Reverse Titiwangsa V2.0 dengan gunung yang terletak di dalam Taman Negara. Ini kerana laluannya tidak dijaga dan akan mulai bersemak dan ditutupi semula setelah beberapa ketika tidak dilalui.

            Buat pihak OGKL ini kali ketiga kalian membantu aku secara peribadi, dan buat kali yang entah keberapa, terima kasih atas segalanya. Semuga kerjasama ini akan berterusan dan mampu melahirkan lebih ramai aktivis rekreasi di masa depan. Reverse Trans Titiwangsa V2.0 kini menduduki carta teratas dalam diari rekreasi aku. Banjaran Titiwangsa! Kami, kalau tidak pun aku akan kembali satu hari nanti.

En Hishamuddin,
Penasihat 
Kelab Kembara Politeknik Kuching Sarawak



0 comments:

Post a Comment