Tarikh : 18-20 Julai 2003
Tempat : Slim River, Perak
Ketinggian : 6434ft
Gunung Liang Timur dan Liang Barat yang jarang-jarang sekali didaki oleh para pendaki terletak dipersempadanan antara negeri Perak – Pahang . Ianya berhampiran pekan Tanjung Malim yang terletak hampir 1 ½ jam perjalanan dari Kuala Lumpur dan mereka yang datang dari utara boleh memasukinya melalui pekan Slim River atau Behrang . Terdapat dua laluan pendakian yang disediakan . Satu daripadanya adalah laluan dari Kampung Sungai Bil , Ulu Slim dimana pendakian mengambil dua hari penuh untuk sampai kepuncak dan sehari suntuk untuk turun . Dilaluan pertama ini juga para pendaki akan menghadapi kesukaran mendapatkan punca air dan terpaksa melalui trek peninggalan laluan penebangan pokok-pokok balak yang sudah tentu amat memenatkan . Laluan pendakian yang jauh tetapi lebih mendatar jika dibandingkan dengan satu lagi laluan iaitu melalui laluan dam Sungai Dara yang lebih dekat dan mengambil hanya dua hari untuk pendakian pergi dan balik .Namun , dilaluan kedua ini pendakiannya lebih mencabar dan pendaki terpaksa melalui banyak tebing-tebing curam dan lebih merbahaya.
Panorama dari puncak Gunung Liang Barat amatlah cantik sekali . Mengadap ke pekan Tanjung Malim dan Proton City . Kelihatan juga dari sini Lebuhraya PLUS . Diwaktu malamnya boleh dilihat kemerahan cahaya dari Bandaraya Kuala Lumpur dan pada cuaca yang baik kadangkala boleh terlihat kerlipan lampu dari bangunan kebanggaan , KLCC Twin –Tower . Puncaknya sedikit kecil , tidak rata , terdedah oleh tiupan angin dan awan berbanding puncak gunung Liang Timur yang hanya 5 minit perjalanan dari puncak Liang Barat . Liang Timur lebih tertutup dan dikelilingi oleh pokok-pokok tinggi yang berlumut, amat sejuk dan boleh memuatkan hanya 2 atau 3 khemah saja .
Seramai 30 pendaki dari Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur ( OGKL) telah berjaya melakukan pendakian ke dua-dua puncak gunung tersebut pada 18 hingga 20 Julai 2003 yang lalu melalui laluan Sungai Dara . Berikut adalah catatannya ;
Urusetia ekspedisi : 7
Peserta lelaki: 16
Peserta wanita: 7
Urusetia :
Abg Rashid, K.Aishah, Fakhrul, Bulat, Deeno, Wl Yap., K.Leha.
Peserta lelaki:
Cikgu Rosli, Azmi, Sham, Che Din, Yasser, Azlan, Alan, Han, Huslan, Rizal, Zairol, Zam, Apip, Mat Noor Nestle, Roland, Leman.
Peserta wanita:
Rosma, Tini, Sabariah, eRyn, As, Leen, Nori.
Jumaat 18/07/2003
Restoran Teratai, Dayabumi
9.30pm
Kemeriahan ekspedisi mula terasa bila peserta-peserta sudah mula berkumpul. Kebetulan hari Jumaat adalah malam perjumpaan mingguan bagi Kelab OGKL .Bertambah riuh bila kenderaan-kenderaan yang akan berkonvoi semua sudah beratur di depan restoran Teratai. Pembahagian ‘ration’ sangatlah menarik kali ini. Peserta-peserta wanita hanya membawa satu ‘camping gas’ sahaja. Bila diteliti senarai nama, memang peserta lelaki terlebih-lebih daripada wanita. Jadi, ‘ration’ berupa makanan basah dan kering semua dibahagi kepada kaum adam.
Abg Rashid memanggil semua yang ada berkumpul untuk taklimat perjalanan malam itu. Tinggal 2 orang peserta lagi belum muncul iaitu Yasser dan Ashwida. Jangan khuatir. Ada yang sudi menunggu. Tidak seorang peserta pun akan dibiarkan ‘terlepas’ daripada ekspedisi ini. Seorang lagi peserta iaitu Seri Hanum tidak dapat turut serta kali ini memandangkan beliau kena menghadiri kenduri arwah abangnya yang meninggal dunia baru-baru ini.
