Tarikh: 10 hingga 16 Mei 2003
Tempat: Taman Negara Kerinci Seblat Sumatera Indonesia
Ekspedisi: Program Mendaki Gunung Kerinci (3805M)
Kelab OGKL ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan ,Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan terutama Encik Marawi dan kakitangan jabatannya yang banyak membantu atas kejayaan Missi Pendakian `Climb for Peace’ negara –negara ASEAN ini.
Terima kasih juga diucapkan kepada pihak Taman Nasional Kerinci Seblat atas kerjasama memberi maklumat penting laluan ke Gunung Kerinci dan menjaga keselamatan semua pendaki serta menyediakan juru pandu yang bertauliah,tempat penginapan yang selesa buat pendaki di rumah Wak Paiman demi memastikan kejayaan missi ini. Pegawai-pegawai dari Taman Kerinci Seblat sentiasa mengiringi rombongan kami semasa acara lawatan ke air terjun Terlun Berasap dan memastikan rombongan dalam keadaan selamat di kawasan air terjun ini.
Tidak dilupakan pada pihak-pihak penaja Adidas yang turut serta membantu bagi memastikan objektif pendakian ini tercapai. Kepada tim-tim pendaki yang terdiri dari Tim Jakarta iaitu Pangrango,Highcamp dan Sabhawana,Tim Mapala Bidar Palembang dan juga peserta Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur dari Malaysia terima kasih diucapkan atas sama-sama membantu kejayaan pendakian ke Puncak Gunung Kerinci ini yang sejarah tercipta di pagi tarikh 14hb. mei 2003!!!!
Senarai Peserta Kelab OGKL
1. Adanan Sidek
2. Fazidah ahmad
3. Abdul Rashid Ab Rahman
4. Aishah Khalil
5. Mohd Azhari Ahmad
6. Zaleha Haji Abu samah
7. Mohd Faizal Mohd Nor
8. Azlan Hamzah
9. Teng Choon han
10. Muhammad Shukri Baharuddin
11. Al Rajan a/l Kannappan
12. Yap Wei Luen
13. Nor Hamidah
14. Mohd Shoib Mohd Ali
15. Muhammad Suhaimi bin Mohd Mahsom
16. Tan Boon Lee
17. Norwidawati Basiri
18. Azlen Anuar
19. Maimuna J Nordin
20. Voon Kuet Fui
21. Fakhrul Anwar Ahmad Zabidi
22. Khairinah Hj Chumari
Perjalanan XPDC Gunung Kerinci
10.5.2003 (Sabtu)
Peserta berkumpul di Puduraya menaiki bas ke Melaka. Bas bergerak dan meluncur menuju ke Bandar Melaka kota Bersejarah.Tiba di bas stop Melaka kami menunggu Wid yang telah berada di bas stop Melaka dan rombongan kami dihantar ke destinasi penginapan di Hostel Mansur berdekatan jeti Melaka untuk ke Dumai.
Di hostel Mansur kami dapati ada Suhaimi dan Tan yang sudah tiba lebih awal.Setelah semua `check in’ kami mengadakan perjumpaaan dan mengadakan sessi berkenalan dengan peserta dari Singapura Suhaimi sebab yang lain-lain tu dah kenal lama melalui beberapa XPDC yang dikelolakan oleh OGKL.
11.mei 2003(Ahad)
Jam 6.00 pagi semua telah bangun awal dan bersarapan pagi sebab peserta akan bergerak menuju ke jeti Melaka untuk menaiki feri.Kami dimaklumkan bahawa feri ke Dumai akan bergerak jam 9.00 pagi.Semua peserta telah berkumpul di hadapan immigresen untuk urusan pemeriksaan passport.Setelah melepasi immegresin kami bergerak beramai-ramai ke feri dan terus ke tempat duduk di hadapan perut feri.Perjalanan kami mengambil masa lebih kurang 2 jam dan alhamdullilah cuaca amat baik dan laut tidaklah bergelora. Semasa feri berlabuh di jeti Dumai kami bergerak secara kumpulan disebabkan untuk memudahkan urusan mencop passport berkumpulan serta individu peserta.
