Santai Hawaiian Night
BUDAYA berpersatuan bukan sekadar menjalankan aktiviti dalaman bersama-sama tetapi juga perlu diselitkan dengan kegiatan riadah bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara ahli dan anggota keluarga terbabit.
Atas kesedaran inilah Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL) tampil menganjurkan program Hari Keluarga yang dinamakan Santai’ 04 di pantai peranginan Port Dickson, baru-baru ini.
Santai’ 04 yang turut meraikan 11 tahun penubuhan kelab itu berjaya mengumpul seramai lebih 60 orang ahli, anggota keluarga serta peminat rekreasi bersama-sama menikmati suasana damai di AnCasa Resort Allsuites.
Program dua hari itu diketuai Presiden OGKL, Zainuddin Lot yang dibantu barisan ahli jawatankuasa yang bertungkus lumus memastikan semua perancangan berjalan lancar. Selain berkumpul, Santai’ 04 juga membuka ruang untuk ahlinya beriadah dengan aktiviti sukan bola tampar pantai dan tarik tali. Maklumlah sebelum ini masing-masing lebih dikenali dengan bakat memanjat gunung saja.
Acara kemuncak Santai’ 04 adalah jamuan makan malam yang turut dihadiri tetamu istimewa, pendaki Everest, Muhammad Muqharabbin Mokhtaruddin atau lebih mesra dengan panggilan Kobin. Selain memeriahkan majlis, beliau turut melancarkan laman web rasmi OGKL yang beralamat www.ogkl.com.my yang lebih mudah dan ringkas.
Kobin berkata, perkembangan OGKL memang mengagumkan kerana ia sudah bertahun-tahun bergiat aktif dalam bidang pendakian gunung dan mengumpul ahli dari segenap lapisan dan latar belakang. Beliau juga tertarik dengan laman web yang baru dilancarkan itu kerana ia lengkap dengan maklumat terkini dan kisah menarik mengenai pendakian gunung di Malaysia selain beberapa destinasi luar.
“OGKL adalah sebuah pertubuhan yang mantap dan cukup dikenali dalam bidang pendakian. Mungkin saya berpengalaman mendaki di luar negara tetapi ahli OGKL lebih arif mengenai pendakian gunung di Malaysia. Saya percaya mereka juga mampu melakar sejarah tersendiri dalam dunia pendakian satu masa nanti,” jelas Kobin yang turut berkongsi pengalaman mendaki Everest bersama teman karibnya. Mohd Reduan.
Selain bercerita mengenai Everest dan mempromosi pendakian solonya ke tujuh puncak di tujuh benua, Kobin menjadi juri Pakaian Terbaik sempena majlis Hawaiian Night yang diadakan pada malam itu. Wira negara ini juga menyampaikan sijil ekspedisi kepada ahli OGKL yang berjaya menakluki beberapa gunung pada tahun ini termasuk Gunung Merapi-Singgalang, Gunung Kenderong dan Ekspedisi Berakit di Sungai Perak.
Antara acara menarik yang diketengahkan pada malam itu termasuklah cabutan bertuah serta pertandingan karaoke yang turut mendapat kritikan ala AF daripada tiga juri istimewa. Kobin juga turut menyumbangkan suara dalam mewarnai majlis gilang gemilang itu yang mendapat tajaan Adidas, Tayangan Unggul, Channel [V], TM Net, EMI Music, Palace of the Golden Horses serta beberapa penaja lain.
Keesokannya, ahli OGKL bersemangat dengan aktiviti Amazing Factor yang menyaksikan enam pasukan berhempas pulas memaksa diri menelan makanan pelik seperti peria, telur mentah, makanan bayi, cili padi, petai, cencaluk dan macam-macam lagi.
Kemudian mereka meredah hujan dalam acara Ribbon Race yang memerlukan pasukan mencari reben warna masing-masing mengikut klu yang diberikan. Pelbagai aksi lucu dapat dilihat sepanjang acara Amazing Factor ini berlangsung kerana ia menyaksikan gelagat ahli yang terpaksa mencuba sesuatu yang baru dengan penuh semangat.
Sememangnya, Santai’ 04 adalah program yang cukup bermakna dan menghiburkan kerana ahli bukan sekadar dapat berehat bersama rakan-rakan tetapi juga mendekatkan ahli keluarga dengan OGKL.
0 comments:
Post a Comment