Sedikit bacaan doa selamat dibacakan oleh Abg Rashid. Selepas memberi sedikit kata dua, masing-masing bergegas ke arah kenderaan. Semua peserta telah ditetapkan naik kenderaan siapa. Kemudian, satu demi satu kenderaan berlepas, sambil itu dilambai oleh sahabat-sahabat yang sudi menghantar. 2 buah van dan 5 buah kereta mengisi ahli-ahli ekspedisi Liang Timur Barat membelah laluan jalanraya Kuala Lumpur menuju ke Tanjung Malim. Jam ketika itu menunjukkan pukul 10.15 malam.
Hentian R&R Rawang
10.45pm
Berhenti rehat untuk solat dan makan. Ada juga yang sempat mengisi minyak. Dapat berita yang dua orang peserta yang lewat iaitu Ashwida dan Yasser sudah pun di bawa oleh Kak Fazid dan Fahmi. Selepas ini Abang Rashid mengepalai konvoi kerana dia di tugaskan untuk mengambil 2 peserta dari Pulau Pinang iaitu Zairol dan Rizam di Tol Tanjung Malim. Dari jauh kelihatan mereka menapak menghampiri ke Plaza Tol. Selepas mengambil mereka, kami menunggu dan berkumpul di Plaza Tol. Tapi, bila sudah tiba di sana ada juga yang terlajak. Nampak gayanya, bila OGKL berkonvoi, pasti ada yang tersasar daripada kumpulan. Kereta yang dipandu Eryn terlajak ke Slim River. Disangkanya Tanjung Malim selepas Behrang . Kami yang sabar menunggu disuruh bergerak dahulu kerana Apip yang bersama Eryn tahu jalan masuk ke rumah pam Sungai Dara..
Jadi, kenderaan yang tadinya 7 tinggal 6 bergerak perlahan-lahan memasuki kawasan Behrang Ulu dan membelok ke kawasan perkampungan Sg Dara. Laluan sudah menjadi sehala di tepi rumah penduduk kampung kemudian melewati kebun pisang dan kebun getah. Tidak berapa lama, akhirnya tiba di rumah pam Sungai Dara kira-kira jam 1.00 pagi. Eryn yang terlajak tiba beberapa minit kemudian.
Oleh kerana kawasan berhenti ini di bangunan utama rumah pam, maka, kami pun tidak mengalami masalah umtuk mencari tempat yang sesuai untuk melelapkan mata. Bentang saja ‘ground’ dekat pintu utama bangunan, bergoleklah masing-masing di situ. Ada juga yang tidur dalam khemah yang didirikan di halaman, berlapikkan rumput lembut. Kelihatan juga seseorang menggantungkan hammock. Paling ringkas, bentang ‘sleeping bag’ atas simen. Pandai-pandailah, orang lasak letak di mana pun boleh tidur.
Sabtu (19/07/2003)
Rumah Pam Sungai Dara – Campsite
6.30am
Seorang demi seorang bangun, membersihkan diri dan bersolat. Pukul berapa agaknya
Kak Fazid dan Fahmi tiba bersama-sama 2 peserta malam tadi ? Tau-tau pagi ini semua dah ada .
Sementara bersiap-siap, sarapan pagi disediakan oleh chef utama iaitu K.Aishah. Abg Rashid menenggekkan nasi. Ramai yang membantu menyediakan sarapan pagi nasi putih, paprik ayam dan minuman teh o’ panas. Setelah selesai bersarapan, kami diingatkan supaya mengambil bekalan makanan tengahari yang sudah siap dibungkus. Roti , rendang daging serta kudapan sumi, chocolate cloud9 dan kacang .