Keluar dari jeti Dumai rombongan terus ke bas yang kami sewa dari Syarikat Shaan Bukit Tinggi. Basnya sederhana besar yang hanya cukup menampung ahli kami seramai 22 orang beserta pembantu pemandu.Semua peserta bergotong royong memunggah backpack ke atas bumbung atap bas dan ditutup kemas dengan plastik.Selepas itu bas bergerak ke restoren Pak Datuk di pekan Dumai.
Semasa tiba di restoren masing-masing terpegun melihat meja yang terhidang pelbagai menu masakan nasi padang.Berpeluh-peluh peserta menikmati masakan nasi padang yang terkenal pedas tetapi enak disantap.
Setelah makan dan solat bas bergerak menuju ke pekan Kersik Tuo destinasi rombongan kami.Perjalanan jauh ini menyaksikan bas melewati beberapa kawasan berbukit dan cerun yang berkelok-kelok tetapi pemandu bas ini amat cekap mengawal steering basnya maka kami pun lega duduk di tempat masing-masing sambil melempar pandangan di luar jendela melihat bumi sumatera yang penuh dengan tumbuhan menghijau. .Kami dimaklumkan oleh pemandu bas bahawa kemungkinan rombongan kami akan tiba lewat di Kersik Tuo kemungkinan jam 12.00 tengahari.
12.5.2003 (Isnin)
Ternyata jangkaan pemandu amat meleset sekali sebab rombongan kami tiba awal di pekan Kersik Tuo jam 7.00 pagi. Semasa bas berhenti di depan pintu rumah homestay Wak Paiman di kejauhan kami lihat beberapa grup Pangrango dan Sabhawana sedang bersiar-siar menikmati udara pagi di depan perkarangan rumah penginapan itu.Terlihat kelibat Abath,Yanto,Mas Budi, Bubun, Hanif dan beberapa orang lagi sahabat yang baru serta belum dikenali dari Jakarta yang masih belum kenal nama mereka. Sambil melambai-lambai ke arah mereka kami merasa amat gembira sekali dapat berkumpul dan misi `Climb for peace’ yang akan kami lakukan di esok hari pasti akan menjadi kenyataan bila melihat kehadiran semua teman-teman dari Negara ASEAN ini
Setelah rombongan kami dari Malaysia turun dari bas masing-masing menerpa ke teman-teman Pangrango dan bersalam-salaman dan bertegur sama.Jelas terlihat kemesraan terjalin di antara peserta-peserta dari Negara ASEAN ini.Ramai yang turut membantu memunggah turun back pack dan terus di bawa masuk ke rumah penginapan .Suasana hiruk pikuk dan tawa teman-teman Negara ASEAN ini mengisi ruang tamu rumah wak paiman di pagi itu.Tegur sapa kedengaran dan masing-masing memperkenalkan diri.Riuh rendah kedengaran dari tingkat atas rumah sampai ke ruang dapur di bawah yang sekarang memuatkan tambahan 22 penghuni baru dari Malaysia yang sebelum ini hanya ada teman dari Palembang dan Jakarta sahaja.
Setelah itu kami semua mengambil inisiatif dengan mengibarkan bendera ASEAN di ruang atas beranda rumah ini serta bendera Climb for peace dan bendera dari setiap kelab pendaki ini.Ternyata bendera ini turut sama berkibar-kibar megah dan setiap penghuni yang ada di dalam rumah ini juga turut sama berkobar-kobar semangat masing-masing yang sedang memikirkan missi pendakian yang akan diadakan di pagi esok hari……
Acara pagi ini adalah acara bebas di mana grup OGKL merancang untuk ke Air Terjun Terlun Berasap manakala tim Pangrango akan trek pula ke danau Gunung Tujuh. Kami memutuskan tidak ikut serta ke Danau Gunung Tujuh memandangkan rombongan OGKL perlu berehat sebab masih keletihan menempuh perjalanan yang jauh sejak semalam lagi. Setelah bersiap menghantar beg ke bilik masing-masing rombongan kelab OGKL bergerak ke air Terjun Terlunberasap yang jaraknya lebih kurang 20 minit perjalanan menaiki bas. Ikut sama rombongan kami adalah kakitangan Kerinci Seblat saudara Dephi beserta seorang temannya.
Setiba kami di kawasan ini nun di kejauhan sana terlihat tersergam indah Gunung Kerinci di depan kami dan rasa tak sabar untuk mendakinya di esok hari.masing-masing mengabadikan kenangan dengan berpotret berlatar belakangkan Gunung kerinci ini.
Kami terus bergerak bersama sama menuju ke pintu gerbang Airterjun Terlunberasap dan sekali lagi sessi fotografi diadakan. Saudara Delphi terus membawa rombongan kami menuju ke airterjun dan menasihati kami agar berhati-hati memandangkan kawasan ini licin dan berlumut.Melangkah dengan berhati-hati semasa memijak anak tangga yang licin dan berlumut kami akhirnya tiba di kawasan air terjun ini.Wowwww !!!! hebat sekali air terjun ini di mana ia meluncur laju dari jalur taman nasional kerinci Seblat yang air ini tempiasnya memercik ke tubuh rombongan kami semua walaupun kami duduk berjauhan dari airterjun ini.nampak seperti berasap-asap. Patutlah ia dinamakan air terjun Terlun berasap!!!he!!!he!!!!he!!!
Kami sempat mengabadikan gambar di air terjun ini dan masing-masing berhati-hati menjaga kamera agar tidak basah disimbah oleh tempias air terjun ini yang sekali-sekala tempiasnya memercik ke lenca kamera.Si Jack Fui yang terpegun dengan keindahan airterjun ini sanggup duduk di atas rel besi di sudut pemandangan untuk mendapatkan `shot’ terbaik untuk bergambar.Setelah puas dengan aktiviti fotografi
rombongan kami terus bergerak menuju pulang ke rumah penginapan Wak Paiman sebab masing-masing telah kelaparan. Setiba di rumah penginapan kami semua dijamu dengan hidangan masakan tempatan menu kersik tuo apalagi semuanya makan dengan berselera walaupun menunya adalah tempeeeeeeee!!!!!!!Selain itu ada beberapa ulam juga dihidangkan.Berselera sekali rombongan kami makan pada tengahari itu.
Pada malam hari setelah menikmati jamuan makan malam kami berkesempatan berkumpul beramai-ramai terdiri dari rombongan Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur 22 orang (termasuk Suhaimi dari Singapura) ,Tim Pangrango dan Sabhawana 16 orang (dari Jakarta),Tim Mapala Bidar Palembang 8 orang.masing-masing memperkenalkan diri dan sessi`ice breaking’ berterusan dengan mesra sekali. Di kesempatan ini Mas Budi sebagai ketua XPDC dari Jakarta menerangkan beberapa persiapan yang akan dilakukan oleh peserta XPDC untuk pendakian esok hari agar sukses dan berjaya.Terdapat kesepakatan bahawa untuk pendakian esok hari Tim di hadapan akan dipimpin oleh Mapala Bidar Palembang dan diikuti oleh OGKL dan yang akan jadi sweeper adalah tim Pangrango Jakarta.
Sedang acara sessi perbincangan berjalan dengan rancak sekali ,kami dikejutkan dengan kepulangan tim Highcamp yang telah duluan membuat pendakian awal pagi tadi tarikh 12.mei 2003 baru sahaja turun dari pendakian Gunung Kerinci. Saudara Aris Kunlun IT beserta isterinya Bugulu bersama-sama kami menyertai perbincangan memandangkan kami memerlukan informasi beliau buat persiapan rombongan kami untuk mendaki puncak G Kerinci di esok hari.
Aris mengatakan bahawa tim mereka menghadapi kesukaran untuk sampai ke puncak sebab angin dan badai bertiup kencang selama 2 jam lebih dan membuat mereka cuba bertahan di jalur trek. Namun demikian akhirnya Aris dan isterinya terpaksa mengalah dan turun segera ke shelter 2 memandangkan Bugulu tidak tahan kesejukan di puncak ini manakala sahabat mereka yang lain masih cuba bertahan untuk menjejak ke puncak.Seramai 4 orang yang berhasil tiba ke puncak.