Perut sudah kenyang, masing-masing nampak bersemangat. Nanti dulu. Senaman ringkas mesti dibuat. K. Zaleha mengetuai upacara memanaskan badan. Ada yang mengeluh, boleh tahan juga ‘sakitnya’ di bawah tunjuk ajar K. Zaleha. Selesai memanaskan badan, kami disuruh berpecah kepada beberapa kumpulan dan berdiri dalam satu barisan. Aha! Satu cara untuk ‘break the ice’ kata orang putih. Beramai-ramai mengurut sesama sendiri, dari kepala sampai ke pinggang. Sambil itu, berteriak, “I am a Woody WoodPecker….chop!chop! wood!” Sedapnya kena urut dan mengurut!
Sedikit taklimat diberi oleh Abg Rashid dan Deeno . Diikuti bacaan doa selamat oleh saudara Yasser. Guide Deeno dan Sweeper Abg Rashid dibekalkan dengan walkie-talkie. Mudah untuk berkomunikasi nanti. Kami bergilir-gilir menyebut nama sendiri yang ringkas dan ‘glamour’. Penting, kalau tidak tahu nama, mahu dipanggil apa dalam hutan nanti.
9.15am
Mudah-mudahan selamatlah pergi dan balik, begitulah yang tersirat di dalam hati. Kelab OGKL pernah merancang ke Liang bulan April yang lalu , tetapi terpaksa dibatalkan berikutan kemalangan yang menimpa Fahmi. Sebatang balak yang reput tumbang lalu terkena beliau. Fahmi ada bersama-sama kami beriringan ke tempat permulaan trekking. Di situ, balak reput masih terbaring. Bila melihat beliau tersenyum duduk di atas balak, terfikir sekejap, apa perasaannya ketika itu. Harapannya Fahmi terus bersemangat. Ini adalah asam garam dan risiko yang perlu diambil.
Setelah melangkah pagar dam yang dikunci, ekspedisi bermula. Lambaian yang paling akhir daripada K. Fazidah, Fahmi dan Nabila (anak perempuan Abg Rashid dan K.Aishah) nun di sebelah sana pagar. Esok kami balik, tunggu ya!
Awal-awal treknya agak landai. Namun, di sini ‘serangan pertama’ sudah menunggu. Jika diperhati betul-betul, pacat-pacat berdiri tegak menunggu ‘rezeki’ yang mewah. Rempuh sajalah.
Selepas sejam berjalan, berhenti rehat di tepi anak sungai. Bantuan untuk Sabariah yang mengalami sedikit masalah. Barang-barang dan beg kepunyaannya dibahagi-bahagikan kepada peserta-peserta lain. Tengah sedap berborak-borak dengan Rizal perihal memancing kelah, tiba-tiba terdengar letupan mercun. Puuh ! Semangat! Berderau darah. Ini tidak lain tidak bukan kerja Mat Noor Nestle. Bakar mercun yang dibeli di Klang.
10.35am
Trek di bahagian permulaan ini sedikit keliru kerana simpangnya. Kami berjalan tidak jauh antara satu sama lain. Macam-macam cara melayan kebosanan. Ada yang tadi di depan, berhenti, jadi ke belakang. Ada yang di belakang sudah lepas ke depan. Sempat juga orang di depan menghulur botol kecil berisi asam buah plum. Hulur punya hulur, botol asam hilang terus ke belakang. Bagi yang mahir menghafal lagu, terserlahlah bakat. Kalah bunyi unggas-unggas dan cengkerik. Tenggelam dek suara penyanyi sambilan.
12.00pm
Berhenti makan tengahari di tepi sungai. Kaki terasa geli, mesti ada pacat. Letak saja beg terus buka kasut dan stokin. Amboi! Montelnya pacat-pacat kerana sudah kekenyangan menghisap darah sang pendaki yang segar bugar. Suasana di sekitar sungai riuh-rendah dengan kehadiran kami. Ada yang terus buka baju, terjun ke dalam sungai. Ikan-ikan bertempiaran, terkejut mungkin. Selalunya air di situ tenang dan aman.
Bukan selalu dapat menguyah roti cecah rendang daging sambil menghirup teh o’ panas di tempat semacam ini. Selain merasa kesegaran dan kedinginan air yang bersih, terhibur rasa hati melihat ikan-ikan kecil yang berkejar-kejaran.