Maklumat yang diberi oleh Aris amat membantu rombongan kami yang akan memulakan pendakian diesok hari .Malam itu peserta OGKL dinasihatkan tidur awal sebab esok awal pagi tim akan bergerak awal ke basecamp di kaki Gunung Kerinci ini.
13.5.2003 (Selasa)
Awal pagi setelah rombongan besar tim ASEAN menikmati sarapan pagi kami seterusnya menuju ke bas beserta menggalas bag masing-masing.Kami semua dibekalkan setiap seorang nasi bungkus oleh isteri Wak Paiman dengan berlauk sayur, ayam dan ikan. Di bas bag disusun di atas atap bas dan kami mula bergerak ke basecamp di kawasan kebun teh. Bas bergerak perlahan-lahan di kawasan kebun pertanian yang di mana terdapat tanaman seperti teh, kobis dan tembakau.Kami berselisih dengan beberapa orang petani yang menaiki kereta tarik diseret oleh lembu untuk mengusahakan kebun mereka masing-masing. Sebelum tiba di basecamp bas perhenti di pos kaunter Kerinci Seblat untuk melaporkan setiap nama rombongan yang terdiri dari pasukan peserta Negara ASEAN. Dokumen penting ditinggalkan dan bas pun meneruskan perjalanannya ke basecamp. Akhirnya bas berhenti di satu kawasan tamat di mana terpampang papan tanda berwarna hijau yang tertulis Gunung Kerinci Taman Keruinci Seblat. Di sini kami memulakan membuat acara renggangan otot-otot yang dipimpin oleh saudara Yanto dari Jakarta.Setelah itu acara berdoa mengikut agama masing-masing diadakan bagi memastikan semoga semua rombongan selamat sampai ke Shelter 2 dan shelter 3 tempat perkhemahan malam nanti.Saudara Delphi berharap semoga semua rombongan berjaya sampai ke puncak Gunung Kerinci dan menasihati kami agar mematuhi pantang larang yang terdapat di kawasan ini.Pesanan beliau ini amat diambil berat oleh semua rombongan dari tim ASEAN.
Semua rombongan pendaki berjalan berhati-hati dan tidak ada yang bergerak jauh di antara satu sama lain supaya tidak ada yang tersesat di trek nanti.Selepas tiba di sheter 1 rombongan berhenti rehat untuk melepaskan kelelahan dan sessi berfoto-foto diadakan.5 minit selepas itu perjalanan diteruskan.kami berhenti makan setelah tiba waktu tengahari. Shelter 2 kami tempuhi pada jam 3.30petang.tim Pangrango dan Tim Mapala Bidar Palembang bercadang untuk berkhemah di sheter 2 manakal OGKL membuat keputusan untuk berkhemah di Shelter 3.Dalam perjalanan menuju ke Shelter 3 cuaca mendung dan sekali-sekala terdapat rintik-rintik hujan.Tiba aja di Shelter 3 peserta OGKL cepat-cepat memasang khemah memandangkan cuaca sudah mulai gelap dan tanda-tanda hujan lebat akan mulai turun sebentar lagi.Kami menghadapi kesukaran untuk memasang khemah sebab di kawasan shelter 3 ia amat terbuka luas pada pukulan badai dan angin kencang memukul-mukul kuat dan menarik kuat khemah sehingga melayang-layang dan sukar dipasang dan dipakukan ke tanah.Dengan kedinginan dan basah disimbah hujan yang tiba-tiba turun dengan lebat masing-masing bertindak pantas menyimpan bag dan kasut ke dalam khemah.
AJK OGKL dengan setia memulakan memasak persiapan makan malam dalam kedinginan yang mencengkam sampai ke tulang hitam.Dengan menggigil dan terketar-ketar hidangan makan malam sup ayam terhidang namun demikian hanya segelintir peserta yang sanggup makan sedangkan yang lain berselimutkan sleeping bag masih berada di khemah masing-masing dan tak sanggup keluar khemah walaupun berkali-kali dipanggil untuk makan malam.
Ada peserta yang sanggup berlapar dari keluar dari khemah dalam tiupan angin kencang malam itu. Pukulan angin ke khemah pada malam itu begitu bising dengan angin kencang serta hujan memukul-mukul dinding khemah menyebabkan ramai peserta tidak lena tidur .Di samping itu rasa bimbang diterbangkan angin juga menghantui fikiran peserta bila teringatkan pesanan Aris yang menghadapi badai sebelum itu.
14 mei 2003 (Rabu)
Seawal jam 4.00pagi semua peserta dikejutkan untuk bangun bagi memulakan pendakian.Sebelum itu AJK telah menyiapkan sarapan pagi nestum ,biskut dan air panas bagi semua peserta.Setelah itu kami lihat sahabat-sahabat dari Indonesia yang berkhemah di shelter 2 juga telah mulai tiba di shelter 3 tempat penginapan kami.
Maka kami pun memulakan pendakian menuju ke puncak G Kerinci dengan suluhan lampu di tangan dan kepala peserta –peserta.Masing-masing amat berhati-hati semasa melalui trek menuju ke puncak gunung Kerinci ini.Di pertengahan jalan sekali-sekala angin kencang bertiup deras dan terdengar suara teman-teman meminta peserta duduk dan tunduk serapat mungkin ke tanah. Selepas badai kencang berlalu kami teruskan pendakian dengan langkah berhati-hati.Ada peserta menutup muka dengan sapu tangan bagi menghindarkan habuk dan pasir yang dibawa angin masuk ke mata dan mulut. Manakala batu-batu di kawasan trek ini amat tajam dan kasar sekali dan setiap langkah haruslah dilakukan berhati-hati bimbang batu yang tidak terlekat itu menggelongsor terkena teman-teman yang berada di bawah .Dengan langkah yang longlai dan kepayahan bernafas sebab udara di sini kekurangan kandungan oxygennya
semua tim ASEAN akhirnya berjaya tiba di puncak dengan di sambut cuaca yang baik di pagi itu.
Teriakan teman-teman di puncak Gunung Kerinci yang tiba dahulu memberi semangat kepada peserta-peserta yang masih berada di bawah membakar semangat mereka meneruskan pendakian untuk tiba ke puncak juga. Akhirnya semua peserta tiba juga di puncak dengan mengibarkan bendera Negara ASEAN dan mengabadikan gambar-gambar kenangan di puncak ini. Tim OGKL,Pangrango,Sabhawana,Mapala Bidar Palembang dan seorang peserta Singapura juga tak lepaskan peluang turut sama mengibarkan bendera `Climb for peace’ yang menjadi motto dan visi utama pendakian ini.Setelah bergambar berlatar belakangkan Danau Gunung Tujuh yang kelihatan di kejauhan sana kami mula bersiap-siap untuk bergerak turun .Kelihatan asap dan wap sulphur dari kawah Gunung Kerinci ini telah mula naik ke atas dan guide kami si Ayip meminta semua peserta cepat turun bagi memastikan tidak ada peserta yang alah terhadap asap ini. Salah seorang peserta Sabhawana bernama Josh muntah dan begitu juga dari tim OGKL si Han juga muntah semasa bergerak untuk turun.Teman-teman yang lain turut membantu agar keadaan peserta ini tidak bertambah mudarat dan ternyata bila tiba di shelter 3 keadaan peserta beransur pulih dan ceria sekali.
Di shelter 3 AJK OGKL bersiap-siap menyediakan makan tengahari supaya peserta-peserta bila turun nanti bertenaga untuk bergerak pantas tiba di basecamp.Walaupun Si Ayip mengingatkan supaya segera turun tetapi tim OGKL masih juga dengan sabar menyiapkan menu makan tengahari.Sambil menyiapkan makanan tengahari peserta yang lain bersiap-siap membuka khemah berkemas-kemas bag untuk bergerak turun setelah makan nanti.
Perjalanan turun amat mudah dari Shelter 3 ke basecamp.Peserta terakhir dari tim OGKL yang tiba di basecamp pada jam 5.30 petang.Kelihatan bas sewaan kami telah siap menunggu di basecamp ini dan peserta telah siap meletakkan bag masing-masing di bumbung atap bas.