1.00pm
Selepas sejam, kami meneruskan peringkat yang ditunggu-tunggu. Diwarwarkan, bukit canak tersedia di hadapan. Namun begitu, kami masih berjalan dalam satu kumpulan dengan Guide Deeno mengepalai barisan.
1.25pm
Berhenti untuk ‘take 5’ tapi ada juga yang enggan. Tidak sabar-sabar agaknya hendak tiba di campsite. Menurut Guide Deeno, trek seterusnya mudah diikuti dan dicam. Memang benar treknya mudah dicam tetapi penangan yang dicari-cari bakal ditemui. Aha! Terdengar suara berbaur keriangan. Inilah dia! Siaplah, peluh jantan akan keluar. Nanyi jangan tak menanyi.
Bukan sahaja treknya canak, kena menyorok, melangkah dan meniti balak-balak yang entah berapa batang menghalang jalan. Di kawasan ini, kami sudah berpecah-pecah. Cuaca kelihatan terik tapi tidak terasa pulak hangatnya. Mungkin badan sudah sejuk dek peluh yang hebat mencucur.
Manalah kawasan datar. Bila ditanggah, nampak macam sudah hendak sampai ke atas bukit. Tapi selaju mana pun kaki menjangkau lerengnya, tidak juga tiba di puncaknya. Penat sudah melayan dan memujuk diri sendiri. Sekali-sekala berhenti menghela nafas dan mendengar sekiranya ada pendaki berhampiran. Tidak kedengaran sebarang bunyi kecuali angin dan daun-daun pokok berlaga. Seram pulak. Berseorangan di tengah-tengah hutan.
2.45pm
Lega. Nampak kelibat Alan botak sedang berjuntai di atas batang balak. Kumpulan yang di depan ‘take 5’ berhampiran balak tumbang. Sambil membasahkan tekak, mendengar kisah dan pengalaman mendaki. Kadang-kadang berderai gelak dan tawa, terlupa seketika segala kepenatan. Badan sudah sejuk, kata salah seorang di antara kami. Lebih baik kita bergerak.
Tidak sampai beberapa minit, berhenti lagi berhampiran batu besar. Kena ‘isi minyak’. Sham sudah bersila untuk mengisi perut yang lapar sangat agaknya. Tidak mengapa. Rehat lagi.
Oleh kerana suapannya yang pantas, sekejap saja sudah siap. Tidak sempat saya menghabiskan sebiji epal hijau. Masing-masing sudah pikul beg dan menghilangkan diri. Sempat menoleh ke belakang, Fakhrul baru tiba. Cepatlah jalan, katanya. Berkerut dahi, terasa macam kena halau. Rupa-rupanya dia hendak ‘membuang’.
Sekali lagi terpaksa bekerja keras mendaki bukit canak. Menyesal pula tidak makan banyak-banyak semasa ‘take 5’ tadi. Terserempak dengan Zairol dan Zam yang sedang enak mengisi perut dengan roti. “Makan dulu “, kata mereka. Bila melihat mereka berdua sedap mengunyah terliur pula hendak tumpang sekaki. Tapi, buat-buat tidak tahu dan terus ke depan. Ah! Persetankan. Letak beg, makan dulu. Tercungap-cungap mengunyah cloud 9.
Tidak rugi mengalas perut. Pendakian seterusnya masih lagi mencanak. Puas sudah menggeleng kepala yang kekadang berpinar-pinar. Beberapa kali membelek jam tangan, mengagak saki baki jarak ke campsite.
4.30pm
Sayup-sayup terdengar suara-suara berbual. ‘Take 5’ ke atau sudah tiba di campsite?
Bila dilihat ke sebelah kanan, lapang kawasannya. Boleh nampak pemandangan di kawasan lembah.
Akhirnya, pendakian untuk hari ini selesai. Kumpulan depan tiba di campsite kira-kira jam 4.15 petang sudah siap mendirikan tempat tidur. Wah! Tidak sabar-sabar hendak baring-baring, ya!