Peserta dari tim Pangrango adalah yang terakhir tiba pada jam 6.30 petang.Mereka mengatakan bahawa di Shelter 1 mereka terdengar bunyi ngauman harimau dan mereka bergegas-gegas turun bimbang terserempak dengan harimau tersebut.Kami mengucapkan syukur ke hadarat Allah SWT sebab semua peserta selamat turun dengan jayanya dan tanpa menghadapi apa-apa masalah pun.
Bas mulai bergerak perlahan setelah semua peserta berada di dalamnya dan kami pun dengan senang hati meninggalkan basecamp menuju ke rumah Wak Paiman.
Pada malam hari tersebut kami sempat mengadakan majlis makan malam bersama tim ASEAN ,menjemput pegawai dari taman kerinci seblat bagi menandakan kesyukuran
atas kejayaan Missi `climb for peace ‘ ini dan memberi cenderahati kepada mereka semua.Di samping itu hari itu adalah malam Maulud Nabi Muhammad Sallahlahalaihiwasalam dan kami turut menyambutnya sekali buat junjungan nabi besar kami.Di waktu ini kami memanjatkan rasa kesyukuran yang tak terhingga atas kejayaan missi ini.
Setelah selesai makan malam sessi berfoto beramai-ramai diadakan dan dikesempatan ini OGKL dan Pangrango mengabadikan kenangan pendakian bersama ini dengan acara bertukar-tukar bendera.Kami berharap bendera OGKL akan dikibarkan di mana-mana gunung di setiap pendakian yang dilakukan oleh tim Pangrango dan tim OGKL juga akan membawa bersama bendera Pangrango di mana-mana pendakian diadakan di gunung di Malaysia.
Tepat jam 11.00malam semua peserta OGKL telah bersiap berkemas untuk memulakan perjalanan menuju ke Bukit Tinggi.Peserta-peserta Negara ASEAN juga sempat bertukar-tukar t shirt Negara masing-masing di mana baju merah OGKL menjadi rebutan teman-teman dari tim pangrango dan begitu juga baju t shirt hitam pangrango menjadi rebutan tim OGKL. Setelah bersalam salaman dengan hati berat kami menaiki bas.Bas bergerak lesu meninggalkan teman-teman kami yang dari Jakarta dan Palembang di rumah Wak Paiman. Di kala itu terasa sedih meninggalkan kawan-kawan yang kemesraan masih hangat terasa selama 2 hari kami berkampung di rumah homestay wak paiman ini.
Memandangkan bas bergerak waktu malam kami tidak berpeluang melihat pemandangan di luar bas maka masing-masing pun mula melelapkan mata sebab keletihan turun dari puncak G Kerinci di siang hari.Ramai tak perasan bahawa bas bergerak dengan laju malam itu memandangkan tidak banyak kenderaan awam berselisih dengan bas kami.Pemandu juga sempat singgah di beberapa perkampungan untuk berhenti minum kopi bagi memanaskan perut.Peserta yang terjaga turut turun sama yang masih mengantuk terus tidur di kerusi bas.
15.mei 2003 (Khamis)
Esok pagi bila terjaga dari tidur kami sedar rupanya bas sudah sampai di Danau Singkarak.Kami singgah bersarapan pagi dan menunaikan solat suboh di restoren berdekatan danau ini.sambil bersarapan pagi pemandu bas memberi cadangan memandangkan OGKL tiba awal di Bukit Tinggi banyak kedai belum dibuka.Beliau mencadangkan supaya rombongan kami pergi melawat ke beberapa kawasan membuat handycraft penduduk tempatan di Pandai Sikek.Setelah siap bersarapan kami terus menuju ke pekan Pandai Sikek dan di kejauhan sana kami lihat pemandangan Gunung Singgalang dan Gunung Marapi mengepung kawasan perkampungan ini.Terfikir pula akan next XPDC OGKL untuk buat program trasn pendakian kedua-dua gunung ini di masa akan dating.
Di Pandai Sikek ada perusahaan membuat tenunan songket,mengukir kayu buat pintu rumah cantik sekali ukiran mereka dan berseni sekali.Tak kurang juga membuat dan ukiran perak ada di kawasan perkampungan ini.Ada di antara peserta sempat singgah membeli barang-barang antik yang banyak terdapat di jual perkampungan ini.