Sudah ada yang turun ke ‘water point’ untuk mandi dan membersihkan diri. Huslan “Jerung Liar” basah kuyup macam baru lepas kena celup. Bila tiba giliran saya, salah seorang daripada mereka mengingatkan saya agar jangan lupa menutup kepala paip selepas selesai mandi. Hmmm….terasa musykil.
‘Water point’ terletak nun ke bawah dan jalannya agak curam. Patutlah suruh tutup kepala paip, rupa-rupanya ada tersedia pembuluh paip pvc terjulur di situ mencucurkan air sungai. Tersengih sendiri mengenangkan peringatan mereka tadi.
Seorang demi seorang selamat tiba di campsite. Terdengar perkhabaran yang peserta-peserta di bahagian tengah berusaha keras menghabiskan pendakian sebentar tadi. Laungan berupa kata-kata semangat daripada kawan-kawan banyak membantu memotivasikan diri untuk tiba ke campsite. Lupakan jerit-perih itu, minumlah teh o’ panas. Mungkin dapat membantu melegakan mana-mana yang tegang.
Cuaca sudah berubah rupa. Terdengar deruman guruh di langit. Hujan mahu turun. Kami membuat persediaan yang sepatutnya sebelum hujan turun. Kira-kira jam 7 malam hujan turun selebat-lebatnya diikuti angin kencang. Dalam keadaan yang kelam-kelibut itu, makan malam disediakan. Persediaan tergendala seketika kerana timun dan beras nasi beriani tidak dijumpai. Setelah puas membelek, hanya beras berjaya ditemui.
Oleh kerana Leen Tonchit bergabung di dapur agak lewat dan masih berbaju hujan, beliau diarahkan menjadi tukang masak nasi beriani. Tentulah di bawah tunjuk ajar chef K.Aishah. Seorang lagi yang berbaju hujan turut menjadi tukang masak nasi iaitu Abg Leman. Biarpun agak lewat namun semua bersabar menunggu untuk makan malam. Hujan berhenti kira-kira jam sembilan malam dan ketika itu hidangan sudah sedia untuk dijamu. Makan malam berupa nasi beriani berlaukkan kurma daging, jelatah nenas , sambal dan sambil itu dapat mengunyah popodum ranggup.
Che Din bermurah hati menyediakan teh o’ panas. Kelat tapi ada kualitinya tersendiri. Bukan apa, dalam suasana yang samar-samar, tidak ternampak dalam teko sudah ada uncang teh. Ditambahnya lagi jadi entah berapa uncang dan itulah yang terjadi teh kelat. Tidak mengapa. Bukan senang merasa buatan Che Din. Sekali dalam setahun
Acara seterusnya selepas makan malam ialah suaikenal. Peluang untuk mengenali sedikit latarbelakang diri dan mengeratkan lagi tali persahabatan sesama rakan rekreasi. Jangan segan-segan menjawab soalan-soalan yang kekadang payah hendak dijawab. Adat berkawan, bergurau-senda itu mesti ada.
Lewat pukul 11 malam, sedikit taklimat untuk program keesokan hari diberi oleh Abg Rashid. Majlis bersurai dan tunggu apa lagi, tidurlah.
Tidur yang lena diganggu oleh titis-titis hujan yang lebat disertai tiupan angin. Hujan lagi. Meraba-raba cari lampu suluh, jam menunjukkan pukul dua pagi. Tidur rapat-rapat, panas sikit!
AHAD (20/07/2003)
Campsite-Puncak Liang Timur Barat-Campsite-Rumah Pam Sungai Dara
7.00am
Bangun!
Guide Deeno mengejutkan semua bangun dan bersedia untuk aktiviti hari ini. Liat pula hendak meninggalkan tempat pembaringan.
Sarapan pagi nasi goreng kampung dan teh tarik “kasih sayang” Apip. Banyak kelebihannya minum teh. Sambil makan, terdengar ada yang tidak mahu ke puncak. Jangan ! Jangan buat kerja separuh jalan. Semua mesti naik. Tak pernah lagi berlaku kat Ogkl . Dah kira fault dah tu. Lain lah kalau injured .
10.15am
Mula menuju ke target utama hari ini, iaitu puncak Liang Timur Barat. Cuaca baik, matahari bersinar terang. Namun, keadaan persekitaran agak lembap kesan daripada hujan malam tadi.
Awal-awal pagi sudah diduga dengan trek canak – trek pisang. Pokok-pokok pisang hutan tumbuh subur di tepi laluan. Mujurlah tidak memikul beg berat. Kami telah diingatkan agar membawa barang-barang yang perlu sahaja ke puncak seperti air untuk sepanjang trek, kamera, makanan ringan etc.
Sebaik sahaja menapak di kawasan landai dan berlumut, sudah moncongak-congak yang puncak gunung ini mesti tidak jauh. Lebih kurang 45 minit selepas bertolak dari campsite, grup depan tiba di puncak Liang Barat.
11.05am
Pemandangan sekitar puncak Liang Barat tidak menghampakan. Seluas-luasnya pemandangan kawasan lembah terhampar di depan mata. Jangan hentak kaki kuat sangat, terdengar suara sesorang seakan memberi amaran. Di kawasan puncak ini ada penghuni berupa tebuan tanah. Terdengar pula suara menjerit-jerit dari sebalik rimbunan pokok-pokok bongsai. Eh! Sudah ada yang pergi ke puncak Liang Timur. Nanti dulu. Kami bergambar beramai-ramai dekat beirut Liang Barat yang macam sudah senget sedikit.
Kedudukan Liang Timur tidak berapa jauh daripada Liang Barat. Lebih kurang lima minit untuk sampai ke situ. Kawasan puncaknya dikelilingi pokok-pokok berlumut yang tinggi-tinggi dan di tengah-tengahnya terdiri satu besi bearout. Suhunya lebih sejuk di sini, menggigil. Selepas mengabadikan kenangan, berpatah balik ke Liang Barat dan sempat lagi Azmi brek di satu kawasan strategik untuk bergambar. Biarkan. Entah bila lagi boleh sampai ke sini.
Sekembalinya ke puncak Liang Barat, semua sudah selamat tiba. Sessi bergambar berkumpulan pun bermula. Kali ini, Bulat berjaya menyemburkan coca-cola. Acara yang sudah agak lama tidak dilakukan sebagai tanda kejayaan. Bagi yang tidak pergi lagi ke puncak Liang Timur, mereka beransur-ansur ke sana untuk sessi bergambar di puncak itu pula. Sebahagian peserta yang sudah pergi ke puncak Liang Timur sebentar tadi tidak beranjak. Bersantai sambil makan kuaci. Pemandangan yang tadinya menarik sudah hilang di sebalik awan. Angin bertiup agak kuat tapi tidaklah sejuk. Puncak Liang Barat yang terbuka dan lapang menyebabkan suhu terasa panas sedikit.
1.00pm
Urusetia sudah mula turun ke campsite untuk menyediakan makan tengahari, takut terlewat. Misi menawan kedua-dua puncak gunung sudah selesai. Tahniah kepada semua 30 orang ahli ekspedisi ini yang berani dan cekal melalui segala rintangan. Selepas ini, kena pastikan balik juga dalam keadaan selamat sejahtera.
Ketika menyiapkan hidangan tengahari di campsite berupa bihun soto ayam, seorang demi seorang tiba. Muka sudah agak lain, lapar agaknya atau sudah terbau masakan.
Cikgu Rosli bertanyakan nasi. Ada! Dan sempat juga dia “mencuri” daging ayam yang telah disiat-siat. Nakal ya cikgu!
Masing-masing pantas berkemas. Makan dulu, hirup bihun soto ayam yang tengah panas. Tugas guide waktu trekking turun diserahkan kepada Roland. Sesiapa yang sudah bersedia diarah turun dengan kadar segera agar sampai sebelum hari gelap.
3.30pm
Kawasan perkhemahan dipastikan bersih. Kami diingatkan agar membawa turun segala sampah-sarap dan plastik. Mungkin agak tergesa-gesa bersiap, salah seorang peserta tertinggal sandalnya. Minta bantuan Azlan RHB selitkan pada beg. Malas hendak membuka semula beg yang sudah digalas. Entah siapa yang punya, tanya sajalah sepanjang jalan turun nanti.