Selepas itu kami di bawa melawat ke beberapa kedai menjual kain batik dan kain pelekat.Ramai yang sempat membeli belah buat cenderahati keluraga di rumah.Tak lupa juga ada yang membeli telekung dan t shirt.
Setelah itu kami mula bergerak menuju ke Bukit Tinggi pula.Semasa di Bukit Tinggi kami sempat melawat ke Lubang Kubu jepun.Kami sempat meminta guide di situ memberi sejarah awal wujudnya kubu itu.dari kisah yang diceritakan oleh guide tersebut rupanya jepun yang pernah memerintah Indonesia telah membuat kubu ini dengan mengarah secara paksa penduduk-penduduk di sekitar Bukit Tinggi menggali lubang tersebut.mereka yang engkar akan disiksa dan dipukul sampai mati kemudian mayat mangsa dijadikan makanan untuk bantuan-banduan yang masih hidup.Untuk melarikan diri dari lubang kubu ini amat sukar sekali sebab jika salah masuk ruang pesalah akan menjumpai jalan mati menghadap ke jurang dalam di kubu ini.Tida jalan untuk keluar menyelamatkan diri jika sesiapa telah dipaksa masuk ke kubu ini.
Kami sempat mengabadikan kenangan dengan berpotret di kawasan kubu ini.Bila keluar dari kawasan kubu ramai peserta menuju ke bas yang akan membawa rombongan ke jam gadang di Bukit tinggi.
Pemandu bas memberi kami masa sehingga jam 5.30 petang untuk berkumpul balik setelah selesai shopping di Pasar Besar Bukit Tinggi.Ada teman-teman yang empat membeli telekung,kebaya,kain batik dan sebagainya.Bagi yang meminati barang-barang outdoor North face Bukit tinggi terus aja ke kedai Outdoor.
Jam 6.00petang setelah semua peserta berpuas hati dengan membeli belah bas terus bergerak untuk ke Dumai pula.Perjalanan ke Dumai amat meletihkan ttapi wajah ceria kelihatan pada peserta-peserta yang tak sabar-sabar mahu pulang ke rumah ke pangkuan keluarga tercinta.
16.5 2003 (Jumaat)
Tiba di Pekan Dumai seawal pagi dan bas berhenti di depan masjid pekan Dumai.Ada yang bersembahyang dan ada yang sempat mandi.Setelah semua siap kami beregrak ke restoren berdekatan mesjid untuk sarapan pagi.Sambil yang lain bersarapan pagi dan membeli buah salak yang terdapat di luar restoren Fakhrul anwar dan Zaleha menguruskan tiket untuk pulang ke Melaka.Kami mendapat tiket sebelah pagi walaupun di awal rancangan untuk pulang waktu petang.Memandangkan tiada apa yang ada di pekan Dumai kami putuskan untuk pulang dengan tiket awal.Setelah itu rombongan bergerak ke jeti dumai dengan menaili bas.
Kami sempat sekali lagi berpotret di perkarangan jeti Dumai dan lepas itu terus bergerak masuk ke immegresen dan menuju ke feri yang telah berlabuh di jeti.Perjalanan pulang amat menyeronokkan dan di dalam feri ada yang sempat berfoto-foto dan menikmati tayangan video yang dipamerkan tetapi kebanyakan peserta tertidur di sepanjang perjalanan pulang.Setibanya kami di jeti Melaka kami terus bergrak ke Immegren untuk urusan cop passport.Setelah itu kami cuba mendapatkan teksi untuk ke bas stop.
Di bandar melaka urusan tiket pulang ke kuala Lumpur diuruskan oleh Rashid dan teman-teman yang lain yang akan pulang ke Johor Singapura juga menguruskan tiket pulang masing-masing.
Dalam bas di perjalanan pulang ke kuala Lumpur OGKL dihiburkan oleh Jack yang pandai memetik guitar yang mendendangkan terlalu banyak lagu feeling dan rancak serta rock dalam perjalanan pulang ke Kula Lumpur.
Kami tiba di Puduraya kuala Lumpur jam 7.00 malam dan maing-masing bersurai pulang ke destinasi rumah masing-masing.
0 comments:
Post a Comment