Sudah dijangka trek menurun agak licin. Tapi, ada juga yang kelihatannya seronok. Deeno dengan Apip berjalan turun dengan pantas sampai “terbang-terbang” dan terduduk. Sudah tidak sabar-sabar agaknya hendak keluar dari kawasan hutan. Hati-hati perjalanan masih jauh lagi.
5.50pm
Tiba semula di kawasan air sungai tempat berhenti makan tengahari kelmarin. Grup depan sudah menghampiri rumah pam Sungai Dara. Air sungai agak deras dek hujan malam tadi. Puas bertanya, sandal yang dipikul dari tadi rupanya kepunyaan As.
Oleh kerana hari sudah semakin gelap, perjalanan diteruskan. Tiada ‘take 5’ langsung kerana tidak mahu berkeliaran di dalam hutan lama-lama. Lagipun, trek keluar agak mengelirukan dan nyaris-nyaris tersalah simpang.
Perlahan-lahan saya sekumpulan iaitu Zairol, As dan Mat Noor Nestle menyusuri trek yang sudah agak samar-samar. Setiap kali terdengar bunyi air, As bersuara keriangan. Walaupun kakinya terseliuh dia gagah berjalan. Sedang kami beriringan, tiba-tiba Rosma muncul entah dari mana. Mat Noor pelik dan bertanya mana yang lain. Rupa-rupanya dia berjalan agak laju daripada grup di belakang kami. Beraninya! Mat Noor mengingatkannya agar jalan berkumpulan jangan berpisah.
7.40pm
Selamat tiba di pintu pagar dam. Kelihatannya Deeno tengah bersolat dan tidak berapa jauh dari situ Tini sedang duduk berehat sambil membuka kasut. Satu lagi halangan kena ditempuh – pagar yang terkunci.
Laparnya. Masuk ke rumah pam air, 100 Plus dan sandwich sudah terhidang. Terima Kasih K. Fazid dan Fahmi mewakili Biro Kebajikan Ogkl. Nikmatnya tidak terhingga. Terharu rasa dilayan sebegini baik.
Grup terakhir tiba kira-kira jam 8.15pm. Cepat-cepat mandi dan membersihkan diri. Alamak! Lekatlah kutu khinzir! Cenderamata istimewa daripada Liang. Sementara menunggu semua bersiap dan berkemas, borang penilaian diedarkan untuk diisi oleh para peserta. Komen, jangan segan-segan meluahkan pendapat positif ataupun negatif. Bukan apa, untuk kebaikan bersama.
Masa untuk pulang. Sebelum berangkat pergi, Abg Rashid mengingatkan tempat berhenti makan malam adalah di R&R Ulu Bernam.
Rumah Pam Sungai Dara – R&R Ulu Bernam – ‘rumah sendiri’
9.15pm
Bergerak keluar dari kawasan rumah pam. Satu lagi pengalaman menarik dibawa pulang. Tidak tertahan rasanya hendak berkongsi cerita dengan ‘yang tersayang’ di rumah. Tunggu dulu. Perut mesti diisi.
Kami berhenti di R&R Ulu Bernam. Segala “hajat” akan ditunaikan. Saya, seperti biasa mesti cari coca-cola. Tidak disangka Han bermurah hati belanja minuman yang diidam-idamkan. Terima kasih daun keladi. Laju benar Sweeper Yap menghabiskan hidangannya, sampai merah-merah biji mata. Eh! Bukan, bukan sebab pedas, memang mata sebelah kanannya merah tercucuk batang kayu masa trekking. Aduh! Ngeri nampaknya, macam “terminator”.
Selesai makan, kami saling mengucapkan selamat tinggal. Mana Eryn? Entah? Terlajak lagi…sampai penutup pun dia masih lagi tersasar daripada konvoi. Siapalah co-pilot dia kali ini?
Ekspedisi Liang Timur Barat berakhir sudah. Syabas!
Oh Ya! Ke mana perginya timun yang hilang semasa di campsite? Errrr…
Laporan oleh: Norimah Haji Musa
0 comments:
Post a Comment